
INGAT nama ini, Jasmine Michael atau lebih glamor, Jasmin. Mungkin ia akan berubah menjadi Geetha dalam sekelip mata lantaran watak utama yang diberikan kepada gadis berusia 30 tahun ini. Estet, lantai pertama buat gadis ini yang berbentuk komersial di tanah industri perfileman Melayu.
Jasmin yang selama ini bergerak di dunia drama dan telefilem Tamil sudah bersedia menyemarakkan kewangian namanya yang bak bunga untuk peminat domestik. Katanya ini adalah masa yang tepat untuk dia bergerak memulakan langkah seterusnya dalam bidang lakonan. Gemalai tubuhnya sudah bersedia untuk menyahut cabaran demi cabaran yang bakal dihadapinya untuk satu bakat yang dia sendiri tidak pernah tahu mengalir dalam setiap buluh darahnya.
Saat dirinya difotokan di Studio Utusan, dia terus bertransformasi menjadi profesional. Pengalaman tarian klasiknya ditumpahkan di bilik tersebut dengan senyum yang tidak lekang sambil melentok liuk badannya. Kata orang wajah Jasmin persis pelakon Fasha Sandha. Dia sudah terbiasa dengan perbandingan dan kesamaan itu. Jawabnya merendah diri, "Fasha lebih cantik. Saya sukakan kulitnya."
Langkah kanan Jasmin
Percikan antusias lakonan lambat mekar dalam diri Jasmin. Saat menemani rakannya ke satu uji bakat lakonan, dia tiada niat ke arah itu. Malah ketika rezeki datang bergolek ke kakinya, dia masih ragu-ragu. Namun kesungguhan syarikat penerbitan filem, Suhan Panca mengesan bakat lakonannya, dia tahu tembok itu boleh dipecahnya dengan niat yang baik ke arah menggilap bakat diri. "Saya dahulu hanya mahu menari dan takut sangat untuk berlakon. Tapi galakan yang diberikan melalui telefilem pertama membuatkan saya yakin dengan bakat ini," ujarnya tersenyum manis.
"Cinta pertama saya sebenarnya tertumpah pada tarian. Sejak usia 11 tahun lagi saya sudah mendalami tarian klasik dan terus mencintainya. Mendapat latihan formal di Bharathanatiyam, sebuah sekolah tarian klasikal, kemahiran dalam tarian banyak membantu saya dalam bidang lakonan. Aspek reaksi serta gerak badan yang saya pelajari saya adaptasi dalam lakonan saya," ujarnya yang sudah banyak menabur pengalaman di pentas tarian.
Wajah manis gadis ini jika ditenung-tenung pasti membuahkan rasa seperti ia pernah ditatap. Raut wajahnya ternyata begitu laris untuk komersial TV. Selama ini Jasmin pernah muncul di komersial seperti Pringles, Linggam's Masala, Nokia, Suruker Coffee dan Fairness Cream. Kerjayanya kemudian menjalar ke siri drama Tamil serta klip video dan mendapat respon yang baik daripada pengarah dan peminat drama Tamil. Hidup Jasmin kemudian berubah ke arah yang lebih bercahaya.

Tidak pernah jadi kedua
Dalam malu-malu dia bersyukur dengan rahmat yang datang dalam dirinya. "Bukan bermaksud meninggi diri tetapi setakat kini, saya sentiasa ditawarkan dengan watak utama dan belum pernah diberikan watak kedua. Saya bersyukur rezeki saya terarah ke sana. Saya dinasihatkan supaya terus dengan tapak sekarang selagi masih berada dalam permintaan dalam pasaran," ujarnya.
Lalu, saya tanyakan tentang kononnya dia dikatakan pengganti kepada penyanyi Jaclyn Victor untuk watak Geetha dalam filem arahan Mamat Khalid, Estet.
"Saya sering ditanya soalan yang sama. Tetapi setahu saya, watak Geetha memang diberikan kepada saya dan Jac pula ditawarkan watak yang lain. Tetapi saya rasa saya bukanlah orang yang berhak bercakap tentang perkara ini," ujarnya jujur, lantas menepis kata-kata yang dia adalah pilihan kedua. Jelas tampuk 'pelakon utama' masih lagi bertakhta dalam perjalanan kariernya.
Apabila ditanya apa yang paling mengujakan bergelar pelakon sedangkan karier itu tiba-tiba jatuh di ribanya dia tertawa manja. "Saya tidak berasa glamor atau mahu ke arah itu. Saya juga tidak mahu hipokrit dan tidak menjadi diri sendiri. Sepanjang bergelar pelakon selama tujuh tahun apa yang paling mengujakan saya adalah setiap kali saya masuk ke dalam karakter yang diberikan. Itu paling mengasyikkan," jujur lagi dia berbicara.
Untuk Estet katanya, dia teruja mengenali semua pelakon, tenaga produksi terutamanya berada di bawah payung pengalaman Mamat Khalid. Dia lantas membuka cerita bahawa ramai peminatnya juga adalah peminat aktor Farid Kamil yang merupakan pasangannya untuk filem Melayu pertamanya ini.
"Saya suka bekerja dengan abang Mamat. Sewaktu kerja dia serius sebagai pengarah. Apabila laungan cut berbunyi, dia kembali sebagai kawan yang sangat baik. Cara dia berinteraksi dengan pelakon sangat menyenangkan. Malah, saya juga berasa seronok dapat bekerjasama dengan Farid, hero Melayu yang terkenal sekarang. Dia banyak membantu dan menyenangkan kerja," ujarnya sambil mengimbas adegan Farid melafazkan bait-bait romantis dalam bahasa Tamil paling menggelikan hatinya. "Jujurnya saya gementar menerima respon untuk filem Estet," bisiknya.

Kahwin tahun hadapan
Sewaktu sampai di lokasi fotografi ini, dia ditemani seorang lelaki. Tanpa ragu-ragu dia memperkenalkan jejaka itu adalah tunangannya. K.K. Khanna. Bagi yang tahu siapa dia maka tahulah sumbangannya dalam industri hiburan Tamil.
Pengikat hati Jasmin itu adalah penggiat seni yang penuh dengan pelbagai bakat. Khanna nama itu berdiri kuat dengan portfolio seorang editor, penyanyi malah pengarah dalam ruang industri Tamil.
"Kami sudah berkenalan selama sembilan tahun dan empat tahun lalu kami mengikat tali pertunangan. Kalau semuanya berjalan lancar, tahun hadapan kami akan bergelar suami isteri. Semuanya dalam perancangan," ungkapnya yang juga menyatakan Khanna bertugas menjaga jadual dirinya sekarang.
"Dia ambil masa setahun untuk ajak saya keluar minum. Sampai sekarang dia masih mengungkit perkara itu. Saya sukakan Khanna kerana dia seorang lelaki yang kelakar dan buat saya ketawa. Apabila dia bertugas dia seorang yang serius," senyumnya malu-malu mengingat perkara lalu. Namun, gadis ini tidak takut untuk bergelar isteri sedang namanya sebagai pelakon sedang naik.
"Itu fasa yang akan dilalui oleh semua wanita, perkahwinan. Malah itu satu penggembaraan untuk kami. Saya mahu melalui satu lagi langkah dalam kehidupan dan merasai tanggungjawab itu. Saya mahu merasai itu semua," tegasnya dalam nada seorang wanita.
Kesibukan bakal pengantin ini membuatkan ruang masa untuk mereka semakin berkurangan tetapi panggilan telefon dan SMS mengubati rindu kejauhan. Malah untuk hari kebesaran, Deepavali, Jasmin hanya sempat bercuti dua hari sahaja. Perayaan tahun ini disambut dengan berehat dan menziarahi sanak saudara yang terdekat. Selepas dua hari, dia perlu menyarungkan kembali persalinan kerjayanya sebagai pelakon.
"Ucapan Deepavali saya untuk semua rakyat Malaysia. Semoga cahaya akan sentiasa menerangi kita dan membuatkan kita sentiasa bergemerlapan dalam keamanan, kegembiraan dan kesejahteraan," ucapnya mengakhiri temu bual.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: