Monday, October 5, 2009

Dafi pikat peminat Indonesia

Dalam usianya yang masih muda, penyanyi realiti ini berjaya mengembangkan karier seninya ke negara jiran, Indonesia yang sukar untuk ditembusi kebanyakan artis di negara kita. Dia yang pernah popular dengan lagu tema ais krim Cornetto, ‘Dua Hati Menjadi Satu’ bersama penyanyi seberang yang kecil molek, Gita Gutawa, kini mempertaruhkan album barunya, Seumur Hidup untuk terus mencipta nama di sana.

Menurut Dafi, sekitar bulan puasa lalu, dia telah pun mengadakan promosi single dan album barunya itu di Indonesia. Bersyukur kerana kehadirannya masih di terima peminat di sana, kata Dafi, ia membuatkannya lebih bersemangat untuk mempertahankan kariernya di sana.

“Saya tak sangka mereka dapat menerima saya kerana bukan mudah bagi artis di negara kita untuk menembusi pasaran mereka. Saya harap dengan album baru ini mereka akan dapat terus menerima saya.

“Kalau di sini, lagu ‘Seumur Hidup’ sudah pun dimainkan di radio dan juga menjadi lagu latar untuk filem Jin Notti, tapi di Indonesia, saya pertaruhkan single ‘Di Antara’ dan ia pun baru sahaja dimainkan di sana,” kata bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-empat ini.

Dalam pada itu, kata Dafi, dia juga berpeluang menjalani penggambaran video klip 'single'nya, ‘Di Antara’ dan dapat bekerjasama dengan artis remaja popular di negara itu, Tasha. Berkongsi pengalamannya, kata Dafi, proses penggambaran di negara itu tidak ada bezanya dengan di negara ini. Namun bagaimanapun, ia tetap memberikan pengalaman baru untuknya.

Penyanyi yang bakal bergelar graduan dalam bidang Komunikasi Massa daripada Universiti Lim Kok Wing ini juga memberitahu, tahun hadapan dia bercadang untuk menghasilkan album baru yang memuatkan lagu-lagu Inggeris.

“Insya-Allah bila tamat pengajian pada tahun hadapan, saya nak buat album Inggeris sebab nak cuba pasaran antarabangsa. Apa pun semuanya masih dalam perancangan. Harap-harap impian saya ni tercapailah,” katanya yang turut ingin mencuba nasib dalam bidang lakonan.


Konvoi raya ke rumah peminat

Tahun ini merupakan tahun ketiga Dafi beraya sebagai artis. Seperti tahun sudah, dia tidak akan melepaskan peluang untuk meraikan kegembiraan Syawal dengan mengadakan rumah terbuka bersama kelab peminatnya. Berbeza sedikit dari tahun sudah, kata Dafi, kali ini dia akan mengadakan konvoi ke rumah peminat yang terpilih.

“Kalau tahun lepas kita buat rumah terbuka pada satu tempat, kali ini kita akan konvoi di rumah tiga peminat yang terpilih. Di situ kita akan berkumpul beramai-ramai dan saya namakan program ini sebagai ‘Jalan-Jalan Raya’. Memang kita sengaja buat kelainan untuk tahun ini. Tarikhnya belum ditetapkan lagi, tapi yang pasti dalam bulan Syawal ini juga,” katanya yang sudah tiga tahun mempunyai kelab peminat sendiri, iaitu Dafi Fan Club.

Dalam pada itu, Dafi memberitahu, setiap kali tiba hari raya, dia akan membuat kad raya istimewa untuk dikirim pada peminat-peminatnya.

“Saya rasa tradisi menghantar kad raya ini lebih ada nilai berbanding teknologi yang ada sekarang. Dengan cara ini saya rasa lebih dekat dengan mereka,” katanya yang turut terlibat dengan beberapa program raya.

Bercerita tentang sambutan Syawal kali ini, kata Dafi, buat kali pertamanya dia menyediakan duit raya untuk anak-anak buah dan saudara kecilnya.

“Sebelum ini saya tak pernah bagi duit raya pada mereka, sebab ayah saya kata tak payah sebab dia dah bagi. Tapi tahun ini saya rasa nak bagi, sebab seronok bila tengok mereka gembira dapat duit raya. Lagipun, tahun ini ada rezeki lebih,” katanya yang memilih baju raya tema biru firus pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: