Saturday, October 10, 2009

Foxx jadi Mike Tyson?




SELEPAS memberikan persembahan serta lakonan hebat dan mengagumkan sebagai Ray Charles menerusi filem Ray, pelakon dan penyanyi terkenal, Jamie Foxx kini bersedia untuk satu lagi transformasi.

Besar kemungkinan, Foxx akan membawakan watak sebagai peninju terkenal dunia, Mike Tyson dalam sebuah filem biografi tentang peninju sensasi itu.

Kata Foxx, dia sudah bersedia untuk watak berkenaan dan menariknya, dia akan berkolaborasi untuk kali kedua bersama Taylor Hackford yang juga pengarah filem Ray.

"Saya sendiri sudah berbincang dengan Hackford dan sememangnya dia cukup berminat untuk mengarahkan filem tentang Mike Tyson ini.

"Hackford menjadi pilihan saya kerana hubungan kami yang cukup erat. Bukan sahaja sebagai seorang pengarah tetapi juga seorang kawan.

"Kami pernah berbincang tentang projek ini dan jika ia menjadi kenyataan kelak, filem ini mampu memberikan sesuatu yang cukup istimewa kepada penonton.

"Dalam banyak-banyak autobiografi yang ada, saya percaya kisah tentang diri Mike Tyson adalah antara yang cukup menarik untuk dizahirkan.

"Saya sendiri sudah berjumpa dan berbincang dengan Tyson untuk mendapat kebenaran dan ternyata dia menerimanya dengan terbuka," kata Foxx yang juga akan bertindak sebagai penerbit untuk filem biografi itu nanti.

Gandingan Foxx dan Hackford menerusi filem Ray membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila filem tersebut menerima enam pencalonan Oscar pada tahun 2005 termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Filem tersebut tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang dua Oscar iaitu Pelakon Lelaki Terbaik untuk Foxx dan Adunan Bunyi Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: