Friday, October 9, 2009

Gamat gamatkan Istana Budaya


AIDIL (tengah) memberikan lakonan terbaik di sisi Amy Mastura dan Zuhairi sebagai sebuah keluarga gamat.


MEMBIKIN teater muzikal yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak tidaklah semudah yang disangkakan. Bukan sahaja memerlukan jalan cerita yang menarik, pemilihan kostum, props, set, penata cahaya, pelakon dan muziknya perlu sesuai dengan jiwa kanak-kanak.

Ini kerana jika terdapat kekurangan dalam sebarang aspek, muzikal itu tidak mampu menahan kanak-kanak daripada duduk diam di kerusi untuk menghabiskan keseluruhan persembahan. Durasi juga memainkan peranan penting kerana kanak-kanak akan jemu jika berada dalam satu kedudukan terlalu lama.

Namun, situasi itu mungkin boleh berubah jika ada benda yang menarik perhatian mereka. Teater muzikal Gamat yang memulakan persembahan sejak 3 Oktober lalu sehingga 12 Oktober nanti berjaya melakukannya.

Walaupun berlangsung selama hampir dua jam setengah, bukan sahaja kanak-kanak memberi sepenuh fokus sehingga saat akhir tetapi audiens dewasa juga terhibur sama. Cuma pada pendapat penulis, jika pementasan itu boleh dipadatkan, ia akan memberikan lebih impak.

"Kita tidak boleh memendekkan ceritanya tetapi akan memperbaiki kualitinya. Maksud saya memberikan persembahan yang lebih kemas. Semasa latihan dibuat, rata-rata pelakon terutama kanak-kanak melakukan kerja yang baik.

"Maka, apabila keadaan menjadi sedikit kelam-kabut di atas pentas, penonton akan merasakan satu-satu babak itu menjadi terlalu meleret. Itu adalah kesukaran yang dihadapi tetapi saya berharap mampu memperbaikinya," kata Pengarah Gamat, Zaifri Husin yang ditemui selepas pementasan teater itu.

Namun, Zaifri tidak merasakan dua jam setengah itu terlalu panjang asalkan ada perkara menarik yang berlaku di atas pentas. Jika tidak, penonton akan meninggalkan dewan walaupun hanya selepas lima minit menyaksikannya.

Pernah terfikir untuk menggunakan khidmat pencerita untuk melancarkan persembahan memandangkan masa selama empat minit diperlukan untuk menukar satu set, Zaifri terpaksa melupakan hasrat itu selepas calonnya menolak tawaran tersebut.

Menyaksikan kesemua elemen diadun dengan baik, audiens mungkin tidak tahu kekalutan yang berlaku di sebalik tabir. Melibatkan 87 pelakon yang sebahagian daripadanya ialah kanak-kanak, 20 penyanyi korus, lima pemuzik, produksi yang melibatkan 300 orang itu mengambil masa dua bulan untuk direalisasikan.


KREATIVITI kostum dan solekan antara tarikan yang mengindahkan lagi karya Gamat.


"Walaupun sudah berlatih selama dua bulan, kanak-kanak cepat lupa terutama mereka yang menjayakan watak landak laut. Mereka sangat sukar untuk dikawal kerana hanya berusia 3 dan 4 tahun. Maka, kami mewujudkan watak ibu landak laut untuk memberi arahan serta mengawal mereka di atas pentas," jelas Zaifri yang juga merupakan penulis skripnya.

Sarat dengan mesej kekeluargaan dan alam sekitar, setiap kumpulan hidupan laut yang membuat persembahan terlebih dahulu diperkenalkan untuk memberikan informasi kepada kanak-kanak. Bukan itu sahaja, banyak penyelidikan dilakukan oleh produksi dalam menghasilkan kostum, pergerakan dan set.

"Kita perlu fikir cara kanak-kanak. Jadi adalah penting untuk memberikan informasi terbaik kepada mereka termasuk rupa dan sifat hidupan laut. Maka, kostum, set dan sifat jenis-jenis hidupan laut dikaji dan diubah berulang-kali bagi mencapai kesempurnaan," tambahnya.

Muhammad Aidil ceriakan Gamat

Menggabungkan pelbagai genre lagu termasuk tarian, muzikal yang merangkumi 11 babak itu berkemungkinan tidak akan meraih sukses tanpa tunjang utamanya, Muhammad Aidil, Amy Mastura, Zuhairi Ibrahim dan Datin Natasha Hudson.

Bakat Amy tidak perlu dinafikan dan percubaan kedua Natasha selepas teater Ibu Zain turut perlu diberi pujian. Namun, apa yang menarik perhatian ramai adalah pelakon cilik berusia 9 tahun, Aidil.

Pertama kali terlibat dalam teater, dia yang mempunyai latarbelakang dalam pertandingan bercerita petah bercakap dan berjaya menjiwai wataknya sebagai anak gamat, Mat.

"Seronok rasanya untuk berlakon teater buat kali pertama terutama apabila berpeluang berganding dengan artis. Tapi saya tidak takut kerana sudah biasa semasa menyertai pertandingan bercerita dan program Pondok-Pondok dan Hartamania. Walaupun penat, saya amat berpuas hati dengan hasilnya," kata pelajar dari Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam itu.

Menghadiri uji bakat kerana minat berlakon, Aidil yang menyimpan impian untuk menjadi pelakon drama, pengacara dan penyanyi bagaimanapun berjanji tidak akan melupakan pelajaran. Baginya pelajaran amat penting dan dia berharap pementasan kali ini akan dapat membantu merealisasikan impiannya.


NATASHA seronok berlakon sebagai ketua ikan buntal dalam teater muzikal Gamat.


"Harap-harap dengan pementasan kali ini, saya dapat menonjolkan bakat saya dan diberi peluang untuk berlakon dalam drama. Sebenarnya sejak saya berusia 6 tahun lagi saya sudah berminat untuk berlakon dan selalu belajar menerusi TV. Tidak sangka saya diberi peluang sekarang," jelasnya yang meminati Rosyam Nor dan Mawi.

Natasha yang sedikit kehilangan suara selepas membuat persembahan selama dua hari bagaimanapun sudah mula berasa sedih. Walaupun proses latihan amat susah terutama apabila melibatkan kanak-kanak, Natasha tidak mahu meninggalkan 'keluarga' muzikal Gamat.

"Sebelum kami memulakan persembahan saya sudah mula sedih. Kini selepas beberapa hari, masa berlalu dengan cepat. Saya seperti tidak mahu melalui detik terakhir persembahan kerana berasa sedih untuk meninggalkan mereka. Itulah keseronokan berlakon dalam teater kerana ia mementingkan kerjasama secara berkumpulan," kata aktres berusia 27 tahun itu.

Memegang watak sebagai ketua ikan buntal, Natasha diperlukan memakai kostum comel berwarna kuning hijau. Namun, kostum itu agak ringan kerana hanya menggunakan suratkhabar serta plastik.

"Solekan dan memakai kostum tidak memerlukan masa yang panjang. Apa yang sukar bagi saya adalah watak itu sendiri. Walaupun kelihatan senang, saya perlu menari, menyanyi dan menjadi seekor ikan. Pengalamannya amat berbeza berbanding Ibu Zain," katanya yang suka dengan ikan buntal sejak kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: