
JAKARTA - Satu gempa bumi kuat berpusat di bawah laut menyebabkan bangunan-bangunan di sini bergoyang semalam tetapi tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Bencana terbaru itu melanda ketika Indonesia masih belum pulih daripada gegaran 7.8 pada skala Richter yang meragut lebih 1,000 orang di Sumatera Barat akhir bulan lalu.
Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia menyatakan pusat gempa itu dikesan pada kedalaman 55.6 kilometer di Selat Sunda, di luar pesisir pantai barat Jawa dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter.
Gempa kali ini menggegarkan kawasan pantai dekat Ujung Kulon, 260 kilometer ke barat Jakarta, kata seorang pegawai di agensi itu, Suhardjono ketika dihubungi untuk pengesahan.
"Ia dikhuatiri menyebabkan kerosakan di kawasan berhampiran dengan pusat gegaran namun gempa itu belum cukup kuat untuk mengakibatkan satu gelombang tsunami," katanya.
Beberapa bangunan pejabat tinggi di Jakarta turut bergoyang selama dua minit dan ramai dilihat bergegas turun ke jalan raya sebagai langkah berwaspada tetapi tiada yang berasa panik.
Di Cilegon, kawasan pesisir pantai barat Jawa yang paling hampir dengan pusat gempa, penduduk mendakwa, bumi bergegar kuat namun tiada kerosakan yang berlaku.
Agensi kajian geologi Amerika Syarikat melaporkan gempa itu berkekuatan 6.5 pada skala Richter dan dikesan di Selat Sunda, 187 kilometer ke barat daya Jakarta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: