Monday, October 19, 2009

Deanna, Maya berkongsi rahsia


PERTAMA kali Maya Karin dan Deanna Yusoff digandingkan dalam satu sesi fotografi.


SESI fotografi ini boleh digambarkan sebagai pertemuan yang cukup eksklusif memandangkan dua jelitawan ini belum pernah lagi digandingkan dalam mana-mana penerbitan.

Baik Deanna Yusoff dan Maya Karin, masing-masing cukup berbesar hati dan sudi untuk digandingkan bersama sekali gus terbuka dalam membicarakan tentang isu dan impak pelakon Pan Asian di negara ini.

Bukan itu sahaja, Deanna dan Maya turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi hanya dua pelakon Pan Asian sahaja yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia.

Masing-masing ada pendapat mereka dan satu yang pasti, Deanna dan Maya membuktikan mereka bukan sahaja jelita dan berbakat tetapi juga dikurniakan dengan kebijaksanaan.

Berbicara dengan mereka tentang apa sahaja topik, pasti akan ada yang terleka mendengar hujah daripada mereka.

Kehadiran Deanna dan Maya dalam industri perfileman tempatan ternyata telah memberikan satu gelombang baru dan meninggalkan impak yang besar.

Ramai yang menyambut kedatangan mereka dengan penuh terbuka tetapi tidak kurang juga ada yang mencebik dan mempersoalkan kemampuan dan bakat mereka.

Mereka beranggapan pelakon berwajah kacukan seperti Deanna dan Maya hanya mempertaruhkan wajah semata-mata berbanding bakat.

Deanna misalnya turut terkena tempias itu apabila kali pertama bergelar aktres sewaktu membintangi filem Selubung pada tahun 1992.

Filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba itu ternyata membawa tuah buat Deanna apabila berjaya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-10.

Kemenangannya itu turut mengundang polemik dan perdebatan kerana muka baru seperti Deanna berjaya menewaskan aktres berkaliber seperti Fauziah Ahmad Daud.

"Saya akui ketika itu saya memang kekok dan langsung tiada pengalaman dalam dunia lakonan tetapi segala-galanya berubah selepas membintangi Selubung.

"Populariti yang saya kecapi itu telah memberikan saya satu bonus dan kelebihan untuk menjadi pelakon utama dalam drama mahupun filem.

"Saya sedar kelebihan memiliki wajah kacukan merupakan satu bonus untuk menjual dan melariskan filem.

"Tetapi di penghujungnya bakat adalah segala-galanya dan saya berusaha dari bawah untuk memperbaiki diri saya terutama sekali pengucapan bahasa Melayu saya," kata Deanna yang seterusnya berpeluang membintangi tiga buah filem iaitu Abang 92 (1993), Ringgit Kasorrga (1995) dan Chermin (2007).

Bergelar seorang pelakon telah memberikan satu pengalaman baru untuk Deanna kerana dari situ dia berpeluang untuk meneroka cabang seni yang lain seperti nyanyian dan pengacaraan.

Sewaktu menyentuh soal lakonan dan tawaran filem atau drama, Deanna menjelaskan selepas membintangi Selubung, dia menjadi begitu selektif.

Bukan mahu mendabik dada atau membangga diri hanya kerana dia seorang Pan Asian tetapi kata Deanna, ada kalanya skrip dan watak yang diterimanya sungguh stereotaip.

Kerana itu jugalah wajahnya jarang ditonton sehingga ramai yang beranggapan dia sudah bersara dari dunia lakonan.

"Di Malaysia, kadang-kala watak dan skrip tidak begitu kuat untuk kami yang berwajah kacukan. Kalau diberi watak sebagai seorang gadis kampung dan dibesarkan dalam masyarakat Melayu, kelihatan sungguh janggal sekali.

"Kerana itu saya amat menitik beratkan soal watak dan skrip seandainya saya mahu membintangi dalam mana-mana filem atau drama.

"Begitu juga dengan pandangan segelintir masyarakat yang ada kalanya skeptikal terhadap pelakon Pan Asian," ujar Deanna yang pernah membintangi filem Hollywood, Anna and the King bersama Jodie Foster dan Chow Yun-Fatt sekitar tahun 1999 ini lagi.

Masih di takuk lama

Bukan itu sahaja, pelakon yang pernah masyhur menerusi drama lipur lara Idaman ini turut meluahkan pandangan peribadinya tentang aspek penulisan skrip di negara ini yang dilihat masih di takuk lama.

Kata Deanna, karyawan seni tanah air seharusnya memiliki idea serta kreativiti dalam meneroka watak serta jalan cerita yang sesuai dengan usia seseorang pelakon itu.

"Mengapa kita tidak boleh memikirkan sesuatu di luar lingkungan fikiran dengan menghasilkan sesuatu yang menarik serta boleh dinikmati oleh semua golongan masyarakat.

"Ini tidak. Kalau untuk pelakon yang berusia, watak yang sesuai hanyalah watak ibu mahupun nenek. Tidakkah ia kelihatan sungguh klise?

"Cuba lihat bagaimana Hollywood boleh menghasilkan karya yang sesuai dengan usia pelakonnya seperti Sex and the City dan Desperate Housewives.

"Hasilnya, ia diterima dengan cukup baik dan lihat bagaimana impak yang terhasil daripadanya. Bukan kita perlu meniru bulat-bulat tetapi ambil situasi itu dan hasilkannya mengikut acuan kita," ujar pelakon kacukan Melayu-Switzerland berusia awal 40-an ini lagi.

Saat diminta pandangannya tentang Maya, jelitawan ini dengan penuh jujur menggambarkan diri Maya umpama refleksi dirinya ketika namanya berada di puncak kegemilangan.

Walaupun tidak mengenali Maya dan mengikuti perkembangan pelakon itu secara mendalam, namun Deanna menyifatkan Maya sebagai seorang yang cukup bertuah.

"Dia memiliki pakej lengkap sebagai seorang pelakon. Biarpun berdarah kacukan, itu bukan satu halangan untuk dia berjaya menembusi pasaran Melayu serta diterima dengan baik.

"Sebagai rakan artis, saya hanya mampu mendoakan agar dia terus berjaya dalam karier seninya dan akan mencapai kejayaan yang berterusan," pujinya penuh bersungguh.

Ternyata pujian yang diberikan Deanna itu cukup mengharukan Maya sebagai seorang pelakon generasi baru yang sebelum ini hanya mengenali Deanna menerusi layar perak sahaja.

Dengan penuh jujur, Maya memberitahu impak kemunculan Deanna sememangnya cukup besar kerana sebagai seorang pelakon Pan Asian, dia berjaya diminati dan menembusi pasaran Melayu khususnya dengan baik sekali.

Bukan itu sahaja, kelebihan dan keistimewaan Deanna terletak pada pembawakan diri serta personalitinya yang turut diminati oleh kaum lain.

"Deanna membuktikan bahawa pelakon berdarah kacukan sebenarnya juga berbakat dan tidak berlandaskan paras rupa semata-mata.

"Apa yang penting adalah keberanian dan kesungguhan untuk menempatkan diri kita agar menjadi pelakon yang dihormati," katanya memberikan pandangan kepada pelakon filem Selubung itu.

Pandangan skeptikal masyarakat

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22 menerusi filem Anak Halal ini turut meluahkan pandangannya tentang pandangan skeptikal masyarakat terhadap pelakon berdarah kacukan sepertinya.

Jauh sekali untuk melenting mahupun marah, Maya melihatnya sebagai sesuatu yang harus dilihat secara positif.

"Di sinilah letaknya kebijaksanaan dan keberanian kita sebagai seorang pelakon. Apabila menerima watak mahupun skrip, kita harus meneliti dan mendalaminya sebelum menerima sebarang watak.

"Kalau rasa tidak sesuai, tidak salah untuk memberikan pandangan dan melontarkan idea untuk kebaikan diri sendiri.

"Jangan hanya menerima sebarang tawaran yang akhirnya memberikan implikasi buruk terhadap kita.

"Sebagai pelakon, ada kalanya memang kita perlu menjadi selektif tetapi biarlah bertempat. Dalam masa yang sama, kita juga perlu bijak mencari peluang dan tidak hanya menunggu tawaran ibarat menunggu buah yang tidak gugur," hujahnya penuh panjang lebar.

Hampir sedekad bergelar seorang aktres, Maya mengakui dirinya sudah banyak berubah terutama dari aspek lakonan dan pengucapan bahasa Melayunya.

Di awal kemunculannya, Maya tidak fasih berbahasa Melayu sehingga dia dikecam hebat selain daripada kata-kata yang mengatakan dirinya hanya mempertaruhkan rupa berbanding bakat.

Melihat segala kritikan sebagai pembakar semangat untuknya bangkit dan memperbaiki dirinya, anak kacukan Melayu-Jerman ini telah membuktikan sebaliknya.

Dia kini antara aktres yang menjadi rebutan dan ramai yang sudah mempercayai bakatnya yang pernah diiktiraf di peringkat antarabangsa ini.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke ini juga sempat menitipkan pesanan dan nasihat untuk pelakon Pan Asian angkatan baru.

"Menjadi seorang pelakon Pan Asian ada baik dan buruknya terutama dari segi paras rupa yang memberikan kelainan dalam sinema tempatan.

"Untuk pelakon baru, kelebihan yang ada itu haruslah digunakan sebaik-baiknya untuk meraih peluang demi perkembangan karier masing-masing," katanya yang bakal muncul dengan filem Pisau Cukur arahan Bernard Chauly pada 5 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: