Tuesday, October 6, 2009

Dengarnya... Selebriti cemburu kebahagiaan bekas isteri



Linda Onn

BERCINTA memang indah, berpisah pula menyakitkan. Tapi sama ada indah atau menyakitkan, kedua-duanya tetap meninggalkan kenangan. Cik Normah tidak pasti ada orang boleh melupakan saat-saat indah ketika bercinta dengan begitu saja selepas hubungan itu putus di tengah jalan.

Suka atau tidak, tentunya sudah jadi kebiasaan istilah bekas kekasih, bekas isteri atau suami akan terus melekat dan terpahat dalam ingatan. Linda Onn dan Scha Alyahya pun pasti tak boleh lepas daripada dianggap sebagai insan yang pernah bertakhta di hati Fahrin Ahmad. Begitu juga dengan Abby Abadi dan Norman Hakim biarpun masing-masing sudah mempunyai kekasih hati atau istilah paling tepat disebut sebagai pengganti.

Tapi Cik Normah mengerti jauh di sudut hati yang pernah berdepan dengan episod kekecewaan dan keretakan rumah tangga ini, golongan artis ini juga sebenarnya tidak mahu terus mengenang perkara yang sudah berlalu. Ambil yang keruh buang yang jernih, tutup cerita lama, buka buku baru.

Cerita yang Cik Normah ingin kongsi kali ini mengenai seorang pelakon lelaki yang tidak mahu lagi dikaitkan dengan bekas isterinya. Hai! sampai macam itu sekali. Tahulah awak tu sudah ada kekasih hati yang lemah lembut dan tidak garang macam bekas isterinya. Takkan dendam dan marah terhadap bekas isteri kamu itu masih membara.


Tapi pelakon lelaki itu kenalah ingat, kalau mati hidup balik sekalipun memang tak boleh diubah sejarah bahawa bekas isteri anda itu pernah berada dalam kehidupan lalu. Ia satu fakta yang tak boleh ditukar. Pelik pula Cik Normah kenapa pelakon lelaki itu berfikiran sedemikian. Pendek akal apa.

Dalam hal ini, Cik Normah teringat dengan cerita seorang komposer dan penyanyi yang mana apabila sudah bernikah semula, maka isteri barunya dikatakan sebagai 99 peratus sempurna atau wanita idaman yang dicari-cari. Habis tu, bekas isterinya dulu tidak sempurna lagi ke? Itulah lelaki. Habis madu sepah dibuang!

Jadi, bagi Cik Normah, nak kata pelakon lelaki itu cemburukan kebahagiaan isterinya yang sedang bahagia dengan lelaki yang lebih muda daripadanya memang tidaklah. Nak cemburu kenapa pula sedangkan pelakon lelaki itu pun Cik Normah tengok sedang dilamun cinta dengan orang muda. Sama adil kan.

Entahlah, Cik Normah pun kurang pasti kenapa pelakon lelaki itu bersikap sedemikian. Takkan cemburu dengan apa yang sedang dinikmati bekas isterinya kot. Masing-masing sudah dapat pucuk muda, lalu apa kaedahnya nak main sentap lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: