Monday, October 19, 2009

Dugaan Fara


BIARPUN ditohmah dengan pelbagai kisah negatif, Fara Fauzana masih mampu tersenyum.


POPULARITI yang dikecapi oleh Fara Fauzana seperti mana yang dapat dilihat hari ini bukannya muncul dalam sekelip mata. Fara bermula dari bawah dan perlahan-lahan merangkak serta bertatih sehingga berupaya meletakkan dirinya berada di puncak kegemilangan seperti hari ini.

Kata Fara, selama lima tahun bekerja dan mencipta nama sebagai penyampai radio Hot FM dan pengacara rancangan popular, Melodi ternyata bukan semudah yang disangka.

Sementelah, untuk menjadi seorang selebriti bukanlah menjadi impiannya tetapi semuanya sudah tertulis bahawa dunia glamor adalah tempat untuknya mencari makan.

Semuanya itu memerlukan kerja keras dan semangat serta usaha yang gigih kerana dia sedar rezeki yang dinikmatinya hari ini bukannya datang bergolek.

Di sebalik kerjaya seninya yang sedang berkembang mekar itu, rupa-rupanya pelbagai kisah yang kurang enak sudah mula dicanang tentang dirinya.

Karakter dan sikap Fara dikatakan sudah jauh berubah berbanding di awal kemunculannya dalam industri seni tempatan.

Pelbagai label negatif dilemparkan kepadanya sehingga ada yang mengatakan Fara sudah menjadi seorang yang lupa diri.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang berkata Fara sudah menjadi seorang yang berlagak, sombong dan bersikap diva sehingga menyusahkan orang sekeliling.

Apatah lagi selepas dua dan empat tahun berturut-turut memenangi anugerah Penyampai Radio Wanita dan Pengacara TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular menjadikan ia satu tiket untuk Fara bersikap besar kepala.

Saat diajukan kepadanya tentang isu itu, riak wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi baik suka mahupun marah.

Jauh sekali untuk melenting tetapi sebaliknya dia cukup tenang menjawab persoalan yang sudah menjadi buah mulut ramai itu.

Kata Fara, dia sedar dan tahu akan perkara itu tetapi itulah harga yang perlu dibayar apabila menjadi seorang selebriti sepertinya.

"Saya tidak marah mahupun melenting kerana hanya saya sahaja tahu perkara yang sebenar. Kadang-kala apa yang berlaku semuanya adalah salah faham.

"Dalam hal ini, saya suka memberi contoh tentang ada pihak yang sengaja menjual nama saya dalam melariskan produk atau majlis yang dianjurkan mereka.

"Mujurlah, orang-orang yang menjadi mangsa itu adalah daripada kawan-kawan saya sendiri dan daripada situ, saya tahu bahawa ada pihak yang sengaja berbuat demikian.

"Begitu juga dengan dakwaan mengatakan saya seorang diva dan sukar sekali untuk dihubungi di mana saya lihat perkara itu sungguh mengarut," tegas Fara atau nama sebenarnya, Farah Fauzana Mohd. Fadzil ini sambil meningkah dakwaan yang tidak berasas itu.

Tambahnya, sungguh mustahil apabila ada yang berkata dirinya susah untuk dihubungi sedangkan dia mempunyai beberapa individu yang menjaga hal ehwal dan jadualnya.

Seperkara lagi, adalah tentang dirinya yang dikatakan memiliki layanan istimewa serta mempunyai akses penuh untuk bertemu dengan pihak atasan seandainya ada masalah dan perkara yang tidak memuaskan hatinya.

Katanya, mana mungkin dia memiliki kelebihan itu sedangkan semuanya dilayan secara adil dan saksama .

"Saya bertuah kerana memiliki keluarga dan sahabat handai yang sentiasa menasihati saya seandainya saya tersasar daripada landasan.

"Insya-Allah, saya tidak akan menjadi seorang yang lupa diri kerana saya ada orang yang memantau dan mengawasi keadaan saya.

"Saya boleh mengatakan diri saya cukup bertuah dari aspek itu," luah Fara dengan penuh jujur.

Sehingga kini, Fara tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun waima mereka yang bukan dalam lingkungan skop tugasnya juga.

Apa yang penting, adalah keselesaan serta keserasian yang wujud antara dirinya dan rakan-rakannya yang lain.

"Dek kerana itu, saya sudah bersedia malah kami semua di Hot FM sudah diajar untuk berdepan dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku di masa depan.

"Saya akui buat masa ini saya selesa dan gembira apabila dapat mengendalikan rancangan pagi HotFM AM Krew bersama Faizal Ismail.

"Jika ada rombakan yang memerlukan saya bergandingan dalam slot dan penyampai yang lain, saya sudah bersedia," katanya yang memulakan kerjaya sebagai penyampai radio di Era FMselama dua tahun sebelum berhijrah ke stesen radio sekarang.

Syawal yang bermakna

Begitu pantas masa berlalu apabila rupanya tanpa disedari hari ini merupakan hari terakhir kita berada dalam Syawal 1430.

Hits sempat bertanyakan kepada Fara apakah erti Syawal tahun ini untuknya dan Fara hanya mampu melemparkan sekuntum senyum.

Syawal kali ini jelasnya, memberikan makna yang cukup bererti kerana tahun ini dia menyambut Syawal secara menyeluruh.

Rancak bercerita tentang pengalamannya Fara memberitahu, pernah sehari di hujung minggu dia memulakan jelajah ke rumah rakan dan saudara mara dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi keesokannya.

"Penat jangan cakap tetapi ia memberikan saya satu kepuasan dan kegembiraan kerana dapat bertemu dengan mereka.

"Maklumlah saya asyik sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk bertemu dan berhibur dengan kawan dan keluarga," ujar anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini penuh bersungguh.

Apa yang lebih mengujakan selebriti yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 7 Februari depan ini, sepanjang Syawal tahun ini apabila dapat bercuti dan menghabiskan masa di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula dari raya keempat.

'Rombongan Cik Kiah' seperti mana yang digambarkan Fara itu melibatkan lima buah keluarga dan menariknya percutian itu, mereka telah menyewa sebuah bas untuk ke destinasi pelancongan popular itu.

"Semuanya adalah untuk membalas jasa baik dan penat lelah pakcik dan makcik serta ahli keluarga yang lain setelah mereka bekerja keras sepanjang bulan Ramadan lalu.

"Ketika itu, saya mengusahakan perniagaan Fafau Cookies yang banyak dibantu oleh mereka. Jadi, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk meluangkan masa bersama dan berehat," ujar Fara yang memberitahu percutian tersebut adalah hasil perkongsian semua keluarga dan bukannya tajaannya.

Selain itu, Fara turut memanjatkan kesyukuran apabila filem lakonannya, Jin Notti mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Menyifatkan memperolehi pengalaman yang cukup berharga membintangi filem arahan Azhari Zain itu, Fara berterima kasih kepada KRU Studios kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang watak utama dalam filem itu.

Sungguh pun begitu, dengan penuh rendah diri dia memberitahu, masih banyak yang perlu dipelajarinya kerana menyedari dia masih baru dalam dunia lakonan.

"Saya menerima banyak komen dan kritikan daripada peminat, rakan-rakan serta ahli keluarga. Biasalah, pasti ada positif dan negatifnya.

"Tetapi, saya anggap itu semua sebagai satu semangat untuk saya menerokai bidang ini dengan lebih mendalam menerusi watak yang mampu mempelbagaikan karakter saya," pintanya penuh mengharap.

Menyentuh soal filem Jin Notti, dia sebenarnya terhutang budi juga kepada Cat Farish yang memegang watak sebagai Jinbara dalam filem tersebut.

Kerana kata Fara, Cat banyak membantunya sewaktu dilokasi dan mengajarnya tentang selok-belok dunia lakonan serta mendalami lima watak yang dibawakan dalam filem tersebut.

"Dia seperti abang saya dan kami serasi serta selesa sewaktu kami berlakon memandangkan kami banyak adegan bersama," ujar Fara yang mengenali Cat sejak membintangi filem SH3 The Movie pada tahun 2004.

Berundur apabila tiba waktu

Tidak sah kalau bertemu dengan anak kedua daripada tiga beradik ini jika tidak membicarakan tentang soal jodoh dan percintaan.

Hanya mampu tersenyum dan menjangkakan soalan itu akan diajukan kepadanya, Fara bagaimanapun tidak mengelak menjawabnya.

"Entahlah. Susah saya nak cakap tentang soal ini kerana bagi saya biarlah waktu dan masa yang menentukan siapa jodoh saya.

"Malah, saya sendiri sudah memberi lampu hijau kepada ibu saya untuk mencari jodoh saya kalau saya tidak bertemu dengan sesiapa kelak," katanya yang tidak menafikan ada ahli keluarganya yang cuba menjodohkan dia dengan kenalan lelaki mereka.

Satu yang pasti, jawapan luhur yang lahir daripada lubuk hati Fara apabila ditanya tentang masa depannya.

Jelas Fara, dia sudah bersedia untuk meninggalkan dunia glamor apabila sudah sampai waktu untuk dia berbuat demikian.

"Buat masa ini pun, saya sedang mempersiapkan diri saya untuk bekalan hari tua saya dan dalam masa yang sama, saya tidak melupakan persiapan untuk ke dunia yang kekal abadi," katanya penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: