Tuesday, October 13, 2009

Nekad Amber demi Ford Models




SELEPAS menjadi mangsa penipuan dan diperdayakan oleh seseorang individu baru-baru ini, supermodel dan artis popular tanah air, Amber Chia kini mengamalkan sikap berhati-hati untuk mempercayai orang lain terutamanya yang baru dikenali.

Insiden ditipu bulat-bulat orang seorang 'sahabat' yang baru dikenali sejak sebulan setengah lalu membuatkan wanita berusia 28 tahun itu menganggap segala yang terjadi sebagai kenangan pahit sekali gus memberi pengajaran kepada dirinya.

"Saya melihat kejadian malang ini sebagai pengalaman yang mampu mematangkan diri dalam kehidupan, lalu menjadikan saya terus bersikap positif.

"Cuma harapan saya agar ia tidak berlaku lagi selepas ini," katanya ringkas dalam nada sedih ketika bercakap pada sidang media menjelaskan perkara itu di ibu negara Rabu lalu.

Selepas ini, pemilik nama lengkap Chia Lai Ping itu mahu lebih berwaspada untuk memilih kawan supaya tidak lagi menjalani momen sukar ditipu dengan sewenang-wenangnya.

"Iyalah, siapa saja yang tidak mudah teruja apabila disuakan janji-janji manis walaupun tidak melihat terlebih dulu sebarang hitam putih perjanjian.

"Apatah lagi disebabkan saya cukup teruja untuk mencungkil model-model tempatan untuk diketengahkan pada peringkat antarabangsa, saya meletakkan kepercayaan walaupun tidak sepenuhnya kepada individu ini.

"Kini saya tidak lagi lekas membuat penilaian terhadap seseorang yang dilihat secara luarannya baik serta indah namun di belakang, orang ini ada agenda lain untuk mengenakan saya.

"Bukan hendak cakap saya tidak percaya orang lain selepas ini. Tetapi saya mahu selidik dulu latar belakang pihak yang mahu menjadikan saya sebagai kawan lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan perniagaan.

"Bercakap soal tindakan selanjutnya terhadap individu tersebut, saya hanya menyerahkan segala-galanya kepada peguam saya, Rajan Navaratnam untuk menyelesaikan masalah penipuan ini.

"Tetapi saya percaya kepada karma. Kalau dia mempergunakan saya, suatu hari nanti saya yakin dia akan terima balasan sama," jelas Amber yang masih kelihatan sugul.


AMBER bersama peguamnya, Rajan.


Ibu Amber, Chua Moi Ku, 56, yang tidak diberitahu tentang keadaan anak daranya itu hanya mendapat tahu berita sebenar setelah membaca laporan daripada media cetak. Hanya ungkapan maaf yang terzahir daripada pemilik bibir seksi itu disebabkan Amber tidak mahu hati orang tuanya bimbang.

Benar, hati siapa yang tidak mudah tertawan tatkala disuakan peluang keemasan untuk menjalankan kolaborasi menerbitkan program francais, Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search yang dikelolakan oleh Ford Models, Inc. (Ford).

Mencapai tahap keterujaan paling teratas, pengasas syarikat pengurusan acara Amber Creations Sdn. Bhd. itu tanpa berfikir panjang segera memberi kata putus kepada individu tersebut untuk menjalankan projek usaha sama itu.

Wang simpanan Amber yang mencecah RM100,000 juga dikeluarkan selain empunya diri sanggup bersusah payah mencari tajaan untuk merealisasikan program tersebut.

Panas yang disangka berpanjangan, rupa-rupanya turun hujan lebat di tengah hari. Individu itu apabila diminta menunjukkan kontrak francais memberi pelbagai alasan tidak masuk akal walaupun berkali-kali pertanyaan sama diajukan Amber.

Bukan itu sahaja, individu berkenaan terus menghilangkan diri tanpa dikesan. Telefon mudah alihnya dihubungi, tidak terkecuali sistem pesanan ringkas (SMS) satu persatu dilayangkan, namun jawapan yang diterima Amber hampa belaka.

Berasakan diri menjadi mangsa seorang 'penjenayah', Amber yang sudah sedekad membina kemasyhuran di pentas peragaan pantas mendapatkan khidmat peguamnya bagi mengetahui status sebenar dan mencapai solusi agar dirinya tidak terus tergantung tanpa tali.


AMBER nekad meneruskan rancangan Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search walaupun bergerak secara sendiri.


Amarah Amber terus memuncak apabila individu berkenaan tidak muncul-muncul pada sidang media yang diadakan awal minggu lalu.

Satu jam jugalah Amber dan pihak media setia menanti kedatangan individu berkenaan tanpa jemu. Tetapi kelibat apatah lagi bayang-bayangnya tetap tidak kelihatan sehingga Amber menitiskan air mata tanda kecewa.

Bukan anak kelahiran Tawau, Sabah itu sengaja mahu meraih populariti dengan menangis dan menjaja emosi dukanya kepada satu Malaysia. Sebelum ini kita sering menyaksikan Amber adalah seorang yang sarat dengan sikap merendah diri dan sentiasa ceria sewaktu bertemu orang ramai termasuk pihak media.

Hakikatnya, jiwa Amber cukup pedih apabila mengenangkan dirinya yang diperlakukan sedemikian rupa walaupun niat di hati mahu menjalankan kolaborasi mengadakan program pencarian model-model tempatan untuk dibawa ke luar negara.

Bagi mengetahui kedudukan sebenar, Amber menerusi peguamnya menghubungi pihak Ford di New York untuk mendapatkan kebenaran tentang francais kontrak Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search.

Ford melalui wakilnya, Doreen Small bagaimanapun membalas jawapan Amber menerusi faks pada 5 Oktober lalu yang menerangkan bahawa pihak mereka tidak pernah ada sebarang hubungan atau entiti di Malaysia yang ingin mengadakan francais program tersebut apatah lagi berunding dengan individu berkenaan.


AMBER mengesat air matanya.


Hati siapa yang tidak luluh tatkala mendengar kata-kata itu. Ibaratnya Amber terus terduduk mendengar perihal sebenar yang tidak terjangka menimpa diri yang bercita-cita tinggi untuk mengangkat nama Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam cabang peragaan.

"Walaupun terluka namun pada waktu sama saya berasa lega kerana saya mengetahui hal ini lebih awal daripada terlambat sehingga saya tidak boleh buat apa-apa lagi selepas itu.

"Banyak kesan sebenarnya daripada kisah yang berlaku terutama kepada peserta-peserta yang sudah bersiap-sedia dan menunjukkan komitmen untuk melibatkan diri dalam pertandingan ini.

"Malah saya juga sudah menjayakan berbagai-bagai perancangan termasuk uji bakat dan menjalankan produksi Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search sebelum ditayangkan di televisyen.

"Pihak penaja juga sudah dicari dan segala benda yang berkaitan dengan program ini sudah hampir seratus-peratus dilaksanakan.

"Kesedihan saya bertambah apabila melihat model-model terlibat yang saya anggap umpama bayi sendiri turut berdukacita dengan masalah yang menimpa ini.

"Saya sendiri bingung memikirkan tentang mereka. Saya hanya mampu mohon maaf kepada mereka tentang kejadian yang saya sendiri tidak mahukan berlaku ini," ungkap Amber lalu air matanya gugur lagi tanda dia terus larut dalam emosinya.

Amber mahu terus bangkit

Biarpun pada awalnya semangat Amber sudah luntur dan sepertinya mahu mengalah, kekuatan hadir kembali menyuntik anak ketiga daripada enam beradik itu.

Akhirnya ada kegembiraan terserlah pada wajah Amber. Ford dalam kenyataannya mempercayai kredibiliti dan kemampuan Amber untuk memegang francais kontrak Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search.

"Saya sendiri terkejut apabila mendengar berita ini. Keputusan yang dibuat oleh Ford ibarat mimpi jadi kenyataan kepada saya dan seluruh model yang terlibat sebelum ini.

"Memang sebelum ini saya selalu inginkan peluang hebat seperti ini apatah lagi ia datangnya daripada Ford yang terkenal sebagai sebuah agensi peragaan bertaraf dunia.

"Dengan ini saya mengumumkan untuk meneruskan perjuangan menjalankan program Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search tanpa bantuan Wen Ji walaupun hanya ada sebulan lagi untuk menyudahkan segala-galanya.

"Saya mohon agar rakyat Malaysia dan pihak media di negara ini terus membantu dan menyokong saya daripada belakang," sahut Amber yang mula mengukir senyuman manis sambil menarik nafas lega.


AMBER memeluk ibunya, Moi Ku yang risau dengan kejadian yang telah menimpa anak kesayangannya itu.


Dalam pada itu kata Amber, dia terpaksa merombak semula intipati dan format program tersebut disebabkan sebelum ini ia dijana tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan daripada pihak Ford.

"Saya tahu banyak wang yang terpaksa dilaburkan untuk memulakan dari bawah sekali lagi. Saya bukan orang kaya lantas saya merayu kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menaja program ini.

"Sebarang maklumat lanjut mahupun ada pihak yang ingin menaja program ini bolehlah menghantar e-mel kepada saya di amber@amberchia.com atau info@amberchia.com.

"Dengan waktu yang singkat ini saya harap cita-cita untuk meneruskan program pencarian model-model tempatan untuk diketengahkan di luar negara dapat dijalankan dengan jayanya.

"Tambahan pula pertandingan akhir program ini, Ford Models Supermodels Of The World bakal berlangsung di Brazil pada 16 Januari 2010. Jadi sedikit sebanyak saya tertekan juga memikirkan semula kemampuan saya untuk mengendalikan program ini.

"Saya hanya mampu berdoa agar selepas ini saya mampu mencapai kejayaan setelah berdepan dengan masalah ini," akhiri Amber sambil termenung jauh memikirkan masa depannya untuk mengusahakan program Ford Models Supermodels Of The World - Malaysia's Supermodel Search secara bersendirian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: