![]() |
| ROMAN POLANSKI |
BERITA penangkapan Roman Polanski sememangnya antara berita yang cukup hangat diperkatakan sejak minggu lalu. Polanski menjadi pelarian selama 31 tahun selepas mengaku bersalah mengadakan hubungan seks terlarang dengan seorang gadis bawah umur pada tahun 1978.
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Begitulah diibaratkan dengan Polanski yang akhirnya diberkas sewaktu dalam perjalanan menghadiri Festival Filem Zurich di Switzerland.
Apatah lagi, dia ke sana untuk menerima anugerah pencapaian seumur hidup selepas selesai menjalani penggambaran filem terbarunya, The Ghost.
Ekoran daripada penangkapannya, The Ghost dikatakan akan tergendala dan tiada siapa yang akan tahu bilakah filem itu akan siap sepenuhnya.
Menurut salah seorang agennya, Jeff Berg, ketika Polanski ditangkap, dia sudah menyelesaikan proses suntingan The Ghost.
"Namun, proses pasca produksi yang lain seperti skor muzik dan adunan bunyi masih belum lagi disiapkan.
"Biarpun berdepan dengan masalah, saya percaya Polanski mampu menyelesaikannya dan kembali untuk melangsaikan saki-baki filem ini," kata Berg penuh optimis.
The Ghost merupakan filem yang menggabungkan ramai bintang ternama Hollywood seperti Pierce Brosnan, Ewan McGregor, Kim Cattrall, Tom Wilkinson, Olivia Williams dan James Belushi.
Ia merupakan filem yang diadaptasi daripada novel karya Robert Harris dan Brosnan memegang watak sebagai Perdana Menteri Britain bernama Adam Lang.
McGregor pula membawakan watak sebagai penulis siluman (ghost writer) yang ditugaskan untuk menyiapkan memoir Lang.
Polanski dianggap sebagai salah seorang pengarah hebat di zaman kegemilangannya dan pernah mengarahkan filem-filem masyhur seperti Chinatown, Rosemary's Baby, Oliver Twist dan The Pianist.
Menerusi filem The Pianist, Polanski menerima Oscar pertamanya apabila memenangi Pengarah Filem Terbaik pada tahun 2003.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: