Tuesday, October 13, 2009

Konsert sulung No Use For A Name di KL Ahad ini


KUMPULAN pop punk rock, No Use For A Name akan mengadakan konsert pertama mereka di Kelab KL-Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, pada 18 Oktober ini.


PARA peminat muzik pop di negara ini lebih bertuah kerana ramai penganjur pertunjukkan pentas yang sanggup mengeluarkan bajet yang besar bagi menganjurkan konsert artis-artis pop termasuklah yang bertaraf antarabangsa.

Walau bagaimanapun, bagi para peminat muzik pop punk tempatan pula, mereka sedikit kurang bernasib baik kerana tidak ramai penganjur pertunjukkan pentas yang sanggup mengadakan konsert artis-artis genre muzik sebegitu di negara ini.

Bagi memenuhi permintaan itu, Nervhous Records, Permatha Pathah Production dan Red Ink Entertainment telah bergabung tenaga menganjurkan konsert kumpulan pop punk terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), No Use For A Name di Kuala Lumpur (KL) pada 18 Oktober ini.

Menurut Eksekutif Promosi Nervhous Records, Amert, konsert sulung kumpulan berasal dari San Jose, California, AS itu sebagai memenuhi permintaan daripada para peminat muzik pop punk tempatan terbabit yang telah mencipta nama sejak 22 tahun lalu.

"No Use For A Name bukanlah sebuah kumpulan baru, sebaliknya mereka antara kumpulan pop punk veteran dari AS yang telah lama mencipta nama di mana populariti mereka juga sebaris dengan kumpulan-kumpulan pop punk lain seperti Green Day dan NOFX.

"Kami harap dengan adanya penganjuran konsert No Use For A Name itu, ia akan memenuhi permintaan daripada para peminat mereka di negara ini yang tidak pernah melihat mereka beraksi di atas pentas secara live," katanya kepada Hits ketika dihubungi baru-baru ini.

Konsert No Use For A Name yang mengenakan tiket berharga RM75 itu akan diadakan di Kelab KL-Live, Jalan Sultan Ismail, KL Ahad ini mulai pukul 1 petang di mana sebelum itu tujuh kumpulan pembuka tirai akan beraksi di atas pentas terlebih dahulu.

Tujuh kumpulan itu ialah Under 18, Abhorence, Dosound, Plague of Happiness, Toxictoy, Second Combat dan Always Last yang cukup popular dalam persada muzik hardcore tanah air sejak kebelakangan ini.

Pada persembahan selama hampir dua jam itu, No Use For A Name yang dianggotai oleh Tony Sly selaku gitaris dan vokalis, Matt Riddle (bass), Rory Koff (dram) dan Chris Rest (gitaris) akan menyanyikan koleksi lagu-lagu lama termasuklah yang dipetik daripada album terbaru mereka berjudul The Feel Good Record of the Year.

Album terbaru dan kesembilan No Use For A Name itu diterbitkan menerusi syarikat rakaman Fat Wreck Records milik Fat Mike iaitu gitaris dan vokalis kumpulan punk rock tersohor, NOFX yang juga dari California.

Peminat dari Singapura akan hadir

Menariknya jelas Amert, konsert itu bukan setakat mendapat sambutan para peminat tempatan, malah ia juga menarik perhatian para peminat No Use For A Name dari Singapura, Thailand dan Indonesia yang banyak memberi sokongan kepada kumpulan tersebut.

"Apabila berita tentang konsert No Use For A Name disebarkan melalui Internet dan poster, ramai peminat terutamanya dari Singapura yang turut tidak mahu ketinggalan menyaksikan konsert mereka kelak.

"Buktinya, semua tiket No Use For A Name berjumlah 300 tiket sudahpun habis di jual di Singapura. Tiket untuk menyaksikan persembahan mereka di KL agak terhad kerana Kelab KL-Live hanya mampu menampung sekitar 3,000 penonton sahaja.

"Selain itu kami juga menjual tiket berharga RM65 iaitu harga awal atau presale dan RM75 jika dibeli pada hari konsert itu juga semakin laris dijual. Kami bimbang jika penonton yang hadir nanti melebihi kapasiti ruang kelab tersebut," ujarnya.

Tambah Amert, dia dan rakan-rakannya yang lain telah merancang menganjurkan konsert itu sejak tiga bulan lalu di mana secara kebetulan No Use For A Name kini sedang dalam rangka konsert bergerak mereka di Asia.

Selain Malaysia, difahamkan kumpulan empat anggota itu turut mengadakan konsert di Indonesia dan China sebelum kembali ke AS.

"Bukannya mudah untuk membawa No Use For A Name ke Malaysia kerana kita kena ikut jadual mereka. Kebetulan dalam rangka konsert bergerak itu mereka lalu di Asia Tenggara, jadi kita ambil kesempatan itu menjemput mereka ke sini.

"Selain itu menariknya, pada persembahan di KL nanti, mereka akan menampilkan gitaris kumpulan Lagwagon iaitu Chris Rest bagi menggantikan Dave Nassie yang menyertai kumpulan Bleeding Through. Dave Nassie amat popular dan dia merupakan bekas anggota Lagwagon iaitu satu lagi kumpulan punk rock legenda dari AS," katanya.

Selain The Feel Good of the Year, No Use For A Name juga pernah menghasilkan lapan album lain yang berjudul Incognito (1990), Don't Miss The Train (1992), The Daily Grind (1993), Leche Con Name (1995), Making Friends (1997), More Betterness (1999), Hard Rock Bottom (2002) dan Keep The Confused (2005).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: