![]() |
| MAMPUKAH gandingan anak beranak ini menghasilkan impak yang besar kelak? |
DALAM sibuk khalayak menanti buah tangan terbaru daripada anak bujang pengarah terkemuka, Datuk Yusof Haslam iaitu Syamsul Yusof, dalam diam rupa-rupanya dua beranak itu merancang untuk berkolaborasi tahun depan.
Pasti cukup menarik apabila kreativiti orang lama yang banyak pengalaman di bidang pengarahan disatukan dengan hasil kerja orang muda yang tidak kurang hebatnya dalam mempelbagaikan imaginasi berkarya.
Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.
Jika Syamsul berbakat dalam bidang lakonan dan penagrahan filem sepertinya, dua orang anaknya berminat ke cabang yang lain pula.
Faizal lebih kepada pengarahan drama manakala Syafiq yang kini menyambung pengajian di Universiti Lim Kok Wing mula berjinak-jinak dalam bidang teknik penjanaan komputer (CGI).
Mengakui kebolehan anak-anaknya, Yusof kini mula mensasarkan sebanyak tiga buah filem yang bakal diterbitkan oleh syarikatnya, Skop Productions tahun depan.
Oleh itu, bagi pengarah filem Pemburu Bayang dan Sembilu ini, tiada salahnya jika dia kembali mengarah filem untuk membantu melancarkan sasaran yang ditetapkan itu.
Biarpun sudah lama tidak terlibat dalam pengarahan filem namun, Yusof sebenarnya bukan hanya sekadar duduk berdiam diri.
Sebagai pelopor dunia pengarahan, dia turut membantu kerja-kerja suntingan serta penghasilan tiga program televisyen iaitu Gerak Khas, Roda-Roda Kotaraya dan Si Capik yang rancak ditayangkan di RTM yang mencatatkan rating yang menggalakkan.
"Senyap dari segi pengarahan filem sebelum ini bukan kerana saya tidak mahu buat tetapi kerana kesuntukan masa.
"Bagaimanapun, insya-Allah pada tahun depan saya akan mengarah semula filem bersama-sama anak saya Syamsul.
"Saya lihat ini lebih mudah, kerana dalam masa yang sama saya boleh membantu menyiapkan mana-mana kerja yang saya lihat mungkin boleh menyebabkan kelewatan," kata Yusof ketika ditemui pada majlis rumah terbuka hari raya di kediamannya, Darul Haslam di Taman Melawati baru-baru ini.
Menurut Yusof, sehingga kini dia mempunyai beberapa tajuk filem yang bakal disegerakan pembikinannya tidak lama lagi.
Idea untuk berkolaborasi telah difikirkannya sejak tahun 2007 lagi namun, memandangkan dia masih sibuk dengan program TV, hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Tidak mahu terlalu produktif menghasilkan filem tanpa memikirkan kualiti yang terhasil, dua hingga tiga filem dalam setahun baginya sudah cukup memadai.
Antara filem yang terlintas difikirannya ialah Khurafat dan Bohsia 2: Jalan Kembali.
Persoalannya, mampukah dua beranak itu berkolaborasi di set yang sama kerana sebelum ini Syamsul sendiri pernah mengatakan sukar meneruskan kerja jika Yusof hadir di set penggambaran?
"Saya tidak nafikan itu. Kami berkongsi idea dari segi pengarahan dan bukan semua babak kami perlu duduk bersama.
"Maksudnya mana-mana babak yang melibatkan orang muda saya serahkan kepada Syamsul manakala selebihnya saya.
"Dari segi kreativitinya dalam berkarya, memang saya tidak akan ganggu dan sebagai orang lama, saya tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.
"Dari segi pengarahan, saya memang perlukan 'nafas' orang muda sepertinya. Saya hanya mahu kuatkan semangatnya dalam berkarya agar kerja sentiasa berjalan lancar," kata Yusof yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Keempat (1983) menerusi filem Mekanik .
Berbicara perihal filem-filem arahan anaknya itu, Yusof memberitahu filem susulan Evolusi KL Drift yakni Evolusi KL Drift 2 akan menemui penonton tidak lama lagi.
Sebagai bapa dan orang lama dalam bidang pembikinan filem, Yusof berpendapat Syamsul telah memberikan hasil kerja yang cukup baik berbanding filem pertamanya yang menelan belanja hampir RM2.5 juta itu.
"Bagi saya apa yang penting dalam setiap filem ialah kualiti dan penyelesaiannya. Dari segi kutipan kita tolak ke tepi dahulu.
"Sehingga kini filem ini tiada masalah dengan LPF (Lembaga Penapisan Filem). Memang mereka sudah panggil saya untuk berbincang kerana filem ini melibatkan aksi lasak dan pihak berkuasa.
"Dalam sesebuah filem, bagi saya sudah tentu ada positif dan negatifnya. Bagaimanapun apa yang penting penyudahnya yang mampu memberi pengajaran kepada penonton kelak," ujarnya mempertahankan filem arahan anaknya itu.
Tambah Yusof, sehingga kini LPF memberi kerjasama yang baik malah bersikap liberal dalam memastikan hala tuju industri perfileman negara tidak hanya terbatas di takuk lama.
Dalam sibuk melayani hampir 500 tetamu yang hadir pada majlis tersebut, Yusof sempat memperdengarkan lagu tema Evolusi KL Drift 2 yang dinyanyikan oleh Syamsul kepada media.
Bertanya kepada Yusof tentang nyanyian anaknya itu, akui Yusof, dia tidak menyangka anak bujangnya itu mampu menyanyi dengan baik.
"Sebagai bapa, saya tidak kisah jika dia minat menyanyi memandangkan dia masih muda dan mempunyai rasa ingin mencuba pelbagai perkara.
"Namun, saya lebih suka jika dia menumpukan perhatian kepada pengarahan kerana saya bimbang jika dia buat dua kerja dalam satu masa dia akan hilang fokus," ujarnya meluahkan pandangan terhadap Syamsul.
Antara barisan artis yang hadir pada majlis tersebut termasuklah Datuk Aziz Singah, David Teo, Nabila Huda, A. Galak, Noor Kumalasari, Kuswadinata, Hamidah Wahab dan Tan Sri Jins Shamsuddin.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: