
DILAHIRKAN 30 tahun lalu hasil buah cinta penerbit filem, Chander Sadanah dan pasangannya, Seema Sadanah, Jyothika Sadanah Saravanan bukan asing dalam dunia perfileman India.
Sering menjadi heroin yang hebat dalam drama atau filem-filem lakonannya seperti Khushi, Kaaka Kaaka, Perazhagan, Chandramukhi and Mozhi, biar ramai muka baru muncul Jyothika tetap menjadi pilihan pengarah.
Lakonan mantap, displin dan kredibiliti isteri kepada lawan lakonannya dalam kebanyakan filem, aktor Surya Sivakumar yang dinikahi pada tahun 2006 telah membuatkan pelakon ini bertahan.
Ironinya, sebelum begitu mekar sebagai ‘bunga’ perfileman Tamil, Jyothika memulakan kariernya dalam lapangan perfileman Hindi menerusi filem Doli Saja Ke Rakhna.
“Namun, kehadiran saya dalam dunia Bollywood tidak meninggalkan impak. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana percubaan seterusnya dalam dunia perfileman Tamil membuahkan hasil sehingga kini,” ulasnya mengenai perjalanan karier yang dilaluinya.
Setahun kemudian, iaitu pada 1999, baru namanya menjadi perhatian selepas lakonannya sebagai Sona dalam filem Tamil berjudul Vaali diiktiraf sebagai Cemeo Wanita Terbaik dalam Tamil Filmfare.
Biar beragama Islam dan berdarah Punjabi, pelakon dengan nama timangan Joy ini tidak didiskriminasi dalam industri filem Tamil. Sehingga tahun 2007, dia telah beraksi dalam lebih 50 buah filem yang antaranya dihasilkan dalam bahasa Telugu, Kannada dan Malayalam.
Sentiasa merendah diri, Joy merumuskan kejayaannya dalam bidang perfileman sebagai tuah yang diberi Tuhan. Katanya: “Saya sangat teruja dengan apa yang Tuhan berikan kepada saya sekarang. Saya tidak minta lebih daripada apa yang ada kini.”
Malah katanya, menjadi heroin atau pemegang watak sampingan bukan masalah. Tetapi ia akan menjadi masalah apabila seseorang pelakon tidak membawanya dengan betul.
Sempena memeriahkan sambutan Deepavali tahun ini, Joy berpasangan dengan Sarath Kumar dan Andrea, Milind Soman dalam filem Pachaikili Muthucharam.
Ditayangkan RTM2 melalui slot Spice of India pada pukul 1.30 petang ia mengisahkan tentang cinta tiga segi di mana Joy menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Sarath.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: