| Fesyen rambut yang unik membuatkan fikiran melayang seketika memikirkan siapakah gadis genit di depan mata. Setelah diteliti dan puas memerah otak, barulah terbayang peserta One In A Milllion 3 (OIAM), Han yang tersingkir pada pusingan kedua. Han muncul dengan imej rockstar. Memang tidak mudah mencari identiti sendiri tanpa sebarang inspirasi. Namun menurut Han, beliau sudah jemu berambut panjang dan inginkan kelainan. "Ini rambut untuk sambut hari raya," ujarnya ringkas.
Menurut Han, Metadome Sdn Bhd label rekod naungannya inginkan beliau tampil dengan imej diva sesuai dengan album konsep Big Ballad, namun Han berkeras menafikan imej tersebut kerana jiwanya lebih kepada rock.
 "Pija Mentor banyak bagi idea kepada saya untuk imej rockstar tapi yang saya geram bila salon tersalah potong rambut. Nak tak nak saya kena bersabar dan terima. Terpulang sama ada orang akan terima atau tidak imej ini kerana yang penting saya selesa," ujar Han mesra.
Memang mudah mendekati anak kelahiran Sabah ini, walaupun tersingkir awal dalam OIAM namun berbekalkan suara yang mantap dan imej yang unik tidak mustahil artis Metadome ini bakal menyinar seiring dengan artis yang berpayung dengan label tersebut seperti Liyana Jasmay, 6ixth Sense, Imran Ajmain, Nurul dan Fabulous Cats.
Bersama Metadome
Tuah manusia memang tidak dapat diramal, semuanya ketentuan Yang Maha Esa. Rehana Mohd Yunus atau lebih dikenali dengan nama Han OIAM kini mengorak langkah lebih jauh apabila bakal melancarkan album berkonsepkan Big Ballad. Walaupun gagal meneruskan perjuangannya, namun nasib lebih menyebelahi Han apabila beliau bakal muncul dengan single terbaru Mungkin Ada Lagi dan Bisikan Rindu dengan sentuhan komposer terkenal seperti Azlan Abu Hassan dan Mohariz Yaakob yang sedang berkumandang di setiap corong radio.
Bagi Han, walaupun Pengarah Urusan Metadome, Ferhad Ahmad merupakan sepupunya, namun itu bukanlah sebab utama Han ditawarkan kontrak bersama label tersebut.
"Han dapat kontak tersebut dan selepas itu barulah kami tahu yang kami ada talian persaudaraan," katanya.
Adalah perkara biasa apabila artis baru ditawarkan watak dalam lakonan. Namun bagi Han, nyanyian adalah keutamaannya buat masa ini.
"Saya pernah ditawarkan watak dalam Cuci The Muzikal bersama rakan OIAM yang lain tapi terpaksa tolak sebab saya memang tak ada bakat dalam lakonan. Lebih-lebih lagi apabila kena menari dan berlakon dalam masa yang sama," ujar gadis manis ini.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: