Sunday, October 18, 2009

Ezzewan Suka bergaya


Ezzewan


HARI ini Muhammad Ezzewan Na‘im Zulkifli menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-20. Tanggal hari ulang tahun bukanlah masa untuk bersuka ria kerana hari ini beliau sedang bekerja.

Selalunya Ezzewan atau Wan akan meraikan ulang tahun itu sebelah malam di rumah keluarganya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Beliau akan menjamu makan kawan-kawan rapat.

“Malam ini saya akan mengajak kawan-kawan ke rumah sempena ulang tahun saya,” kata Wan kepada Pancaindera.

Wan menyertai Pencarian Kacak Bergaya 2010 kerana mahu melibatkan diri dalam dunia peragaan. Beliau sendiri seorang yang suka bergaya. Malah kalau ternampak persembahan peragaan di pusat membeli-belah, Wan akan menonton dan mencari ilham untuk bergaya.

“Saya harap penyertaan dalam Kacak Bergaya ini akan membuka langkah baru kepada saya. saya memang tidak terdedah langsung dalam dunia peragaan,” akui Wan yang memiliki wajah persis Black Mentor 3.

Wan memiliki satu hobi yang ada dalam diri anak muda hari ini. Beliau sangat meminati permainan video dalam talian . Pilihannya warcraft3 dan dota. Wan pernah menghabiskan masa seharian di kafe siber untuk berlawan games dengan pengunjung laman sesawang yang sama.

“Seronok sungguh berlawan games dengan orang yang kita tidak kenal di seluruh dunia. Ia bukan jenis judi sebaliknya permainan sahaja. Sebenarnya ada perlawanan yang dianjurkan untuk memenuhi kehendak peminat seperti saya ni.

“Saya pernah ke Kuching, Sarawak menyertai perlawanan permainan itu dan saya memenangi tempat ketiga yang menyediakan hadiah menarik,” kata Wan.

Apabila anak muda ke kafe siber dan bermain games, ada pihak yang menganggap mereka melakukan perkara yang tidak berfaedah. Wan menyangkal dakwaan itu.

“Kalau ke kafe siber pasti ada yang ingat anak-anak muda melepak sambil melayari lawan web lucah. Kalau nak melihat perkara lucah, tidak semestinya ke kafe siber. Di telefon bimbit masing-masing pun boleh tonton.

“Bagi saya, bermain games di kafe siber lebih baik berbanding terlibat dalam aktiviti tidak sihat lain seperti lumba haram, dadah dan sebagainya. Daripada melepak tidak tentu arah, lebih baik ke kafe siber, masa kita akan terisi juga.

“Tapi janganlah pula sampai mengabaikan apa yang sepatutnya dibuat. Saya sendiri akan ke kafe siber pada masa lapang. Selalunya waktu malam sebelum hari cuti kerja saya akan bermain games di kafe siber.

“Saya juga aktif bermain futsal dengan kawan-kawan kalau ada masa lapang. Itulah rutin anak muda hari ini,” sambung Wan lagi.

Wan membelanjakan wang sendiri untuk aktiviti luarnya. Minatnya terhadap online games bermula sejak berusia 12 tahun lagi. Pada masa itu dilakukan bersama komputer di rumah sahaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: