Thursday, October 8, 2009

Demi Adam, Rebecca letak syarat pada bakal suami

Di saat usianya yang masih muda, pelakon Rebecca Nur Islam, 23, sanggup memikul tanggungjawab sebagai ibu dengan mengambil seorang anak angkat, Nur Adam daniel, yang kini berusia setahun, enam bulan. Dia yang begitu meminati dan menyayangi kanak-kanak, teruja dengan kehidupannya membesarkan seorang anak, meskipun diri sendiri belum berkahwin.

“Saya membesar dengan adik-beradik yang ramai dan saya ada ramai anak buah. Mereka memanggil saya dengan gelaran ‘Aunty Ca’ dan begitu rapat dengan saya. Kalau jumpa dengan mereka, pasti mereka berkepit dengan saya dan minta saya bawa jalan-jalan.

“Dulu masa bercinta, saya selalu bayangkan, ‘bestnya’ kalau cepat kahwin dan dapat anak. Saya teringin nak jadi ibu, nak rasai pengalaman membesarkan anak. Bila terbaca kisah orang buang anak, saya rasa marah sangat. Dan saya pernah berdoa pada Tuhan , kalau ada orang nak buang anak, buanglah depan rumah saya, supaya saya boleh menjaga mereka” kata anak ketujuh dari lapan beradik ini.

Rebecca berkata, Adam juga hampir mengalami nasib yang sama, kerana dibuang ibu kandung sendiri. Pertemuannya dengan Adam yang ketika itu masih lagi ‘merah’ membuatkan hatinya terdetik untuk mengambil bayi malang itu sebagai anak angkatnya.

“Semasa saya dan PA dalam perjalanan pulang ke rumah, kami terserempak dengan seorang nenek tua yang mendukung seorang bayi. Disebabkan waktu dah malam, dan hujan lebat, kami berhentikan kereta kerana kesian dengan mereka.

“Masa tu, saya tak tengok pun pada wajah nenek tu, sebab mata terus tertumpu pada bayi yang digendungnya. Saya rasa kesian betul kerana bayi tu masih lagi bertali pusat. Bila saya tanyakan tentang bayi itu, katanya, maknya tak mahukan dia sebab bukan baby girl. Bila saya tanya, nak bawa bayi tu kat mana, nenek tu kata, dia pun tak tahu.

“Kesian dengan ‘baby’, tiba-tiba hati saya terdetik nak ambilnya sebagai anak angkat. Lepas tu, saya terus pasang peguam dan berurusan dengan pihak kebajikan masyarakat untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Mulanya rumit juga, sebab saya belum berkahwin. Tapi tak sangka, akhirnya permohonan saya diluluskan. Mungkin dah jodoh kami. Dalam tempoh dua tahun ini, Adam masih dalam pemantauan pihak kebajikan,” katanya dengan penuh gembira kerana hasratnya untuk menjadi ibu tercapai jua.

Bercerita tentang keletah Adam, kata Rebecca, dia memang tak menang tangan melayan Adam yang begitu lasak dan aktif. Bagaimanapun, dia seronok melihat Adam membesar, apatah lagi sekarang dia sudah mula petah bercakap.

“Kalau saya keluar kerja, dia mesti cari saya. Mak saya kata, dia siap tunjuk gambar saya lagi. Sampai saya pun rasa tak sabar nak balik jumpa dengannya. Kalau dulu, masa dia kecil, saya kurangkan akjtiviti seni demi menjaganya, sekarang, saya perlu bekerja keras demi masa depannya,” katanya yang ada menjalinkan hubungan istimewa dengan duda beranak dua.

Biarpun hubungannya dengan duda anak dua itu sudah berlanjutan hampir dua tahun, namun bagi Rabecca soal perkahwinan masih belum menjadi agenda utamanya. Selain mahu menumpukan karier seninya, dia juga mahu memberi tumpuan pada satu-satunya buah hatinya yang masih kecil dan memerlukan perhatiannya. Demi Adam, Rabecca turut meletakkan beberapa syarat untuk bakal suaminya kelak. Paling penting, dia harus menyanyangi dan menerima Adam seadanya dan begitu juga dengan Adam.


Enam bulan derita kena sampuk

Beralih perkembangan seninya, pelakon yang pernah membintangi Teater Sirah Junjangan ini, akan terlibat dengan projek terbaru terbitan MIG, drama 13 episod, Jangan Tegur Lagi. Dia yang pernah menjadi pengacara Seekers untuk musim ketiga dan keempat lalu, memberitahu, Jangan Tegur Lagi adalah drama seram pertama lakonannya.

"Walaupun gembira kerana dipilih sebagai watak utama dalam drama itu, namun pengalaman hitam ketika mengacara rancangan Seeker itu sedikit sebanyak masih menghantui dirinya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancancaran drama itu di Restoran Lemon, The Mines, Seri Kembangan.

Drama yang diadaptasikan dari filem Jangan Tegur yang pernah dibintangi Julia Zigler dan Pierre Andre ini mengisahkan Natasya (Rebbecca) yang koma setelah mengalami kemalangan jalan raya.

Jangan Tegur yang bakal menghiasi slot Seram di TV3 tidak lama lagi, turut dibintangi, Putri Mardiani, Yana, Aida Aris, Eizlan Yusof dan Danny X-Factor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: