"Saya tidak anggap menguruskan diri berseorangan cukup berat kerana sebelum ini apabila saya bersama-sama dengan EMI dan SRD, saya banyak belajar tentang dunia seni termasuk cara untuk berdepan dengan wartawan" – SHEILA

KEDUA-DUA nama yang dimaksudkan iaitu Nadia, 19, dan Sheila Abdull, 21, ada banyak persamaan yang tidak mampu disangkal lagi. Memanglah kalau diikutkan secara luaran, Nadia dan Sheila punya personaliti dan genre muzik yang berbeza.
Tetapi itu yang dilihat pada permukaan kedua-dua artis yang baru hendak bertatih dalam gelanggang seni tanah air. Namun menariknya, mereka ada cerita tersendiri yang boleh dikatakan hampir serupa antara satu sama lain.
Populariti Nadia tercipta semasa dia menyertai rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) manakala bakat Sheila dicungkil menerusi pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan pada tahun 2006.
Selepas Maestro Talent Management Sdn. Bhd. (Maestro) gulung tikar April lalu, Nadia mula membawa haluan sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa daripada belakang untuk meneruskan minatnya dalam dunia seni.
Sama halnya juga dengan Sheila yang merupakan artis naungan EMI Malaysia apabila bahagian domestik label terkenal itu ditutup sejak 1 September lalu.
Karier seninya tetap diuruskan oleh SRD Villa Records, syarikat milik Adnan Abu Hassan sebelum Sheila dilepaskan untuk bergerak solo baru-baru ini.
Enggan terus berduka dengan 'musibah' yang menimpa diri mereka, Nadia dan Sheila kini bergerak secara sendirian menerusi syarikat kepunyaan masing-masing demi meluaskan bakat dan minat mereka.
Apa yang pasti, awan mendung dua penyanyi muda itu sudahpun berlalu apabila Nadia dan Sheila kini dibantu oleh syarikat pengurusan baru, Dream Music untuk terus berlari lebih jauh dalam arena seni tanah air.
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Haswani Hasnan memberitahu, pada mulanya dia tidak mampu berdepan dengan kenyataan untuk bergerak secara sendiri selepas penutupan Maestro.
![]() |
| NADIA muncul dengan single terbarunya Kita Sama. |
"Ambil masa jugalah untuk menyesuaikan diri melakukan bermacam-macam perkara termasuk mengambil undangan nyanyian sendiri, berbincang dengan klien, menjalankan sesi fotografi dengan pihak media dan lain-lain.
"Alhamdulillah, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri. Kini kalau hendak cakap selesa menguruskan kerjaya saya sendiri, tidaklah juga.
"Walaupun saya sudah berada di bawah naungan Dream Music sejak beberapa bulan lalu, namun saya minta kebenaran kepada syarikat ini untuk menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan mereka.
"Karier saya diuruskan sepenuhnya oleh Nadia Cribs Entertainment yang ditubuhkan pada Julai 2008. Kalau ada hal lain yang tidak dapat dielakkan maka saya akan menyerahkan tugas ini kepada keluarga.
"Saya juga cukup bertuah apabila teman-teman yang pernah bekerja di Maestro sebelum ini banyak membantu saya jika berdepan dengan sebarang masalah.
"Apa yang dapat saya katakan saya rasa selesa menguruskan diri secara berseorangan tanpa ada bantuan pengurus mahupun pembantu peribadi.
"Saya merasakan diri sudah berada pada landasan yang betul dalam dunia seni ini hampir dua tahun lalu. Justeru saya ingin meningkatkan diri untuk mencapai ke tahap yang diingini," jelas gadis cilik yang berwajah fotogenik itu.
Gadis yang dilahirkan pada 14 April 1990 itu tidak terkecuali menceritakan tentang perkembangan kerjayanya dalam dunia nyanyian.
Selain tangga populariti yang semakin hampir dengannya, Nadia juga meraih peluang keemasan apabila diundang ke Amsterdam, Belanda pada 9 hingga 17 November nanti atas jemputan Kedutaan Malaysia
"Saya akan buat persembahan untuk para diplomat dan masyarakat tempatan di Amsterdam. Kebanyakan lagu yang saya nyanyikan kelak merupakan lagu bahasa Inggeris.
"Saya juga akan mendendangkan lagu-lagu Melayu untuk memperkenalkan Malaysia," ungkap Nadia yang teruja untuk menghiburkan peminat di sana.

Beritahu Nadia, kehadirannya ke Amsterdam bersama ibu tercinta, Jamaayah Sulong, 47, merupakan lawatan kedua setelah pernah melakukan persembahan pada tahun lalu.
"Alhmadulillah, nampaknya para peminat di Amsterdam berpuas hati dengan persembahan saya sebelum ini. Saya berjanji untuk menonjolkan persembahan terbaik," kata Nadia yang bakal mendendangkan lagu-lagu malar segar seperti Unreak My Heart.
Ditanya tentang persiapannya ke Amsterdam nanti, Nadia bagaimanapun enggan memikirkan perkara itu terlebih dahulu kerana dia harus memberi komitmen terhadap persembahannya tidak lama lagi untuk Gempak Muzikal Astro.
"Saya tidak mahu serabutkan kepala fikirkan tentang persiapan ke Amsterdam pada waktu ini. Sebaliknya saya mahu memberi perhatian terhadap undangan pentas yang bakal dijayakan tidak lama lagi.
"Selepas semuanya disudahkan maka barulah saya hendak pilih lagu selain buat latihan vokal dan tarian untuk mengadakan persembahan di luar negara nanti," tutur Nadia.
Setelah sekian lama menanti, akhirnya single Nadia yang berjudul Kita Sama bakal berkumandang tidak lama lagi. Lagu yang dicipta oleh Amir dan liriknya digarap oleh Nadia sendiri itu ditampilkan dalam irama rancak dan masih lagi berpaksikan muzik kesukaannya rock.
"Lagu ini memang bersesuaian dengan cita rasa saya. Ia berentak moden, segar dan enak didengar. Terus-terang, saya gemar meluahkan perasaan dalam penulisan.
"Oleh kerana itulah saya sudah bersedia menulis lirik untuk lagu sendiri. Saya minta kebenaran daripada Dream Music dan komposer lagu ini untuk menulis liriknya.
"Saya gembira sangat apabila permintaan ini dipenuhi sekali gus dapatlah saya membuktikan kepada orang lain bahawa saya ingin menjadi anak seni yang versatil," luah Nadia serius.
Selain mengalunkan vokal mantapnya, Nadia turut bergelar seorang pelakon dan pengacara. Nadia terlibat dalam drama komedi ditayangkan di TV2 berjudul Angguk-Angguk, Geleng-Geleng bagi musim ketiga.
Selain itu, Nadia juga mengacarakan program Rakan Muda Seni Budaya.
Sheila mahu terus menyanyi
Mengalami nasib yang sama dengan Nadia apabila harus mengendalikan diri sendiri dalam dunia seni, pemilik nama penuh Nursheila Abdullah ini akur dengan nasibnya yang baru hendak bertatih dalam dunia seni.
Menubuhkan syarikatnya sendiri, Purple Dot Agency, gadis berusia 21 tahun itu kini turut melakukan pelbagai tugas yang berkaitan dengan kerjaya nyanyiannya.
"Selepas EMI tutup dan SRD pula melepaskan saya, banyak perkara yang saya harus belajar sendiri demi meneruskan kerjaya sebagai penyanyi.
"Pada permulaan memanglah risau sebab saya baru saja melancarkan album pertama dalam tempoh setahun. Nasib baiklah promosi album sudah lepas dan saya sudah dapat membiasakan diri dengan dunia penuh glamor ini.
"Waktu itu saya mengambil keputusan untuk berulang-alik dari kampung halaman di Johor Bahru, Johor ke Kuala Lumpur untuk menjayakan undangan nyanyian yang masih berpihak kepada saya walaupun sudah tidak bersama EMI dan SRD.
"Saya tidak anggap menguruskan diri berseorangan cukup berat kerana sebelum ini apabila saya bersama-sama dengan EMI dan SRD, saya banyak belajar tentang dunia seni termasuk cara untuk berdepan dengan wartawan.
"Selain menguruskan kerjaya sendiri dengan syarikat milik saya, Dream Music yang menjadi label rekod saya sejak Oktober lalu juga banyak membantu untuk meningkatkan karier seni saya.
"Cuma dalam soal ini, saya tidak boleh meletakkan 100 peratus usaha kepada Dream Music kerana saya juga harus mempamerkan semangat dan terus bekerja lebih keras untuk menaikkan karier seni saya.
"Biarpun begitu, saya tetap bersyukur apabila Dream Music memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi artis mereka dalam tempoh dua tahun," ucap Sheila sambil menjunjung azam tinggi.
![]() |
| SHEILA gembira kerana perjalanannya dalam bidang seni lebih cerah apabila disunting syarikat Dream Music. |
Sheila yang mula mencipta nama menerusi lagu Mungkinkah menyedari empunya diri bukanlah nama besar dalam dunia seni tempatan. Bahkan jauh lagi perjalanannya untuk mencapai tahap yang lebih membanggakan.
Lantaran itu, Sheila mahu terus bangkit sambil belajar daripada kesilapan lalu. Dia enggan sepenuhnya mengikut telunjuk orang lain sama seperti kemunculannya dalam industri hiburan sebelum ini.
Baik pemilihan lagu, genre, album, penampilan dan bermacam-macam lagi, semua dilakukan oleh syarikat rakaman walaupun hati Sheila betah mengatakan tidak. Sebagai orang baru, apalah sangat pandangan dan suara Sheila untuk diperdengarkan.
Kini selepas menandatangani kontrak dengan Dream Music, gadis yang sebelum ini menyertai Yayasan Warisan Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sebagai penyanyi itu mahukan cahaya baru.
Daripada mengalunkan lagu berentak pop balada, Sheila kini memilih untuk lebih erat dengan muzik berirama eksperimental pop yang bertepatan dengan naluri dan jiwa mudanya.
"Saya cukup beruntung kerana Dream Music sangat terbuka apabila mereka memberikan kepercayaan kepada saya memilih jenis lagu yang sesuai dinyanyikan oleh saya.
"Dream Music dan saya selalu berbincang mengenai pelbagai perkara lantas membuatkan kedua-dua pihak berpuas hati dengan keputusan yang diambil.
"Mereka mengambil kira pandangan dan idea saya walaupun kalau hendak diikutkan saya masih hijau dalam dunia nyanyian. Biarpun begitu, saya gembira dengan sikap profesional yang diamalkan oleh Dream Music.
"Kini saya dalam proses untuk mencari material bagi menghasilkan single terbaru. Rasanya lebih bagus kalau saya keluarkan single terlebih dahulu apatah lagi dalam situasi lapangan seni yang tidak menentu sekarang.
"Saya juga ada perancangan untuk menyanyikan lagu yang berduet atau menampilkan kolaborasi dengan mana-mana penyanyi di negara ini.
"Paling penting, saya tidak anggap pengalaman lalu sebagai kesilapan. Ia sebaliknya memberi panduan dan pengetahuan terhadap saya untuk lebih berfikiran matang selepas ini ditambah dengan dunia hiburan yang penuh gelora dan dugaan tersendiri ini," akhiri Sheila dalam lontaran suara cukup matang dan berkeyakinan.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: