Saturday, October 17, 2009

Masa depan fabrik tradisional


FABRIK sintetik semakin luas digunakan dalam industri pakaian generasi muda sekali gus menjejaskan masa depan fabrik tenun tradisional di India.


PEMERINTAH di bahagian Bengal Barat, India yang terkenal dengan tenunan fabrik tradisional mengesyorkan agar pertunjukan fesyen yang menampilkan fabrik tradisional diadakan dari semasa ke semasa di negeri itu. Dengan lebih tepat, pertunjukan itu diadakan bagi mempromosikan fabrik tenunan Khadi yang dipopularkan oleh Mahatma Gandhi sekitar tahun 1930-an.

Gandhi memakainya sepanjang perjuangannya menentang penjajah dan kerana itu, generasi muda India perlu didedahkan dengan fabrik itu bagi membangkitkan kesedaran mereka terhadap perjuangan menentang Inggeris.

Sehubungan itu, satu pameran yang dinamakan Ness yang memaparkan fabrik tenun tradisional India telah diadakan di Kolkata baru-baru ini.

"Pertunjukan ini adalah cerminan kepada satu trend yang baru. Belia India perlu menjadikannya sebagai fesyen baru," kata Tajes Gandhi, seorang pereka fesyen terkenal yang tidak ada pertalian darah dengan Mahatma Gandhi.

Tajes, 32, yang memperagakan koleksinya di Minggu Fesyen Kolkata baru-baru ini menjelaskan, bahawa apa yang dilakukannya itu adalah untuk mengangkat martabat perjuangan suci Gandhi dalam sejarah kemerdekaan negara India.

Pertunjukan itu telah berlangsung di tingkat bawah sebuah hotel lima bintang yang baru beroperasi di tengah Kolkata.

Pada pertunjukan itu, barisan peragawati jelita menyarung fabrik gemerlapan yang dipenuhi dengan manik dan labuci. Ia jauh berbeza dengan fabrik biasa yang dipakai oleh Gandhi.

Perbezaan itu dianggap perlu supaya fabrik yang digunakan kini sesuai dengan kehendak generasi muda. Namun, apa yang pasti, prinsip menyokong kemahiran tenun tradisional tetap sama.

Pereka fesyen lain seperti Sabyasachi Mukherjee yang terkenal dalam menghasilkan pakaian untuk wanita-wanita popular Bollywood turut mempromosi fabrik tenun tradisional sebagai satu gaya baru masyarakat India.

"Ini adalah satu pertunjukan yang mempunyai sentuhan India. Fabrik tenunan sendiri yang dihasilkan ini mampu mencecah pasaran antarabangsa," katanya.

Sementara itu, pameran, pertunjukan fesyen dan industri tenun tradisional dilihat boleh menjadi salah satu cara penting untuk menawarkan pekerjaan kepada penduduk.

"Kerajaan kini sedang menjalankan kempen Gandhi Chic untuk mengembangkan industri tenunan kain kapas dan sutera di negeri tersebut yang mana pengangguran semakin bertambah. Dengan wujudnya industri ini, maka peluang pekerjaan boleh disediakan," kata Menteri Industri Kecil Bengal Barat, Mamabendra Mukherjee pada majlis pelancaran pertunjukan fesyen itu di Kolkata baru-baru ini.

Kira-kira 1,000 orang mengerumuni lokasi itu untuk menyaksikannya. Pertunjukan yang disertai barisan bintang-bintang filem dan para pelakon terkenal India berjaya menarik peminat fesyen di negeri itu untuk menyaksikannya. Bandar itu dihuni kira-kira 14 juta orang.

"Ia bukan satu revolusi tetapi pertunjukan ini berjaya mencuit dan mengambil hati para penontonnya," ujar Pengerusi Suruhanjaya Kerajaan dan Industri Kampung, Mohammed Salim yang menganjurkan pertunjukan tersebut.


ANTARA rekaan fesyen yang menggunakan fabrik tradisional tenunan tangan di Bengal.


Kebanyakan daripada fabrik ditenun dengan tangan di kampung-kampung manakala kawasan pedalaman Bengal pula menggunakan roda-roda kayu sebagai mesin menenun.

Peragaan di pentas yang glamor dan gemerlapan jelas tidak memaparkan kehidupan sebenar kebanyakan tukang tenun fabrik. Mereka lebih kerap dilihat hidup dalam kemiskinan di kawasan perkampungan dan terpaksa bergantung kepada peminjam wang untuk meneruskan kerja termasuk mendapatkan bahan-bahan mentah.

Permintaan terhadap fabrik tenunan tangan telah berkurangan sejak beberapa dekad yang lalu. Ini kerana fabrik sintetik telah menguasai pasaran.

Tetapi pereka fesyen di Bengal berkata: "Stail dan fabrik baru semakin menarik minat generasi muda. Fabrik sintetik yang digunakan jelas menjadi punca fabrik tradisional semakin terpinggir."

Menurutnya, pihaknya tahu bahawa tukang tenun berada dalam kehidupan serba miskin.

"Mereka tidak dapat apa yang sepatutnya. Kami berusaha untuk memperbaiki keadaan mereka," tambah Salim.

Seorang pelakon filem terkenal dari Bengal Barat iaitu Locket Chatterjee yang menggandingkan sari kain kapas rona putih yang mempunyai kain tebal merah di bahagian bawah turut menjadi salah seorang bintang pada pertunjukan itu.

Model-model yang lain pula mempamerkan rekaan gabungan Timur dan Barat dengan sutera tenunan tangan berwarna merah, hijau dan hitam.

"Para pereka juga cuba memberi penampilan baru kepada fabrik tenunan tangan yang dianggap sudah ketinggalan zaman," kata pereka fesyen Lima Dev kepada AFP.

"Kami menggunakan pertunjukan ini untuk mengubah penampilan dan masa depan industri fabrik tradisional yang lebih cerah," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: