Tuesday, October 13, 2009

Kupon beras percuma November

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara pada hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, pemberian kupon itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Pekan, Pahang pertengahan November ini.

"Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

"Saya nak tegaskan di sini, skim baru ini bukan bermakna harga beras naik tetapi ia hanya kerana kerajaan menarik balik subsidi beras yang selama ini diberikan kepada pemborong dan peruncit," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) kepada para pegawai kerajaan serta ahli parlimen di sini.

Beliau berkata, menerusi program subsidi itu, kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.

Lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar pula akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.

Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: