
Hujan menjadi satu fenomena bagi industri muzik, kumpulan yang mula beraksi pada tahun 2005 mula digerakkan oleh Noh sebagai ketua kumpulan. Beliau sendiri memulakan kugiran ini di lawan sesawang sosial Myspace. Mulai dari itu, beliau terus menghasilkan album EP yang berjudul 1,2,3 Go? Pada tahun 2006 mulalah misi Hujan memperkenalkan muzik mereka.
Hujan amat senang membawa aliran muzik mereka ke alternative rock dan dialunkan di dalam Bahasa Melayu. Pada tahun 2007 - 2008, kerjaya Hujan berkembang maju bukan sahaja di Malaysia malah di Indonesia dan kota London. Memberi satu dimensi baru dalam perkembangan industri muzik tanah air. Hujan turut berjaya mengadakan persembahan gig di merata-rata tempat di seluruh tanah air sekali gus menunjukkan muzik Indie semakin diterima baik oleh peminat muzik tanah air.
Kini, Hujan tampil dengan album terbaru, Mencari Konklusi. Album yang mula berada di pasaran sejak 18 Ogos lalu adalahterbitan Noh Phrofile. Untuk album yang kedua ini, Hujan bekerjasama dengan Metadome Sdn Bhd yang akan membuat promosi dan memasarkan album terbaru mereka secara digital.
Lagu-lagu yang terdapat di dalam album Mencari Konklusi ini ialah 2ndairwave, Obsesi, Mencari Konklusi, Kau Harus Ada, Benci, Romantik dan Sangkar Besi Dihatiku.
“Album ini seperti pasport kepada kami untuk bersama memasuki dan merancakkan industri muzik. Keseluruhan lagu ini adalah ekspresi hati kami yang dihasilkan menerusi pengalaman. Ia banyak menyentuh soal kehidupan,” kata Noh ketika ditemui pada majlis pelancaran album itu di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Muzik yang diperjuangkan mereka telah membuka mata dan telinga peminat muzik tempatan serta membuktikan karyawan seni tanah air masih lagi belum ketandusan idea. Malah muzik yang diberikan amat segar, inovatif dan kreatif sesuai untuk santapan kepada peminat muzik tempatan. Seiring dengan usia muda mereka, muzik yang dibawakan berpadu bersama kehendak peminat muzik tempatan.
Pengurus Kanan Metadome, KC Ismail berkata, Metadome akan bertindak sepenuhnya di atas promosi album ke-2 Hujan ini. Katanya: “Kami menjadi penyedia kandungan mobile lagu-lagu Hujan. Kepada peminat-peminat yang ingin memuat turun nadi dering di dalam album Mencari Konklusi, anda boleh berbuat demikian dengan mendapatkan kod-kod lagu yang terdapat di dalam kulit album ini.”
Para peminat juga boleh mendapatkan berita-berita terkini mengenai kumpulan ini di www.metamobile.com.my.
Hujan juga telah dipilih sebagai Artis Of The Month – Maxis bagi bulan Oktober. Untuk bulan ini, mereka akan menjadi muka depan web page dan wap page Maxis.
Hujan akan mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia bermula di Singapura pada 7 Oktober lalu, diikuti pada 16 Oktober bertempat di Universiti Malaysia Perlis, Kangar, 17 Oktober di Carnivall, Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, 18 Oktober di Hard Rock Hotel, Batu Ferringgi, Pulau Pinang. Seterusnya mereka akan ke Taiping dan Ipoh pada 23 dan 24 Oktober. Diikuti pada 31 Oktober di Kuala Terengganu, 1 November (Kuantan, Pahang) dan 8 November (Melaka).
Mereka turut merancang mengadakan siri jelajah di Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu dan Tawau tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: