Saturday, October 17, 2009

Konvo bersejarah 34 graduan UiTM


GRADUAN duduk menunggu giliran naik ke pentas untuk menerima skrol masing-masing pada majlis konvokesyen UiTM di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) buat julung-julung kalinya melahirkan 34 graduan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan pada Majlis Konvokesyen universiti itu ke-71 di Dewan Sri Budiman di sini, semalam.

Kesemua pelajar Akademi Pengajian Bahasa dengan pengkhususan Bahasa Inggeris Komunikasi Profesional tersebut menerima skrol masing-masing daripada Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub.

Seorang graduan akademi itu, Fairuz Husna Mohd. Yusof, 22, tidak dapat menyembunyikan rasa bangga menjadi kumpulan pertama yang merangkul ijazah pertama program tersebut.

Beliau berkata, program itu mempunyai banyak kelebihan kerana pelajar bukan sahaja dapat meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris ke peringkat profesional, malah diterapkan dengan teknik komunikasi yang betul dalam sesebuah organisasi.

"Kami dipupuk dengan keyakinan untuk menceburi apa jua bidang pekerjaan sama ada perniagaan atau perkhidmatan di dalam mahupun luar negara,'' katanya yang berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dan bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Seorang lagi graduan, Onaliza Satimin, 22, pula memberitahu, tanggungjawab yang digalas oleh kumpulan graduan sulung amat berat kerana keupayaan mereka menempatkan diri dalam pasaran pekerjaan menjadi penanda aras bagi kejayaan program tersebut.

"Kami harus membuktikan lulusan akademi ini memiliki keupayaan tinggi dalam melaksanakan tugasan sekali gus menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan lain,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: