
BAITULMAQDIS - Seorang pegawai kanan Palestin semalam mendakwa Israel sengaja mencetuskan situasi berbahaya apabila mencetuskan keganasan di bahagian timur Baitulmaqdis dan melancarkan tindakan keras yang pada akhirnya meningkatkan penguasaannya di kota itu.
"Israel menyalakan mancis dengan harapan kebakaran akan berlaku dan dengan sengaja meningkatkan ketegangan di bandar yang ditakluk berbanding mengambil langkah untuk menenteramkan suasana," kata Ketua Perunding Damai Palestin, Saeb Erekat dalam satu kenyataan sebelum mengadakan pertemuan dengan perwakilan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada minggu ini.
Beberapa pemimpin Palestin mengeluarkan beberapa amaran sejak minggu lalu bahawa pertelingkahan di Masjid Al-Aqsa membabitkan polis Israel dan penduduk Islam Palestin merupakan usaha aktivis agama Yahudi untuk memasuki masjid itu.
Kompleks Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat suci ketiga bagi umat Islam itu kerap berlaku ketegangan.
Pasukan keselamatan Israel mengehadkan kemasukan umat Islam ke Masjid Al-Aqsa dengan membenarkan hanya wanita dan lelaki berumur lebih 50 tahun memasukinya.
Beberapa sumber Palestin berkata, ketegangan di Al-Aqsa sangat berbahaya kerana ia boleh mencetuskan tindak balas di luar kawalan seperti yang berlaku pada masa lalu.
Sementara itu, polis Israel menempatkan ribuan anggota di jalan-jalan raya kerana bimbang pertempuran dengan penunjuk perasaan Palestin yang berlaku sejak dua hari lalu akan merebak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: