Thursday, October 15, 2009

Kehangatan ASK2009 sudah bermula


VANIDAH Imran (kiri), Noorkhiriah dan Sofia Jane antara aktres handalan negara yang pernah memenangi Anugerah Skrin.


RASANYA seperti baru sahaja semalam Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) berlangsung dalam suasana yang cukup gilang-gemilang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Hakikatnya, sudah hampir setahun acara penuh berprestij itu berlangsung dan kini, majlis yang mengangkat dan mengiktiraf karyawan seni tempatan itu kembali lagi.

Bakal berlangsung pada bulan Disember nanti, sudah pasti Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) merupakan acara yang cukup ditunggu-tunggu oleh semua peminat dan penggiat seni tanah air.

Bukan sekadar mengiktiraf dan mengangkat karya seni mereka ke peringkat yang lebih tinggi, sebaliknya ia juga merupakan pembuka jalan buat mereka untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti.

Memang itulah matlamat penganjuran Anugerah Skrin yang saban tahun terus memberi peluang kepada karyawan seni untuk mempamerkan karya hebat mereka yang mendapat sambutan penonton.

Umum mengetahui Anugerah Skrin bukan sekadar menghargai atau menobatkan gelaran yang terbaik kepada pembikin drama tetapi ia juga merangkumi kategori filem dan penerbitan dalaman kepada semua stesen televisyen dan penerbit filem di negara ini.

Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, ASK2009 mempertaruhkan 22 kategori yang meliputi tiga cabang berkenaan yang pastinya akan terus memberikan saingan yang cukup sengit.

Bagi kategori drama, sebanyak 10 kategori yang dipertandingkan tahun ini berbanding hanya sembilan sahaja tahun lalu.

Menyedari industri penyiaran tanah air yang berkembang pesat saban tahun, satu kategori yang julung kali diperkenalkan iaitu Videografi Terbaik yang menampilkan kelainan untuk ASK2009.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar, pengenalan kategori itu bertujuan mengiktiraf mereka yang terlibat dalam aspek visual dan teknikal.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan mutu kerja yang berkualiti dan cantik untuk dizahirkan ke layar kaca.

"Kerana itulah kami mahu memberikan pengiktirafan kepada mereka yang terlibat di belakang tabir untuk menggalakkan mereka dalam memberikan hasil kerja yang lebih bermutu," ujarnya yang memberitahu seni videografi sememangnya memainkan peranan cukup penting dalam menggerakkan perjalanan cerita sesebuah drama.

Selain pengenalan kategori Videografi Terbaik, ASK2009 turut membuat perubahan untuk kategori penerbitan dalaman apabila Rancangan Muzik Terbaik disatukan bersama Rancangan Hiburan Terbaik.

Ini menjadikan kategori penerbitan dalaman hanya mempertaruhkan lima kategori sahaja untuk tahun ini berbanding enam pada tahun lepas.

Seperti lazimnya, ASK2009 masih lagi mengekalkan konsep pintu terbuka dengan memberi peluang kepada semua stesen televisyen di negara ini untuk menyertai acara anugerah itu.

"Seperti yang pernah kami tegaskan sebelum ini, Anugerah Skrin bukanlah pertandingan antara stesen televisyen, tetapi untuk drama dan penerbitan yang disiarkan melalui stesen-stesen ini.

"Kami merasa bangga kerana pada tahun ini ASK2009 turut mendapat kerjasama dan sokongan positif dari rakan-rakan stesen televisyen lain selain menerima banyak pencalonan yang menampilkan muka-muka baru dalam bidang ini.

"Ini merupakan satu petanda positif dalam meningkatkan mutu seni tanah air dan juga menggalakkan penggiat-penggiat seni untuk berusaha lebih gigih lagi agar hasil karya mereka dihargai dan mendapat pengiktirafan," katanya lagi.

Mengulas tentang drama yang layak dipertandingkan untuk ASK2009 pula, Nurul Aini menjelaskan syarat penyertaannya masih lagi sama seperti mana tahun-tahun sebelum ini.

Kesemua drama yang ditayangkan diukur berdasarkan jumlah rating yang dicatatkan mengikut kajian AGB Nielsen Media Research bermula dari 1 Julai 2008 hingga 30 Jun 2009.

"Namun pun begitu, kami sesekali tidak akan berkompromi soal kualiti kerana apa yang kami utamakan adalah garapan skrip dan jalan cerita yang baik, lakonan mantap dan mutu penerbitan yang bagus serta mampu menyampaikan mesej positif sekali gus dapat menarik perhatian penonton," ujarnya.

Bagi kategori filem pula, jumlah kategori yang dipertandingkan masih lagi kekal dengan tujuh kategori dan tahun ini, sebanyak 25 buah filem layak bertanding.

Berbanding tahun lepas, ASK2009 turut menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan bagi setiap kategori yang dipertandingkan iaitu 17 buah drama, 14 drama bersiri dan lima drama komedi telah dicalonkan.

Sidang media ASK2009 bagi mengumumkan senarai akhir calon, hos, tema dan artis yang akan membuat persembahan pada malam itu akan diadakan pada bulan November nanti.

Bagi menyemarakkan lagi ASK2009, TV3 akan menayangkan kembali sebahagian daripada drama yang dicalonkan untuk ASK2009 bermula 4 Oktober lalu hingga 29 November ini.

Kesemua drama akan ditayangkan setiap hari Ahad pukul 9 malam dengan penayangan drama Jalan Pintas Ke Neraka dan Terlerai Takbir Kasih pada 4 dan 11 Oktober lalu.

Bakal menyusul adalah Al-Kiswah (18 Oktober) dan Rahsia Gambar, Sebelum Sejadah Dibentang, Tak Serupa Tapi Sama, Serunding Cik Kiah serta Takbir Rindu masing-masing pada 1, 8, 15, 22 dan 29 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: