![]() |
| DEEPIKA PADUKONE |
MESKIPUN masih baru, model popular yang kini sudah berjinak-jinak dalam dunia lakonan, Deepika Padukone sudah berani untuk mencuba pelbagai watak walaupun bertentangan dengan sifatnya.
Wanita jelita itu enggan membataskan dirinya dengan satu-satu watak sahaja. Dia sebaliknya sanggup melakukan apa sahaja serta mencabar diri termasuk menjiwai watak Farhan Akhtar menerusi filem terbarunya, Karthik Calling Karthik.
"Filem dengan genre romantik aksi ini menampilkan saya sebagai seorang yang pesimistik. Memang agak berlawanan kerana secara realitinya saya adalah wanita yang cukup berani dan sentiasa bersikap optimistik dalam hidup.
"Tetapi ia membuatkan saya ada keyakinan untuk terus cuba melakukan yang terbaik. Cuma saya enggan bercakap lebih lanjut tentang watak ini. Biarlah peminat di luar sana ternanti-nanti dengan filem ini," kata Deepika kepada pihak media baru-baru ini.
Diarahkan oleh sutradara Vijay Lalwani, filem itu berkisar tentang seorang lelaki yang mendapat panggilan telefon daripada dirinya sendiri lalu membuatkan hidupnya sentiasa ketakutan.
Dalam waktu sama, pelakon berusia 23 tahun itu sedang sibuk melibatkan diri dengan pertunjukan pentas dan memperagakan koleksi rekaan Sumeet Varma yang menampilkan tema The Life Of A Swan Lake.
Ketika ditanya tentang cita rasanya sama ada gemar mengenakan label pakaian daripada negara India ataupun Barat, Deepika menjelaskan dia lebih menyukai pakaian yang dihasilkan oleh pereka fesyen India.
"Saya cukup meminati gaun rekaan tempatan namun saya tidak menolak busana rekaan antarabangsa.
"Terus-terang, saya tidak cerewet untuk memilih gaun labuh mahupun pendek. Asalkan ia kena dengan gaya saya dan selesa disarungkan pada tubuh, ia sudah menggembirakan hati saya," akuinya.
Bercerita tentang regim penjagaan tubuhnya yang kekal langsing selama ini, Deepika tanpa berselindung berkongsi cerita bahawa dia sering melakukan senaman serta aktiviti sukan untuk kekal aktif dan bertenaga.
"Saya pernah bermain badminton dengan Aamir Khan untuk sebuah majlis amal sebelum ini. Daripada situ saya mulai seronok bermain badminton sekali gus melakukan aktiviti sukan lain termasuk olahraga," jawab Deepika.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: