![]() |
| HAMPIR 200 peserta mengikuti seminar tentang isu penapisan filem anjuran Bahagian Kawalan Filem KDN di Kuala Lumpur, Ahad lalu. |
LEMBAGA Penapis Filem (LPF) yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditubuhkan bagi menapis filem-filem tempatan dan dari luar negara yang mengandungi elemen-elemen negetif sebelum ia ditayangkan kepada umum.
Selain menapis filem, LPF juga mempunyai kuasa untuk mengharamkan terus mana-mana filem yang melanggar garis panduan yang telah mereka tetapkan terutamanya jika ia melibatkan ketenteraman awam, agama, kaum mahupun mempertikaikan institusi raja-raja Melayu.
Dalam usaha untuk memperkemaskan lagi garis panduan LPF itu, pelbagai cara telah dilakukan termasuklah dengan mengadakan dialog dan seminar yang diwakili oleh kalangan karyawan filem, ahli-ahli akademik dan media massa dari semasa ke semasa.
Pada satu seminar anjuran Bahagian Kawalan Filem KDN di Kuala Lumpur, baru-baru ini misalnya, pelbagai cadangan telah dicetuskan oleh pihak persatuan dan karyawan perfileman tanah air yang berasakan banyak perkara perlu diperhalusi dalam garis panduan tersebut.
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah antara lain menekankan pada seminar itu agar LPF lebih berlaku adil dalam menapis filem-filem tempatan tanpa membeza-bezakannya dengan filem-filem dari luar negara.
Menurutnya, industri perfileman tempatan bukan sahaja masih berskala kecil, tetapi ia juga memerlukan sokongan dan sedikit kelonggaran termasuklah daripada LPF untuk mereka bersaing dengan filem-filem luar seperti dari Hollywood dan Hong Kong yang bilangan amat besar.
"Saya mewakili Gafim meminta agar LPF lebih adil sewaktu menapis filem tempatan pada masa depan tanpa membeza-bezakannya dengan filem-filem dari luar negara. Ini kerana, dalam setahun industri filem kita hanya mengeluarkan sekitar 30 buah filem tempatan sahaja.
"Sedangkan dalam setahun kita menerima kemasukan sekitar 2,000 filem dari luar yang ditayangkan di negara ini. Saya difahamkan pihak LPF juga telah menonton atau menapis tidak kurang 20,000 filem setahun termasuklah dalam bentuk VCD, DVD dan sebagainya.
"Kadang-kadang kami hairan mengapa LPF begitu mengenakan tapisan yang amat ketat kepada 30 filem tempatan berbanding banyak lagi filem luar yang lebih teruk elemen negetif di dalamnya. Mengapa lebih fokus kepada 30 filem kita sahaja?" soalnya ketika dihubungi Hits baru-baru ini.
Pada masa sama, Ahmad Puad melahirkan rasa tidak setujunya apabila masyarakat seolah-olah menuding jari 100 peratus kepada karyawan filem apabila timbulnya isu-isu negetif yang di kalangan anak-anak muda tanpa mengambil kira faktor-faktor lain.
"Kami di Gafim mengambil pendirian tidak setuju apabila semua masalah sosial yang berlaku pada hari ini dikatakan berpunca daripada pengaruh filem dan TV. Pihak yang mendakwa sedemikian haruslah mengemukakan bukti daripada kajian secara saintifik dan sebagainya.
"Walhal pada masa sama pihak ibu bapa haruslah memainkan peranan mereka dalam memberi pendidikan dan mengawal pergerakan dan tingkah laku anak-anak mereka. Begitu juga dengan peranan guru-guru di sekolah. Dalam hal ini kita tidak boleh menyalahkan satu-satu pihak sahaja," katanya.
Selain garis panduan yang telah disediakan oleh LPF, Ahmad Puad turut mempersoalkan tentang adanya 'garis panduan yang tidak bertulis' yang dikeluarkan pada saat-saat akhir terutamanya selepas sesebuah filem itu tamat menjalani penggambarannya.
Katanya, garis panduan seperti itu bukan sahaja menyusahkan para karyawan filem tempatan tetapi ia juga akan terus berulang pada masa depan jika tidak ada garis panduan yang tetap dan menyeluruh dikuatkuasakan oleh LPF.
"Kami bimbang garis panduan seperti itu yang datang secara tiba-tiba kerana adanya arahan daripada pegawai-pegawai atasan LPF ataupun disebabkan pertukaran jawatan-jawatan di lembaga tersebut. Ini kerana yang menjadi mangsanya ia penerbit kerana terpaksa menanggung kos penerbitan.
"Contohnya, disebabkan adanya arahan baru, maka ada kalangan penerbit yang terpaksa menjalani semula penggambaran adegan sesebuah filem walaupun ia sudah siap. Perkara ini harus diteliti semula supaya garis panduan yang ada tidak diganggu dengan garis panduan last minute (saat-saat akhir)," ujarnya.
Seperkara lagi tambah Ahmad Puad, beliau mewakili Gafim yang mempunyai 11 persatuan di bawahnya juga meminta supaya KDN ataupun LPF menyediakan garis panduan klasifikasi yang jelas untuk sesebuah filem termasuklah had umur yang sesuai untuk tontonan sesebuah filem.
Sebagai contoh katanya, kategori U yang bermaksud 'umum' sesuai untuk tontonan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia dengan kriteria-kriteria di dalamnya supaya ia dapat dijadikan panduan yang jelas buat para pembikin filem tanah air pada masa depan.
"Apabila semua karyawan filem kita jelas dengan apa yang ada dalam sesuatu klasifikasi itu, maka barulah senang mereka mahu berkarya. Begitu juga dengan klasifikasi lain seperti 18PL iaitu filem yang hanya boleh ditonton oleh penonton berusia 18 tahun ke atas.
"Selama ini ramai karyawan filem yang kurang jelas dengan kriteria-kriteria klasifikasi yang digariskan oleh LPF. Jadi apabila mereka membikin filem untuk sesuatu klasifikasi itu dan mendapati filem mereka terpaksa dipotong kerana telah melanggar garis panduan itu, maka ia akan menyusahkan banyak pihak," jelasnya lagi.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: