ANGGOTA kumpulan tari fantastic four Crew dari singapura bersedia untuk beraksi dalam impak Maksima... the Musical. |
Teater Muzikal Impak Maksima turut memerah tenaga 15 penari dari Singapura
LATIHAN intensif yang dijalankan produksi tempatan yang akan menjayakan teater Impak Maksima...The Musical (IMTM) yang bakal dipentaskan di Panggung Esplanade, Singapura pada 17 dan 18 Oktober depan, memberi cabaran buat penari Fantastic Four Crew (FFC) dari Singapura.
Kumpulan 15 orang dari Singapura ini turut terbabit secara langsung dalam produksi teater IMTM seperti mana diminta oleh pihak Esplanade sebagai syarat untuk teater itu dipentaskan di sana.
Walaupun meletihkan, tetapi itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh mereka. Namun begitu, pengamalan baru ini memberi keseronokan selain pendedahan terhadap erti sebuah teater muzikal.
Pereka Tari FFC, Mohammad Ridzwan Rashid, 26 atau Iwan berkata, kekurangan teater di negaranya menyebabkan latihan yang diadakan sebelum ini hanyalah untuk memenuhi sebuah persembahan tarian saja dan bukan pementasan.
| IWAN turut memberi tunjuk ajar kepada pelakon Malaysia, Zed Zaidi yang menjadi antara pelakon utama IMTIM. |
“Jika di Singapura, kami biasanya menjalani latihan untuk menjayakan sebuah persembahan tarian atau pertandingan yang dipanggil streat dance. Untuk menjalani latihan untuk pementasan teater muzikal seperti ini tidak pernah.
“Memang saya akui untuk menjayakan teater muzikal besar seperti Impak Maksima ini harus menjalani latihan yang kerap selain memahami apa yang ingin dipersembahkan.
“Lebih-lebih lagi kami diperuntukkan masa yang agak singkat untuk melakukan latihan di sini,” katanya yang ditemui pada sesi latihan bersama 15 lagi penari dari Malaysia di Istana Budaya baru-baru ini.
Menurut Iwan, keseluruhan teater ini yang pada mulanya disaksikan menerusi rakaman pada pementasan lalu di Istana Budaya cukup membanggakan dirinya apabila terbabit sama.
| DARI atas, Ridhwan Nasrudin (Wan), Nur Rahila Redzwan (Ila) dan Shenthy Feliziana Sudirman (Elly). |
“Saya sangat teruja dengan persembahan teater ini, lebih-lebih lagi apabila melihat jalan ceritanya yang menarik, lagu dan muziknya yang cukup bertenaga selain jalan cerita serta tarian yang menarik semangat membuatkan saya cukup tidak sabar untuk melihat hasilnya nanti.
“Saya yang diarahkan pihak Esplanade untuk bekerjasama dengan pereka tari dari Malaysia, Suhaili Micheline membantunya bagi memenuhi elemen tarian yang diperlukan Esplanade.
“Lebih kurang 50 peratus pembaharuan aspek tarian diolah daripada tarian asal yang lalu. Apa yang penting bagi saya, tarian yang bakal dipersembahkan nanti adalah lebih bersifat universal dan tidak menampakkan ia melebihi mana-mana kedua negara ini,” katanya yang memasang impian untuk melaksanakan sebuah teater muzikal tempatan selepas mendapat ilham daripada IMTM.
Teater muzikal karya dan arahan Ahmad Idham Ahmad Nadzri ini adalah teater pertama tempatan yang mendapat undangan daripada negara seberang tambak itu. Ia dipentaskan sempena Pesta Raya/ Pesta Seni Melayu tahunan yang dianjurkan kerajaan Singapura.
Teater yang turut mendapat sokongan daripada Istana Budaya ini dikhabarkan bakal mendapat sokongan daripada pihak Esplanade untuk membantu memasar ke peringkat antarabangsa.
Shenthy Feliziana Sudirman, 20 (Elly)
“Memang tidak nafikan menjalani latihan di sini sangat berbeza daripada tempat saya. Tenaga kami dikerah secukupnya bagi memastikan persembahan yang bakal dipentaskan nanti sempurna seperti yang diinginkan pengarah.
“Kalau di Singapura, kami biasa menjalani latihan tidak lebih dari lima jam, tapi saya kagum dengan cara latihan yang dilakukan di sini iaitu 12 jam sehari. Untuk merealisasikan sebuah teater besar seperti ini memang kita memerlukan masa yang agak panjang untuk mendapatkan penghayatan maksimum.
“Teater ini sesuatu yang istimewa kerana ia juga adalah teater muzikal pertama saya ikuti, lebih-lebih lagi saya cukup seronok apabila melihat rakaman pementasan yang diadakan di Istana Budaya tahun lalu. Saya cukup berminat dengan jalan ceritanya, teknologi, muzik dan lagu-lagu yang lebih memberi mood untuk saya menari dengan penghayatan yang mengasyikkan,” katanya.
Ridhwan Nasrudin, 24 (Wan)
“Ini adalah kali pertama saya bekerjasama dengan produksi Malaysia selepas lima tahun aktif dalam bidang tarian. Pada mulanya saya agak bimbang untuk bekerjasama dengan penari Malaysia kerana kami tidak tahu pencapaian masing-masing. Namun selepas dua hari di sini, kami dapat merasakan keserasian bersama mereka. Kerjasama yang diberikan cukup baik dan mereka tidak sombong untuk berkongsi ilmu.
“Selepas melihat menerusi video rakaman pementasan ini, secara jujurnya saya cukup berbangga dapat terbabit sama dalam sebuah pementasan besar seperti ini. Memang ini adalah pementasan yang cukup baik meliputi pelbagai aspek. Saya suka dengan jalan ceritanya yang mempunyai elemen kelakar dan sedih, lagu dan muziknya yang menyentuh perasaan dan teknologi visual yang dipaparkan,” katanya.
Nur Rahila Redzwan, 20 (Ila)
“Pastinya saya berbangga apabila terpilih menjayakan pementasan ini. Iyerlah, dalam ramai penari di Singapura, saya adalah pilihan Esplanade untuk terbabit sama dalam pementasan ini. Sebelum ini pun hampir 10 teater yang memerlukan saya menari pernah saya ikuti.
“Bezanya latihan di sini begitu intensif sehingga memakan masa 12 sehari. Cabarannya bagi saya adalah untuk mengekalkan stamina untuk menjalani latihan sehingga awal pagi. Saya juga berbangga apabila dapat bekerjasama dengan penari dari Malaysia yang banyak membantu dan tidak kedekut ilmu biarpun pada awalnya berasa malu untuk menari bersama,” katanya.
INFO: Teater Impak Maksima
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: