
KUALA LUMPUR - Sekumpulan perompak mengambil kesempatan sempena cuti Deepavali untuk merompak kedai emas Madras dengan menebuk dinding premis tersebut dan melarikan barang kemas bernilai RM2 juta di Jalan Masjid India di sini semalam.
Kejadian tersebut disedari oleh seorang pekerja wanita Pasar Raya Mydin pada pukul 8.15 pagi ketika dia mahu mengambil barang-barang di dalam stor pasar raya itu.
Stor pasar raya itu terletak bersebelahan dengan kedai emas yang diceroboh.
Jurucakap polis berkata, ketika pekerja wanita itu memasuki stor itu, dia pelik melihat dinding premis tersebut yang terjungkit dan berlubang sebelum memaklumkan perkara itu kepada penyelia dan polis.

Lubang itu pula ditebuk sebesar tubuh orang dewasa untuk memasuki kedai emas itu.
Stor dan kedai emas yang terletak kira-kira 30 meter dari Balai Polis Jalan Masjid India itu hanya dipisahkan dengan papan nipis dan zink.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek telah memecahkan pintu belakang stor pasar raya tersebut sebelum menebuk dinding yang memisahkan kedai emas dengan stor pasar raya menggunakan alatan khas seperti cecair asid dan alat pengimpal," kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, penjenayah mengambil sebahagian barang kemas dari ruang pameran kaca yang semuanya dianggarkan bernilai RM2 juta dan meninggalkan sebotol cecair asid dan alat mengimpal di kedai emas itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: