
PADANG - Kawasan tempat mangsa gempa bumi terperangkap akan diisytiharkan sebagai kawasan perkuburan besar di sini semalam setelah penduduk tempatan putus harapan untuk mencari mangsa tertimbus akibat tanah runtuh.
Di Malalak iaitu sebuah kampung 120 kilometer ke utara Padang, penduduk kampung, pegawai agama dan pasukan penyelamat bersetuju menghentikan operasi mencari 40 orang yang dilapor tertimbus serta mengisytiharkan kawasan itu sebagai kubur besar.
"Terdapat 30 mayat dikeluarkan dari runtuhan tanah manakala 40 lagi masih tertimbus dalam lumpur dan runtuhan batu," kata Ketua Tentera Sumatera Barat, Kolonel Mulyono.
Terdapat lebih 200 mayat dipercayai masih terperangkap dalam tanah runtuh yang memusnahkan tiga buah kampung di daerah Pariaman.
Sebanyak 144 mayat lain dijumpai di kawasan dan operasi mencari masih diteruskan kerana kaum keluarga enggan mengisytiharkan ia sebagai kubur besar.
Angka kematian rasmi akibat gempa bumi berskala 7.6 pada 30 September lalu itu meningkat 35 orang kepada 739, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonsia.
Sementara itu pegawai wilayah Padang, Dody Ruswandi berkata, usaha memusnah dan membersihkan runtuhan bangunan di bandar itu mengambil masa dua minggu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: