Tuesday, October 6, 2009

Merisik Khabar daripada Aznil


NORAINI serta dua anak ceria menerima sumbangan yang disampaikan Low sambil diperhatikan Nazri (kanan), Aznil dan Din Beramboi.

Segmen kendaliannya di radio Era mengajak pendengar berkongsi masalah kehidupan

AZNIL Nawawi memang tidak pernah kering dengan idea. Program cetusan ideanya bukan saja jarang menghampakan, malahan pernah menerima banyak pengiktirafan hingga ke Asia.

Sebagai penyampai radio Era pula, Aznil tidak sekadar berceloteh saja tetapi turut menyumbang idea mengisi slot pagi yang dikendalikan bersama rakannya, Din Beramboi. Pada Mei lalu, dia memperkenalkan satu segmen baru yang dikenali sebagai Merisik Khabar.

Aznil menyatakan rasa bertuah kerana penerbit program Nazri Noran tidak pernah menolak ideanya itu. Ketika menyuarakan hasrat mengenai program ini, Nazri tanpa banyak soal, menerima baik ideanya.


Bagaimanapun ketika mula diperkenalkan, banyak maklum balas diterima dari pendengar. Ada yang kurang bersetuju apabila masalah hidup dibincangkan pada waktu pagi, iaitu ketika mereka sedang bergegas ke tempat kerja kerana kononnya ia boleh mempengaruhi emosi.

Bagi Aznil pula, hanya slot pagi saja waktu yang dirasakan sesuai kerana radio sering menjadi teman ketika memandu pada waktu itu selain ketika ini jugalah jumlah pendengarnya paling ramai.

“Ia bermula dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang saya terima daripada pendengar yang mengadu mengenai masalah mereka seperti kehilangan orang tersayang. Ada SMS yang saya terima meminta orang ramai menderma buah pinggang dan banyak lagi masalah lain.

“Saya tidak mampu menyelesaikan masalah mereka. Tapi dari situ saya dapat idea menghubungi mereka, bertanya khabar agar mereka dapat berkongsi kisah hidup dengan pendengar lain. Secara tidak langsung, pendengar lain boleh jadikan sebagai pengajaran.

“Sejak Merisik Khabar diperkenalkan, memang ada insan prihatin yang berminat untuk membantu. Ada yang minta nombor akaun pendengar bermasalah untuk menghulurkan bantuan. Malahan ada juga insan berhati mulia yang mahu memberikan pekerjaan,” katanya ketika majlis penyampaian sumbangan kepada dua keluarga yang tidak bernasib baik di Carrefour, Mid Valley.

Program Merisik Khabar bukan saja menarik perhatian orang perseorangan menghulurkan bantuan malah turut mendapat perhatian daripada pasar raya besar ini memberikan bantuan wang ringgit.

Dua keluarga malang iaitu ibu tunggal dua anak berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu pejabat di Shah Alam, Noraini Ahmad serta seorang lagi pendengar yang enggan namanya didedahkan boleh memilik apa saja barangan yang terdapat di Carrefour baju raya sebagai persiapan untuk hari raya baru-baru ini.

Noraini yang memiliki dua anak berusia enam dan tujuh tahun turut menerima wang tunai sebanyak RM500 yang disampaikan oleh Pengarah Pengiklanan dan Komunikasi Carrefour Malaysia, Low Ngai Yuen.

Carrefour turut berbesar hati menyumbang perabot serta televisyen berikutan kediaman Noraini tidak memiliki kelengkapan berkenaan.

Sementara seorang lagi pendengar yang enggan namanya didedahkan pula menerima wang tunai sebanyak RM1,000 serta barangan keperluan harian.

Pendengar itu ditinggalkan suami tanpa nafkah yang cukup sehingga terpaksa meminta belas ehsan daripada ibunya yang sakit tua. Pada waktu sama, pendengar ini membesarkan tiga anak berumur antara dua hingga lapan tahun.

Noraini dan anaknya yang ceria ketika majlis penyampaian sumbangan itu berkata, selama ini dia tidak ada tempat untuk meluahkan perasaan disebabkan keluarganya sendiri seperti menyisihkan dirinya kemiskinan hidup. Bagaimanapun, ketika mendengar segmen Merisik Khabar, dia terpanggil untuk berkongsi kesukaran hidup yang dihadapi dan tidak sangka masalahnya mendapat perhatian.

Sementara itu Ngai Yuen pula berkata, Carrefour mempunyai visi untuk menjadi sebuah organisasi yang prihatin. Katanya, mereka yang pernah bekerjasama dengan Era ketika program Riuh Sana sini terpanggil untuk sekali lagi bekerjasama dengan Era apatah lagi untuk program seperti ini.

“Saya berasa tidak patut jika tidak berbuat apa-apa dengan masalah yang diluahkan pendengar Era itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: