Saturday, October 10, 2009

Dansa martabatkan tarian tradisional


SASHA dan Emilya bersama buku pertama Sasha, ‘Dansa: A Dance Journey’.


NEGARA kita terkenal dengan kekayaan budayanya. Satu-satu budaya pula tidak lengkap jika tidak mempunyai tarian tradisional mereka sendiri. Jika ditanya jenis tarian tradisional apakah yang mereka tahu di negara kita ramai yang sekadar menjawab tarian joget, zapin dan inang.

Hakikatnya, banyak lagi tarian tradisional yang kurang diketahui umum yang hampir pupus ditelan pemodenan jika tiada usaha memperkenalkan kepada orang ramai.

Dabus, petenun, randai. Nama-nama ini membuat ramai yang ternganga mulut.

Nama-nama eksotik ini sebenarnya merupakan sebahagian dari jenis tarian tradisional yang masih diamalkan oleh segelintir golongan sahaja.

Atas hakikat itulah, Primeworks Studios dan ntv7 menghasilkan dokumentari gaya hidup terbaru, Dansa yang memaparkan tarian-tarian tradisional di sekitar Malaysia dan beberapa negara luar yang lain.

Dansa akan bersiaran setiap Khamis, 7.30 malam mulai 15 Oktober, di ntv7.

Bakal muncul di kaca tv untuk 13 minggu berturut-turut, program yang tampil dalam format bahasa Inggeris ini akan memperkenalkan tarian tradisional dari destinasi tempatan dan antarabangsa.

Diacarakan oleh Sasha Bashir, seorang penari dan hos berpengalaman, dia akan menjelajah beberapa destinasi untuk mempelajari tarian tradisi daripada jurutari terlatih yang masih aktif dalam usahanya untuk mengekalkan seni tradisi ini kekal segar di kalangan komuniti masing-masing.

Menurut Pengurus Penjenamaan ntv7, Emilya Ab. Rahim, Dansa yang pada asalnya pernah disiarkan di TV3 tetapi di dalam Bahasa Melayu, kini disiarkan di ntv7 pula bagi menambat hati sasaran penonton yang lebih luas.

“Versi melayu rancangan Dansa ini berjaya memperoleh penerimaan yang membanggakan di TV3.

“Oleh itu, kami berharap versi Inggeris yang bakal ditayangkan di ntv7 akan terus menambat hati penonton setia kami ratanya dari golongan yang urban dan pelbagai kaum,” ujarnya di sidang media memperkenalkan Dansa di Hotel Grand Dorsett Subang baru-baru ini.

Dansa membawa penonton ke kawasan-kawasan pedalaman sesuatu tempat bagi pengacaranya, Sasha, mempelajari sesuatu tarian tempatan dalam masa tiga hari sebelum dia mempersembahkan di hadapan penonton secara langsung.

Dokumentari ini turut menawarkan pandangan yang lebih mendalam mengenai keunikan budaya dan tradisi yang diwakili oleh setiap jenis tarian.

Penonton akan berkesempatan untuk menjelajah bersama-sama Sasha, di mana beliau akan turut menceritakan mengenai gaya hidup, masyarakat, monumen, budaya, dan destinasi menarik di samping memperkenalkan tarian tradisional tempatan negara berkenaan.

Sementara Sasha mempelajari pelbagai jenis dansa, Dansa turut membongkar pengalaman-pengalamannya serta cabaran yang ditempuhi di saat mempelajari sesuatu jenis tarian yang baru.

Sasha akan menjelajah negeri-negeri di Malaysia seperti Pahang, Terengganu, Sabah, Sarawak, Johor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sementara negara luar pula, Sasha akan menziarah Jepun, Thailand, Indonesia dan Australia.

“Memang mustahil saya dapat mahir dalam satu-satu tarian dalam tempoh tiga hari sahaja walaupun saya mempunyai asas dalam bidang tarian. Sebabnya setiap tarian punyai lenggok dan geraknya tersendiri.

“Namun rancangan ini bertujuan untuk memperkenalkan tarian tradisional yang unik dan kepayahan sesetengah golongan dalam mempertahankan budaya mereka.

“Antara tarian yang paling saya gemari ialah Ngajat Lesung dari Sarawak kerana tariannya yang lemah gemalai disertai bunyi manik dari pakaian tradisi yang mengasyikkan.

“Berdasarkan pengalaman saya bertahun-tahun menari, keistimewaan tarian tradisional kita berbanding negara lain terletak kepada pergerakan yang lebih lembut, elegan, sopan, namun punya kekuatan dalam keayuan gerakannya.

“Walaupun saya bukanlah berdarah melayu tulen, namun tarian tradisional seakan sudah sebati dengan saya dan saya berpendapat orang ramai terutama generasi muda harus didedahkan dengan kekayaan budaya kita ini,” tambah pemegang Ijazah Sarjana (Kepujian) Seni Persembahan graduan Akademi Seni Persembahan West Australian ini.

Selain itu, setiap langkah pengacara dirakamkan, dari pemakaian kostum, aksesori, muzik, elemen sejarah dan bagaimana kesemua faktor ini bersatu dan seterusnya menghasilkan tarian-tarian turut disajikan.

Tambah Sasha, sebuah buku yang diilhamkan dari rancangan dokumentari ini yang diberi judul Dansa: A Dance Journey turut dilancarkan bersama-sama program ini.

Buku yang mengandungi 200 halaman ini menghidangkan lebih 250 keping visual indah yang tidak pernah didedahkan dalam rancangan termasuklah saat-saat di belakang tabir yang berjaya dirakamkan oleh Sasha dan krew di 13 lokasi menarik tersebut.

“Segala kepayahan dan kegembiraan diceritakan di dalam buku ini dan turut disertakan info-info menarik mengenai sesuatu tarian itu,” tambahnya.

Untuk informasi lanjut mengenai rancangan, sila layari www.ntv7.com.my untuk informasi terperinci mengenai pengacara, sila layari http://sashabashir.blogspot.com/ .

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: