Menjadi juara Pilih Kasih bukan tiket mudah kepada Iqbal untuk harungi saingan dunia seni
DIA baru hendak memulakan perjalanannya dalam dunia seni. Nama Iqbal Mazlan masih tidak dikenali kecuali dengan memperkenalkan diri sebagai juara program realiti TV, Pilih Kasih yang berakhir lebih sebulan lalu.
Itu bukan program realiti pertama yang disertainya. Selama hampir tiga tahun, Iqbal sudah mencuba nasib dalam program Akademi Fantasia dan One In A Million (OIAM) serta hampir menjadi peserta MyStarz LG, tetapi rezekinya seolah-olah tertulis menerusi Pilih Kasih.
Walaupun bergelar juara program Pilih Kasih, Iqbal sedar laluannya untuk mengembangkan bakat dalam persada seni, terutama lakonan, bukanlah mudah.
"Sekarang adalah masa untuk saya membuktikan kemampuan sebenar sebagai pelakon. Bidang lakonan sudah dijadikan kerjaya sepenuh masa, bukan sebagai kerja sampingan.
"Sejak awal bulan lalu hinggalah malam raya, saya sudah menghabiskan masa di lokasi penggambaran telefilem Terima Kasih Cikgu arahan Along Kamarudin. Selepas ini, saya akan memulakan drama muzikal Pilih Kasih di bawah arahan Erma Fatimah pula," katanya.
| IQBAL banyak menimba pengalaman daripada Rosyam Nor yang dianggap sebagai idolanya. |
Anak muda kelahiran Rembau, Negeri Sembilan tetapi kini menetap di Klang, Selangor ini sentiasa berpijak di bumi nyata iaitu sedar tidak boleh selamanya mengharapkan bantuan orang lain tetapi perlu bijak mencari peluang dan berdikari.
Nasihat daripada Rosyam Nor yang dianggap sebagai mentornya sentiasa dipegang untuk menjadi pelakon berjaya.
Ini termasuklah diminta menguruskan badan supaya kelihatan menarik di TV dan layar perak. Dan, walaupun masih baru, Iqbal sedar ramai yang sudah mengenali dirinya menyebabkan pergerakannya kini sudah menjadi perhatian masyarakat.
"Saya pakai topeng pelindung H1N1 pun orang masih perasan. Terkejut juga. Tapi saya kena membiasakan diri untuk memulakan pengalaman seperti ini. Saya harap kerjaya ini akan menjadi yang pertama dan terakhir. Cinta dan hati saya memang dalam bidang ini.
| BERSAMA rakan peserta Pilih Kasih, Nabila (dua dari kiri) Reza Hasbi, Ana Dahlia dan Diwan (kanan). |
"Selain diminta kurangkan berat badan, abang Rosyam turut memberi panduan untuk 'bermain' dengan kamera dan bijak mencuri perhatian alat itu walaupun kita berdiri atau duduk membelakangkan diri. Katanya lagi, lakonan bukan sekadar membaca dialog, sebaliknya perlu lahir dari hati dan 90 peratus daripadanya disalurkan ke mata.
"Fauziah Nawi pun pernah cakap kalau nak jadi pelakon mahupun penyanyi, kita kena jadi 'gila'. Maksudnya, kita menghafal dan membaca dialog di depan cermin seorang diri atau berlatih menyanyi di dalam bilik air seperti orang tak betul," katanya.
Rosyam pula berkata, kemungkinan program Pilih Kasih musim terbaru untuk kembali lagi begitu cerah. Biarpun belum cukup popular dan penuh dengan kontroversi dalaman, termasuk kritikan yang sering dilemparkan kepada salah seorang pengacara program terbabit, aktor itu menegaskan Pilih Kasih sebenarnya mendapat sambutan menggalakkan.
"InsyaAllah uji bakat akan diadakan sebelum Ramadan tahun depan. Kejayaan program ini bagi musim pertama membuktikan sesetengah pandangan sinis masyarakat iaitu jika ia disiarkan di RTM maka jumlah penonton menyusut.
"Sebaliknya, Pilih Kasih menjadi antara program realiti paling berjaya di RTM. Rating pertandingan (secara mingguan) ini bermula dengan 500,000 dan dua juta penonton pada peringkat akhir.
"Segmen Kisah Pilih Kasih bermula dengan purata 100 ribu penonton tetapi meningkat hingga mencapai 500,000 penonton. Kita berharap dengan rating yang bagus, akan ada lebih banyak penaja yang sudi bekerjasama.
"Mengenai pengacara (Raja Azura dan Reza), kalau boleh kita akan kekalkan mereka. Tengok keadaan, jika mereka sibuk, kita mungkin cari pengacara lain. Kita akan perbaiki kelemahan pada musim lalu. Kita hanya ambil 16 peserta berbanding 20 peserta pada musim pertama," katanya.
Mengenai kerja seninya ketika ini, biarpun masih dalam proses memulihkan kecederaan serius pada tulang bahu kiri yang dialaminya ketika menjalani penggambaran filem Libas, aktor berusia 43 tahun ini masih tegar meneruskan minatnya untuk berlakon.
Selain filem Libas arahan Jurey Latiff, Rosyam turut tampil dalam filem CE1 arahan Aziz M Osman. Malah dia masih sibuk menghabiskan baki penggambaran drama Nigena berpasangan dengan Emelda Rosmila.
"Saya baru pulih 50 peratus kerana masih menjalani rawatan fisioterapi. Kata doktor, paling kurang pun memerlukan dua bulan lagi untuk pulih sepenuhnya. Selepas saya menjalani pembedahan, saya kerap pitam dan berat badan turun dari 69 kilogram menjadi 63 kg.
"Sepatutnya saya tidak boleh terlalu lasak sangat tapi dengan bidang yang saya ceburi semua jadi tidak menentu. Bayangkan dua hari selepas keluar dari dewan pembedahan, saya sudah sibuk dengan program Pilih Kasih. Langsung tak pernah fikirkan nak berehat.
"Selepas selesai penggambaran drama Nigena, saya akan sambung ke penggambaran Gelora Di Hati Sara musim kedua. Diikuti dengan drama Isabella di samping Vanidah Imran dan akhir sekali untuk drama Fantasia Bulan Madu. Untuk drama Fantasia Bulan Madu, heroinnya sedang dicari," kata Rosyam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: