Saturday, October 3, 2009

Mansor perlu RM170 juta


MANSOR PUTEH


DALAM dunia perfileman, nama Mansor Puteh dikenali ramai sebagai seorang pengkritik yang lantang bersuara kerana sifatnya yang suka berterus terang apabila berbicara soal mutu penerbitan filem di negara ini.

Selain mengkritik, beliau yang pernah mengarah sebuah filem berjudul Seman pada 1988 juga tidak pernah lupa untuk mengarahkan filem terbarunya selepas 21 tahun tidak terbabit dalam bidang tersebut.

The Malay Prince merupakan judul filem yang ingin diarahkannya dan ia berkisar mengenai sejarah hidup Bapa Kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Mansor memerlukan kos sehingga AS$50 juta (RM170 juta) untuk menghasilkan filem berkenaan.

Menurut Mansor, kos yang tinggi amat diperlukan untuk menerbitkan filem itu kerana ia memerlukan kajian terperinci, penggambaran dan pemasaran yang teliti bagi mengangkatnya sehingga ke peringkat antarabangsa.

"The Malay Prince merupakan tajuk filem yang saya cadangkan supaya ia dapat diterbitkan oleh para penerbit filem di Hollywood. AS$50 juta merupakan kos yang realistik bagi sebuah filem Hollywood yang bertaraf antarabangsa.

"Dalam hal ini kita melalui kerajaan mungkin boleh bekerjasama dengan para pembikin filem di Hollywood bagi menerbitkan filem tersebut. Kerajaan melalui Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) boleh membantu.

"Misalnya, dengan membiayai 10 peratus daripada kos itu, manakala selebihnya dibiayai oleh penerbit di Hollywood. Persoalannya, bagaimana kita mahu meyakinkan mereka?" soalnya kepada Hits ketika ditemui baru-baru ini.

Mansor ditemui selepas pratonton dokumentari arahannya yang berkisar hidup Tunku Abdul Rahman berjudul The Residency Years: Tunku Abdul Rahman baru-baru ini.

Dokumentari yang menelan kos RM170,000 tajaan Finas dan mempunyai durasi 48 minit itu menjalani penggambaran 10 hari di England yang antara lain memaparkan latar pendidikan Tunku sewaktu berada di negara terbabit.

Difahamkan dokumentari yang disiapkan pada 14 September lalu itu sedikit sebanyak mencetuskan inspirasi buat Mansor bagi melebarkan lagi kisah hidup Tunku di layar perak meskipun kos penerbitannya agak tinggi.

Katanya, jumlah yang besar itu diperlukan sebagai suatu pelaburan jangka panjang bukan setakat bagi menghasilkan sebuah filem yang berkualiti tinggi tetapi juga mampu mengangkat reputasi negara di peringkat dunia.

"Para pembikin filem Hollywood mempunyai modal yang besar tetapi mereka semakin kehabisan idea untuk dipaparkan dalam filem.

"Sedangkan kita ada banyak cerita yang belum diceritakan termasuklah kisah Tunku Abdul Rahman.

"Tunku merupakan seorang negarawan kita yang ulung. Usaha memfilemkan kisah beliau melalui filem dan ditayangkan pula di seluruh dunia tentunya akan menaikkan lagi imej Malaysia di mata dunia.

"Kalau Hollywood pernah memfilemkan kisah negarawan India iaitu Gandhi, mengapa kita tidak terfikir tentang perkara tersebut? Saya harap idea ini dapat membuka mata dan menarik perhatian semua pihak," ujarnya.

Jelas pemegang sarjana perfileman dari Universiti Columbia, New York, Amerika Syarikat ini, beliau mendapati banyak kisah perjalanan hidup Tunku yang boleh diangkat ke layar perak berdasarkan kajiannya selama puluhan tahun.

Beliau yang pernah menemuramah Tunku sewaktu hayatnya di kediaman negarawan itu di Bukit Tunku, Petaling Jaya, Selangor pada 1987 juga berpendapat ,adalah rugi jika kisah seperti itu tidak disebarluaskan menerusi filem.

"Ketika menemu bual Tunku, saya juga sempat merakamkannya dalam bentuk video di mana ia juga boleh dijadikan suatu bahan bersejarah untuk dimuatkan dalam filem yang berkisar tentang Tunku kelak.

"Malah, dengan adanya paparan tentang Tunku maka akan lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda yang mengenali secara lebih dekat keperibadian dan pencapaian beliau dalam banyak aspek.

"Contohnya, Tunku merupakan antara anak Melayu pertama yang berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge, England dalam bidang undang-undang sekitar tahun 1919. Ini sesuatu yang membanggakan," katanya.

Sementara mencari jalan merealisasikan filem cereka terbaru yang menjadi idamannya itu, Mansor yang merupakan bekas wartawan Utusan Melayu pada 1977 berharap Finas dapat berbuat sesuatu dengan dokumentari arahannya itu.

Beliau berharap agar agensi kerajaan itu dapat mempromosikan dokumentari itu di pasaran filem luar negara, dijadikan bahan rujukan di pusat pengajian tinggi ataupun ditayangkan di stesen-stesen televisyen di negara ini.

"Dokumentari tentang Tunku yang saya hasilkan itu mengandungi banyak unsur warisan dan sejarah yang sepatutnya ditonton oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Ia antaranya sesuai ditayangkan sewaktu Hari Kemerdekaan.

"Sayangnya, disebabkan lambat disiapkan kerana adanya rombakan menyebabkan ia tidak sempat ditayangkan di televisyen sempena sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini. Mungkin Finas juga boleh merancang sesuatu yang lain," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: