Thursday, October 8, 2009

Gamat popularkan Adalia dan Aidil


AMY Mastura dan anaknya, Adalia bersama terlibat dalam pementasan teater muzikal Gamat.


DIPENTASKAN di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bermula 4 hingga 12 Oktober ini, teater muzikal Gamat yang menampilkan Amy Mastura selaku Ibu Gamat hadir penuh warna-warni dalam menghidupkan suasana dasar laut.

Menjadi daya penarik untuk 'mengumpan' penonton khususnya kanak-kanak bertandang ke IB, Gamat menjadi wadah terbaik dalam mendidik generasi muda akan kepentingan menjaga kebersihan, menyayangi alam sekitar serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Meletakkan hampir keseluruhannya adalah pelakon kanak-kanak, keletah serta keyakinan mereka beraksi di pentas teater pastinya mampu mencuit hati penonton.

Dengan kostum yang memperlihatkan kepelbagaian spesies laut, menariknya, anak kedua Amy Mastura iaitu Adalia, 4, turut sama membintangi Gamat dengan memegang watak sebagai Landak Laut.

Diberi 'lampu hijau' oleh Amy untuk menjejakkan kaki ke bidang seni, Adalia yang agak pemalu menyimpan cita-cita untuk mengikuti langkah Amy.

Melahirkan rasa teruja kerana dapat berlakon bersama ibunya, namun dalam Gamat Amy dan Adalia tidak 'dipertemukan' dalam mana-mana babak sepanjang berlangsungnya teater berkenaan.

Meskipun begitu, Adalia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mewarnai watak yang diberikan.

"Seronok dapat berlakon dengan ibu. Satu hari nanti saya hendak jadi sepertinya (ibu),'' kata Adalia ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon dan penaja teater muzikal Gamat di IB, baru-baru ini.

Jelas Adalia, dirinya sangat menyukai bidang lakonan yang sedikit sebanyak membantunya untuk menghayati watak yang diberikan.

Ditanya mengenai minatnya sama ada menjurus kepada lakonan atau nyanyian, Adalia dengan nada ringkas berkata : "Saya hendak jadi pelakon. Tidak mahu nyanyi.''

Selain Adalia, turut sama melakonkan watak Landak Laut iaitu M. Daniel Aiman M. Azlan, Mohd. Haris Muqris Harinto, Erinna Hefleen Azrin, Muhammad Hazim Syazwi, Elhann Sairish Azrin, Qayyum Isqandar Badrul Izwanni, Putera Habib Shah Hadz Abdullah dan Mohd, Nabil eiman Mohd. Fauzi manakala Balqis Omar sebagai Ibu Landak Laut.

Teater muzikal Gamat arahan Zaifri Husin juga menampilkan Datin Natasha Hudson yang memegang watak Ikan Buntal.

Ia merupakan teater ke-24 yang diterbitkan oleh Siti Rohayah Attan dengan menelan belanja lebih RM1 juta.

Antara agensi yang menyumbangkan tajaan sempena pementasan teater muzikal Gamat ialah Malaysia Airports Holdings Bhd., Jusco Foundation, Carrefour Malaysia dan Suria FM.

Pementasan teater muzikal Gamat tercetus hasil daripada persembahan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Panggung Eksperimen Aswara pada dua tahun lalu berjudul Gamat yang disaksikan sendiri oleh Siti Rohayah.

Ia kemudiannya diubahsuai kepada teater muzikal untuk pementasan di IB dengan penghasilan 29 buah lagu.

Aidil bangga dapat watak utama

Sementara itu, bagi murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, Muhammad Aidil Solehin Marhalim, teater muzikal Gamat merupakan pembabitan pertamanya di pentas teater.

Terus diberikan watak utama selaku Anak Gamat bernama Mat, Muhammad Aidil atau mesra disapa Aidil mengakui tidak menyangka akan memperoleh peluang sedemikian sementelah dirinya tidak pernah terlibat dalam mana-mana pementasan teater sebelum ini.

"Ibu saya (Siti Norlela Saimon) menghantar saya pergi ke uji bakat pada Mac lalu di IB.

"Tidak sangka saya diterima berlakon. Selepas uji bakat kedua, entah saya diberi kepercayaan memegang watak utama.

"Saya memang sudah lama meminati dunia lakonan dan bercita-cita untuk jadi seperti Rosyam Noor satu hari nanti,'' katanya yang menyimpan azam untuk membawa ibunya mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci Mekah hasil daripada bayaran lakonan yang diterimanya.

Menurut Aidil, untuk membolehkannya mampu menguasai lakonan dan nyanyian dalam Gamat, dia terpaksa membuang segala sifat malu.

Ditanya mengenai lakonannya bersama Amy Mastura, Aidil yang turut mendapat galakan ahli keluarga dan guru-guru di sekolah berkata : "Seronok dapat berlakon dengan Kak Amy. Dia kelakar dan baik.''

Sambutan penaja

Dalam pada itu, Siti Rohayah berkata, pihaknya menghargai tindakan beberapa agensi dan syarikat korporat yang menghulurkan penajaan sempena pementasan teater muzikal Gamat.

Sungguhpun begitu, beliau bagaimanapun melahirkan rasa kecewa dengan beberapa syarikat korporat terutamanya berkaitan telekomunikasi yang sering memandang sepi untuk menaja mana-mana pementasan teater di IB.

"Apa pun, terima kasih kepada barisan penaja kerana membantu pementasan Gamat. Orang memberi, kita harus menghargai mereka.

"Carrefour contohnya telah menaja anak yatim untuk menyaksikan pementasan Gamat pada 3 Oktober. Begitu juga dengan syarikat korporat yang lain seperti Jusco dan Malaysia Airports serta agensi-agensi kerajaan,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: