Tuesday, October 6, 2009

Papadom masuk panggung Khamis


BARISAN pelakon dan Gayathri bergambar selepas sidang media Papadom.

PENGARAH filem Papadom, Afdlin Shauki menanti dengan penuh debaran terhadap sambut daripada penonton walaupun filem itu diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Ogos lalu.

Apa yang diharapkan ialah dengan kejayaan sebagai Filem Terbaik itu, Papadom dapat menarik seramai mungkin penonton ke panggung wayang seterusnya mencatatkan kutipan box-office.

Filem Papadom yang juga filem ke-23 terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) akan mula ditayangkan pada 8 Oktober ini.

Pada FFM23, selain memenangi hadiah Filem Terbaik, Papadom juga turut menggondol kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik (Lyana Jasmay) dan Skor Muzik Terbaik (ilham kreatif Pacai).


Filem bercorak drama dan elemen komedi tetapi bertemakan kasih seorang bapa kepada anaknya itu membariskan pelakon terdiri daripada Afdlin sendiri, Lyana, Vanidah Imran, Noorkhiriah, Que Haidar, Scha Alyahya dan Farid Kamil.

“Saya sedar berlaku perkara ini dan semuanya berbalik kepada soal rezeki dan tuah. Tapi harapnya dengan promosi besar-besaran yang sedang dilakukan oleh Tayangan Unggul, hebahan itu akan terus diperhebatkan. Termasuk dengan bantuan rakan media sekalian.

AFDLIN SHAUKI turut hadir bersama isteri dan dua anaknya.

“Selain itu apa yang kita dapat tekankan ialah mengenai jalan cerita Papadom ini sendiri yang mencari persimpangan di antara berhibur dan pada masa yang sama menyelami maksud pengalaman dan penceritaannya. Rasailah kerana ia mungkin terjadi kepada kita,” kata Afdlin Shauki sewaktu sidang media diadakan sejurus selepas selesai pra tonton Papadom.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su- Lin Pillai, berkata filem itu memang tiada tuah untuk ditayangkan pada musim perayaan tetapi tetap percaya ia tidak akan menjejaskan sokongan penonton untuk hadir ke panggung.

“Kalau ditayangkan pada hari raya pun bukan jaminan untuk mendapat kutipan pecah panggung. Selalunya pada musim raya akan ada dua filem bersaing sesama sendiri. Jadi daripada bersaing sesama sendiri, lebih baik ia ditayangkan pada waktu orang sudah kembali tenang dan santai iaitu selepas kesibukan beraya.

“Filem Papadom pun masih ditayangkan pada musim raya, cuma dua minggu selepas kita menyambut raya. Itu sudah memadai. Pada masa yang sama kita juga akan menganjurkan peraduan dan memperhebatkan rangka promosi untuk memastikan kewujudan filem ini terus diketahui khalayak,” kata Gayathri.

Sinopsis: Papadom

  • Mengisahkan Saadom yang mula tersentak tatkala kematian isterinya. Perasaan bersalah mula melingkari dirinya kerana sepanjang hayatnya dia asyik sibuk bekerja mengukuhkan perniagaan nasi kandar yang dimilikinya bersama dua lagi rakannya.

    Saadom mula berubah daripada seorang yang begitu mementingkan kerja menjadi lebih prihatin terutama kepada anaknya Mia. Bagaimanapun, seiring dengan peningkatan umur Mia, anak remaja ini mula rimas dengan kasih sayang berlebih-lebihan bapanya.

    Bayangkan biarpun Mia sudah belajar di universiti pun, Saadom masih 'mengekori' anaknya dengan bekerja sebagai tukang kebun di universiti terbabit.

    Apakah kasih sayang seorang bapa dan anak akan berakhir dengan peningkatan usia anak itu sendiri. Jawapannya boleh diketahui dengan menonton filem ini.

    Petikan menarik

    Afdlin Shauki:
    “Secara ikhlas tidak sangka rezeki berpihak kepada Papadom di Festival Filem Malaysia ke-22 kerana melihat calon lain seperti filem Talentime dan Setem pun sama hebat.

    Que Haidar:
    “Beliau (Afdlin) juga ada pemikiran lawak yang diisi dengan mesej”

    Vanidah Imran:
    “Kali pertama berlakon dengan Afdlin menerusi filem Sepi. Filem Papadom menjadi filem pertama saya menerima bimbingannya sebagai pengarah. Saya hampir tidak dapat berlakon dalam filem ini kerana ketika itu terikat dengan Sehati Berdansa musim pertama.”

    Dr Syed Ahmad Faizal atau Pacai:
    “Lagu di dalam filem ini sudah lama ditulis Afdlin, saya sendiri dan beberapa orang lagi termasuk bakat baru. Pengalaman bekerja untuk Papadom menjadi satu proses yang menarik berbanding kerjanya sebelum ini.”
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: