Tuesday, October 13, 2009

Penangan koperasi cekik darah SKM dakwa caj pinjaman sampai 25 peratus


MANGSOR (duduk) melihat proses SPBA sambil diperhatikan Yang Dipertua Angkasa, Profesor Dr. Mohd. Ali Baharum (kiri) di Kelana Jaya semalam.


PETALING JAYA - Percaya atau tidak, ada koperasi yang memberi pinjaman kepada ahli-ahlinya di negara ini dengan mengenakan kadar caj pendahuluan yang tinggi sehingga 25 peratus.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad berkata, kadar itu didapati jauh lebih tinggi berbanding caj pinjaman yang ditawarkan oleh bank tempatan.

"SKM mendapati koperasi terbabit mengenakan caj tinggi sejak tujuh tahun lalu tanpa disedari oleh ahli yang menjadi peminjam," dedahnya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran Sistem Pengurusan Berkomputer Angkasa (SPBA) di sini semalam.

Menurut Mangsor, perkara itu berlaku apabila koperasi yang tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup meminjam melalui bank bagi memenuhi permintaan ahli yang ingin membuat pinjaman.

"Ia bermula apabila koperasi memberi pinjaman segera kepada ahli, iaitu seseorang ahli itu mendaftar sebagai ahli koperasi semata-mata untuk memenuhi syarat bagi membolehkan mereka meminjam wang melalui koperasi.

"Apabila permintaan semakin tinggi, koperasi yang tidak mempunyai dana yang cukup akan meminjam kepada bank. Bermula daripada inilah caj pendahuluan tinggi dikenakan kepada ahli," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: