Sunday, October 18, 2009

Engku Emran moden dan maskulin




MATANG, sabar dan tidak lagi mementingkan diri sendiri. Itu yang melingkari kehidupan Engku Emran Engku Zainal Abidin kini. Matang seiring dengan peningkatan usia dan tanggungjawab dalam keluarga, kesabaran juga menjadi pegangannya dalam melayari kehidupan berumahtangga.

Malah keluarga kini menjadi kepentingan hidupnya membuatkan dia kini tidak lagi hanya mementingkan diri sendiri.

Sejak bergelar ketua rumah tangga, itulah tiga perkara yang menjadi pegangan Ketua Pegawai Operasi stesen radio Suria Fm.

Keluarga menjadi agenda utama kehidupannya setelah memperisterikan artis popular Erra Fazira dan kini bergelar bapa kepada Engku Aleesya.

Malah akui Engku Emran, anak sulungnya itu banyak mengejarnya erti sebuah kehidupan khususnya menjadi orang yang lebih penyabar.

“Kalau kita boleh menjaga seorang bayi maka saya percaya kita boleh melakukan apa sahaja dalam dunia ini.

“Sebab menjaga anak itu satu cabaran. Kalau kita boleh mengendalikannya maka itu bermakna kita juga mampu mengendalikan apa sahaja,” katanya.

Kelahiran Aleesya jelas Engku Emran memberinya satu keyakinan yang luar biasa malah menukarkan perspektifnya terhadap dunia. Kini, dia tidak lagi melihat dunia seperti sebelumnya.

“Bila sudah memiliki cahaya mata, secara automatik kita membuka mata kita kepada perkara lebih penting dalam kehidupan,” jelas Engku Emran.

Seiringan

Biar mementingkan keluarga namun kerjaya dan hobi tetap berjalan seiringan. Harus pandai membahagikan masa dan perlu fokus dalam perkara yang dilakukan.

“Sejak berkeluarga, saya juga melihat dunia dengan perspektif yang berbeza. Kalau dulu terlalu mengejar duniawi. Tapi kini ia bukan satu perkara yang terlalu dikejar. Sekarang, kehidupan saya lebih untuk keluarga dan anak,” kata Engku Emran mengenai kehidupannya yang semakin berbeza.

Mengakui lebih senang bersantai bersama isteri dan anak andai tiada urusan, berada pada fasa kehidupan hari ini juga memberinya satu kepuasan.

Ia bukan lagi mengenai mencapai matlamat yang diimpikan tetapi bagaimana memperolehnya. Kini ia bukan lagi tentang apa yang kita mahukan. Tetapi bagaimana kita mendapatkannya.

Bila kita melakukan sesuatu dan berasa puas, katanya, kita tahu bahawa kita sudah melakukan sebaik mungkin.

“Tidak kira daripada segi pekerjaan, kehidupan atau minat kita,” tambahnya.

Moden dan maskulin

Gaya lelaki moden, biar sibuk dengan keluarga dan kerjaya, kehendak diri tidak dilupakan terutama gaya dan penampilan.

Biar memangku anak, menukar lampin dan memberi susu kepada anak kesayangan, gaya dan penampilan diri tetap dititik beratkan.

Bagi Engku Emran sekalipun sibuk dengan urusan harian, kerja dan menjaga anak, soal penjagaan diri tetap diutamakan.

Selain muncul kemas dan segak, wangian juga menjadi antara kepentingan dalam kehidupannya.

Sesuai dengan gaya maskulin dan imej profesional, pewangi Gorgio Armani Attitue Extreme menjadi pilihan ketua pegawai operasi ini.

Pewangi terkini Gorgio Armani Attitude Extreme itu sememangnya memberikan sebuah ekspresi yang bukan sahaja penuh keunggulan tetapi juga kekuatan, kuasa dan sensual kepada seorang lelaki.

Menyerlahkan sisi maskulin si pemakai, Engku Emran mengakui menyenangi bauannya yang ‘keras’.

Malah katanya, mengenakan wangian Giorgio Armani Attitue Extreme turut memberinya satu keyakinan.

“Kalau memakai wangian Gorgio Armani Attitue Extreme juga membuatkan saya terasa seperti mahu mengenakan pakaian hitam,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: