Tuesday, October 13, 2009

Jiwa Melayu Sasha Bashir




Sasha Bashir

WALAUPUN memiliki darah campuran Melayu-Australia sehingga menyerlahkan personalitinya seperti wanita asing, namun ramai yang tidak menyangka darah yang mengalir dalam tubuh pengacara jelita ini cukup kuat mencintai seni budaya tempatan.

Sasha Bashir yang memiliki darah Melayu dari bapanya dan Australia ibunya mengakui, cintanya terhadap seni budaya tempatan lahir sejak kecil apabila ibu bapanya tidak pernah menghalang dia mendekati khazanah tempatan.

"Tidak bererti darah campuran yang mengalir dalam diri saya membuatkan saya lupa jati diri, saya adalah anak kelahiran negara ini dan sudah tentunya saya berbangga dengan tanah tumpah darah saya.


"Tarian adalah seni yang sangat saya minati sejak kecil lagi, bermula sekolah saya sudah menjinak-jinak dengan tarian ballet. Siapa yang menyangka dengan minat itu saya berbangga apabila dapat merealisasikan impian saya untuk menghasilkan sebuah program sendiri berkaitan tarian tradisional pelbagai kaum dalam dan luar negara," katanya yang pernah meneruskan pengajian dalam bidang seni persembahan di West Australian Academy of Performing Arts, Edith Cowan University.

Program dokumentari berkaitan tarian tradisional berjudul Dansa sebelum ini pernah disiarkan menerusi TV3 tahun lalu dalam versi Melayu. Kini program yang menyimpan segala informasi yang boleh dijadikan dokumentasi itu bakal disiarkan menerusi ntv7 bermula 15 Oktober ini dalam versi Inggeris pula.

"Program ini sudah menjalani penggambaran pada 2008 lagi. Saya menjalani penggambaran bukan saja di negara ini malah beberapa negara luar seperti Australia, Jepun, Thailand dan Indonesia.

SIDANG Akhbar Dokumentari Gaya Hidup berteraskan Tarian Tradisional dan Slot Dansa oleh Sasha Bashir di Hotel Sheraton Subang, baru-baru ini. - Foto Yahya Zainuddin

"Selepas menjalani penggambaran dokumentari program Dansa di negara ini, barulah saya tahu sebenarnya begitu banyak lagi tarian tradisional di negara kita yang unik dan belum diketengahkan.

"Jadi selepas menyiarkan dokumentari ini di TV3 lalu, saya rasa amatlah rugi sekiranya informasi berguna ini dapat dikongsi kepada mereka yang bukan berbangsa Melayu," katanya yang ditemui pada sidang media Dansa baru-baru ini.

Anak anak sulung daripada tiga beradik ini turut menegaskan, dokumentari berkonsepkan 'travelogue' dengan menyaksikan dirinya yang akan mendemonstrasikan setiap tarian yang dipelajari bukanlah bertujuan mengajar keseluruhan asas dan teknik tarian sehingga seseorang itu mampu untuk menari.

"Sebenarnya apa yang dipaparkan menerusi Dansa bukanlah untuk mengajar tetapi sekadar mendedahkan pelbagai bentuk tarian yang unik dan semakin dilupai. Dengan cara ini sebenarnya kita boleh menyimpan ia sebagai khazanah yang tidak hilang begitu saja.

"Setiap destinasi yang saya pergi, saya akan meluangkan masa selama tiga hari untuk belajar tarian ini dan akan dipersembahkan kepada penduduk kampung apa yang saya pelajari.

"Walaupun setiap episod yang akan menyaksikan saya membuat persembahan di hadapan penduduk kampung sentiasa berdebar-debar dan tarian itu juga tidak sesempurna mana namun saya puas," katanya yang berpeluang mengembara ke segenap pelusuk tanah air dan beberapa negara Asia, termasuk Jepun bagi mencari bahan menarik untuk dipaparkan kepada penonton.

Nama seperti Kecak, Petenun, Randai adalah nama tarian yang begitu eksotik dan bakal dipaparkan ini adalah sebahagian dari jenis tarian tradisional yang bakal dipaparkan dalam dokumentari gaya hidup terbaru, Dansa.

Dansa yang akan disiarkan sebanyak 13 episod setiap Khamis jam 7.30 malam mulai 15 Oktober ini menerusi ntv7.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau yang pernah bertugas sebagai Penolong Pengarah Perhubungan Awam di Istana Budaya (IB) selama empat tahun sebelum ini, berkata tarian tradisi sebenarnya berkait rapat dengan pembentukan sosiobudaya masyarakat.

"Saya cuba menjejaki asal usul tarian tradisional di sesebuah negeri

atau negara yang dilawati, dengan penggambaran kebanyakannya dilakukan di pedalaman, saya dapat melihat variasi jenis lenggok dan gerakan tarian yang menjadikan sesuatu tarian itu lebih unik dalam persembahan terakhirnya.

"Seperti di negara Jepun saya mempelajari tarian Ougiodori yang kaya dengan adat tradisi. Selain teknologi, mereka turut dihormati dalam bidang muzik, fesyen mahupun video muzik.

"Walaupun kita dan Jepun berada dalam rantau Asia dan memiliki persamaan dalam beberapa perkara membabitkan budaya dan tradisi, namun pembinaan tamadun mereka jauh lebih awal," katanya.

INFO: Sasha Bashir

  • Asal: Kuala Lumpur
  • Usia: 28 tahun
  • Keturunan: Melayu - Australia
  • Akademik: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan (West Australian Academy Of Performing Arts, Edith Cowan University).
  • Profesion: Pengacara dan Pelakon.
  • Pengalaman Kerjaya: Penolong Pengarah (Perhubungan Awam) Istana Budaya.
  • Program TV: Explorace - The Extreme Journey, Beauty Secrets From The East dan Dansa.
  • Teater: Lady Swettenham, My Bollywood Summer, Titiwangsa dan Emas 10.
  • Filem: The Red Kebaya.
  • Drama: Lima Jingga.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: