![]() |
| SALAH sebuah kereta yang diperkenalkan dalam rancangan Getacar. |
PORSCHE Cayman S, Lamborghini Gallardo LP560-4 dan Mazda 3 Sport. Itu adalah antara kereta mewah yang menjadi impian ramai orang.
Dapat melihat kelibat kereta mewah sebegitu di jalan raya sudah cukup buat kita teruja apatah lagi jika dapat melihat kehebatannya secara lebih dekat.
Namun, tidak ramai yang tahu kehebatan atau kekurangan kereta-kereta ini dan yang manakah boleh dinobatkan sebagai kereta terbaik.
Kini, buat pertama kalinya, rakyat Malaysia dapat menyaksikan sebuah rancangan televisyen permotoran yang pertama di Malaysia, Getacar, yang akan memaparkan kehebatan kereta-kereta ini secara lebih terperinci dan mencari yang terbaik antara semua.
Ditaja oleh CIMB Preferred, CIMB Bank, program sebanyak 10 episod ini disiarkan di ntv7 setiap hari Rabu pada pukul 7.30 malam dan akan menemui penghujungnya pada 21 Oktober ini.
Getacar yang pada asalnya bermula dari majalah permotoran yang terkenal, Getacar terbitan Paragon Publishing, diacarakan oleh pelumba kereta profesional, Adien Yein dan Lynn Teoh.
Menurut Pengarah Urusan Paragon Publisihing, Adlin Yusman, Getacar yang pada asalnya adalah sebuah majalah, dibuat dalam bentuk program televisyen dengan mensasarkan kepada penonton yang lebih ramai.
"Majalah Getacar telah diterbitkan sejak empat tahun lalu dan mendapat respons yang baik daripada orang ramai yang meminati bidang permotoran.
"Memandangkan respons yang positif, kami terbitkannya untuk televisyen dan merupakan program sebegini yang pertama di Malaysia.
"Kami berharap dengan program ini dapat membuka lebih banyak mata tentang kehebatan teknologi permotoran sekarang di samping dapat memberi idea kereta yang mana bersesuaian dengan cara hidup mereka.
"Selain itu, kami juga memaparkan kereta yang terbaik atas pilihan juri dan orang ramai," ujar Adlin dalam satu sidang media memperkenalkan rancangan Getacar di Restoran Ibunda, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam setiap episod, Getacar akan memaparkan dua pengacara ini mencuba kereta yang berlainan setiap minggu dan akan memberi maklumat terperinci berkenaan kereta itu termasuklah kekurangannya.
Program yang mengetengahkan konsep santai ini akan membawa penonton mengenali kehebatan dunia permotoran.
Antara kereta yang ditonjolkan ialah Ford Focus S, Peugeot 308, Peugeot 207 Couple Cabrio, Mazda RX8, Mazda 3 Sport, Porsche Cayman S, Kia Rondo, Kia Optima Audi A6 dan Honda City.
Secara dasarnya, kereta-kereta ini dihakimi dalam dua kategori iaitu The People's Choice Award dan Performance Car Award yang akan diumumkan pada akhir rancangan Getacar nanti.
The People's Choice Award dipilih berdasarkan undian 100 orang pelanggan CIMB Preferred manakala Performance Car Award dipilih berdasarkan penilaian juri profesional dalam bidang pemotoran.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: