Saturday, October 10, 2009

Ikon baru destinasi pelancongan

Menawarkan pelbagai hadiah lumayan, Kenyir Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009 turut mengetengahkan produk pelancongan terbaik di negeri Terengganu.




JAM di tangan tepat menunjukkan pukul 5 pagi. Dalam kepekatan subuh, jeti Tasik Kenyir Resort terang dengan cahaya lampu tidak seperti beberapa hari sebelumnya.

Ini kerana kurang daripada 15 minit akan berlangsung acara pelepasan peserta memancing Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009.

Di satu sudut jeti, peserta dari China kelihatan seperti tidak sabar untuk berlepas ke lokasi memancing. Walaupun tidak dapat memahami apa yang dikatakan, namun gerak-geri peserta pelbagai peringkat umur itu boleh difahami dengan jelas.


SEORANG peserta dari China melemparkan mata kailnya ke dalam tasik.


Masing-masing sibuk memeriksa bekalan umpan dan memilih umpan yang terbaik untuk memastikan sekurang-kurangnya mereka dapat menaikkan ikan baung besar dari dalam tasik buatan manusia terbesar di Asia itu.

Jika bernasib baik wang tunai berjumlah RM15,000 mungkin menjadi milik mereka. Barangkali itulah perkara yang berlegar dalam kepala setiap pemancing profesional tersebut.

Acara yang julung-julung kali diadakan itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT). Ia juga buat pertama kali menerima penyertaan daripada kaki pancing dari negara China.


ACARA pelepasan yang menandakan bermulanya persaingan.


Suasana terasa cukup meriah apabila acara itu disertai oleh 124 orang kaki pancing dari pelbagai persatuan memancing termasuklah persatuan memancing dari Hong Kong, Taiwan dan China. Tidak ketinggalan, sebanyak 50 wakil media tempatan dan asing serta pengiring turut memeriahkan acara.

Salah seorang peserta dari Hong Kong, Chaw Kam Tong, 41, mengakui berkunjung dan memancing di Tasik Kenyir adalah pengalaman pertama buat dirinya.


KUMPULAN peserta pertandingan memancing dari China merakamkan gambar kenangan sebelum berangkat pulang.


Kepuasan memancing mengatasi kekecewaan tidak memenangi sebarang hadiah lumayan. Baginya, berada di bumi Malaysia terutama di Tasik Kenyir yang kaya dengan keindahan semula jadi memberi satu pengalaman berharga buat dirinya.

Kurang fasih berbahasa Inggeris, dengan bantuan seorang rakan, Kam Tong memberitahu, pertandingan seumpama itu memberi peluang kepada dirinya untuk mengenali kaki pancing lain, selain bertukar-tukar pendapat mengenai spesies ikan yang ada di Tasik Kenyir.

"Malaysia sangat indah. Saya kagum dan gembira dapat menyertai pertandingan ini. Walaupun tidak berharap untuk menang besar, namun saya puas menikmati keindahan flora dan fauna di sini," ujar Kam Tong yang datang bersama rakan-rakan lain.

Seorang wakil media dari China, Du Qin, 37, pula memberitahu, sepanjang tempoh membuat liputan pertandingan, kaum keluarga dan golongan wanita yang tidak turun ke tasik untuk memancing menghabiskan masa di sekitar Tasik Kenyir Resort untuk meninjau beberapa produk pelancongan yang ditawarkan di Tasik Kenyir.


SEPASUKAN anggota Polis Marin berbincang mengenai aspek keselamatan para peserta ketika pertandingan baru dimulakan.





Mereka ternyata gembira kerana berpeluang menikmati keindahan dan tasik buatan terbesar itu.

"Ini sangat bagus. Saya mempelajari banyak perkara baru di sini. Rata-rata rombongan kami berpuas hati dan berhasrat untuk datang lagi ke Tasik Kenyir," ujar Du Qin.

Sementara itu, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd. Ghani mengulas tujuan utama acara diadakan adalah untuk menggalakkan kedatangan pelancong dari China ke Malaysia khususnya negeri Terengganu.

"Acara ini merupakan rentetan daripada kejayaan program memancing yang disertai pemancing dari China pada bulan April lalu," katanya sambil tersenyum.

Selain itu, antara sebab kenapa acara itu diadakan di Tasik Kenyir adalah kerana ingin memperkenalkan Tasik Kenyir sebagai destinasi sukan memancing ikan air tawar bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.

Malah, produk pelancongan Tasik Kenyir yang unik dan berkonsep semula jadi juga dapat diketengahkan.

"Kami berhasrat mahu menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan utama yang mampu menjadi ikon baru acara pelancongan di Negeri Terengganu," ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kenyir Cup Goodwill Fishing Competition Terengganu-China 2009 di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Dalam pada itu, dengan mata yang diperoleh sebanyak 320, pemancing dari Malaysia, Mohd Zaki Mat Zin dan Asri Mat Isa membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 setelah dinobatkan sebagai juara.




Sementara tempat kedua pula dimenangi oleh Yeung Wei Chi dan Wong King Tsuen dari China yang mengumpul sebanyak 242 mata.

Selain itu, Anugerah Khas Toman dan ikan Belida terbesar pula menjadi milik Mohd Zaki Mat Zin dan Asri Mat Isa dengan ukuran toman sepanjang 78 sentimeter manakala belida, 85 sentimeter.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: