"Apa yang dilakukan oleh robot itu adalah seperti dilakukan oleh anda kerana anda boleh merasainya secara imaginasi. Itulah dunia yang dipaparkan dalam karya itu" – BRUCE

TERKENAL dengan watak John McClance untuk siri filem Die Hard, Bruce Willis yang memulakan karier sekitar tahun 1980-an sudah terlibat dalam lebih 60 buah filem. Tidak terbatas kepada satu genre, Bruce bagaimanapun lebih terkenal menerusi filem aksi walaupun pernah menyertai produksi komedi dan drama.
Ada sebabnya mengapa aktor berusia 54 tahun itu masih digemari para penerbit. Ini kerana kebanyakan filem-filem yang membabitkan Bruce seperti Pulp Fiction, Sin City, 12 Monkeys, Armageddon dan The Sixth Sense akan mencatatkan keuntungan lebih AS$2.55 bilion (RM8.65 bilion) hanya di Amerika Syarikat sahaja.
Maka, pelakon kelahiran Jerman itu merupakan aktor di tangga ketujuh yang mendapat keuntungan tertinggi semasa memainkan watak utama. Pernah mengeluarkan album, The Returns of Bruno, Bruce tidak menyinar sebagai penyanyi. Kegagalan itu memaksa Bruce kembali ke arena perfileman walaupun dia tersungkur banyak kali sebelum mencapai kejayaan.
Bakal dilihat dalam filem komedi, A Couple of Dicks, Bruce juga akan berganding dengan pelakon aksi veteran, Sylvester Stallone dan Arnold Schwarzenegger untuk filem The Expendables yang dijadualkan ditayangkan tahun depan.
Selain popular menerusi filem, kehidupan peribadi Bruce juga menarik perhatian ramai. Berkahwin dengan aktres Demi Moore pada tahun 1987, mereka mempunyai tiga orang anak perempuan, Rumer Willis (1988), Scout LaRue Willis (1991) dan Tallulah Belle Willis (1994) sebelum bercerai pada tahun 2000.

Bruce bagaimanapun mengekalkan perhubungan baik dengan Demi yang sudah berkahwin dengan Ashton Kutcher. Aktor itu pada Mac lalu juga telah mendirikan rumah tangga bersama Emma Heming.
Terbaru, filem sains fiksyennya, Surrogates yang diadaptasi berdasarkan buku komik dengan nama yang sama meyaksikan dia memainkan watak sebagai ejen FBI, Thomas Greer.
Berlatarbelakangkan tahun 2017, filem arahan Jonathan Mostov itu mengisahkan manusia yang hidup dalam komuniti tersendiri dan terpinggir kerana tidak lagi meninggalkan rumah mereka. Situasi berlaku kerana manusia telah mencipta robot gantian yang menyerupai wajah pemiliknya.
Maka, manusia hanya perlu mengawal robot mereka menggunakan alat kawalan jauh dan robot itu akan melakukan kerja seharian manusia. Apa kesalahan atau kerosakan yang dilakukan oleh robot mereka tidak akan dirasai pemiliknya. Oleh kerana itu, dunia manusia bebas daripada kesakitan, ketakutan dan jenayah.
Bagi mengetahui pengalaman dan mendalami filem itu, ikuti petikan temu bual Bruce yang disediakan oleh Buena Vista Columbia TriStar Films (M).

Apakah perkara dalam filem itu yang bagi anda amat menarik. Ceritakan sedikit kelebihannya yang boleh membuatkan penonton ingin menyaksikan filem itu.
Ia sebuah filem suspen thriller dengan gabungan sedikit aksi. Namun, apa yang menarik adalah elemen misteri dalam filem itu. Anda akan melihat bagaimana saya berusaha menyelamatkan dunia dan menyelami masalah masyarakat kini yang obses dengan kesempurnaan diri.
Boleh ceritakan sedikit mengenai watak anda?
Dia seorang polis yang pelik, cepat marah dan tidak gembira dengan situasi yang sedang berlaku di sekeliling. Dia tidak bersefahaman dengan isterinya dan berjauhan dengannya. Namun, disebabkan penjualan secara berleluasa robot yang dijadikan manusia gantian, dia mahukan isterinya semula. Manusia boleh membeli robot itu kerana mereka mahu bersembunyi di sebalik wajah sendiri yang sebenarnya bukan satu benda yang teruk.
Anda berlakon dengan Radha Mitchell dalam filem itu dan kelihatan serasi. Apakah perasaan bekerjasama dengan dia?
Dia seorang pelakon yang hebat, kelakar dan seronok. Kami berdua merupakan polis dan sebenarnya mempunyai robot yang juga bekerjasama.

Bolehkah anda jelaskan apakah robot gantian itu dan fungsinya dalam filem itu?
Robot gantian adalah seperti robot boneka yang anda memerintahnya untuk melakukan semua benda dalam hidup anda. Anda hanya perlu menetap di rumah, duduk di atas kerusi dan mengawal robot itu yang rupa bentuknya ditentukan oleh anda sendiri. Apa yang dilakukan oleh robot itu adalah seperti dilakukan oleh anda melalui imaginasi. Itulah dunia yang dipaparkan dalam karya Surrogates.
Apakah kelebihan dan kekurangan untuk menjadi robot gantian?
Kelebihan? Anda boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki dan kalau cuaca menjadi sejuk, anda tidak akan merasainya. Ini kerana anda boleh mengubah suhu robot itu. Jika anda bosan mendengar seseorang bercakap, matikan sahaja suis robot anda. Bahkan, anda boleh merealitikan fantasi hidup yang dikehendaki.
Itu adalah satu konsep yang menarik yang menyedarkan kita mengenai obsesi terhadap kecantikan dan teknologi terkini. Adakah dengan membongkarkan isu sebegitu meningkatkan perasaan tanggungjawab kepada diri anda?
Ia satu pengalaman yang memberi kesedaran kerana kami memainkan peranan sebagai manusia zaman akan datang. Jadi kami diperlukan untuk memutihkan gigi, menggunting rambut dan menukar penampilan kami. Maka, ia secara tidak langsung menunjukkan manusia semakin obses dengan kesempurnaan. Ceritanya mempersoalkan maksud kesempurnaan. Jika kita mempunyai peluang untuk menjadi sempurna, adakah kita akan melepaskan identiti diri? Ia adalah menarik untuk melalui proses itu.

Dalam situasi apa yang akan menjadi menarik untuk anda memiliki robot gantian dalam kehidupan realiti?
Dalam banyak keadaan sebenarnya. Contohnya jika perlu bangun pada pukul 4 pagi, alangkah baiknya jika robot itu mampu menggantikan anda. Memandu di Los Angeles, perjalanan jauh di atas kapal terbang dan banyak lagi yang saya malas untuk melakukannya. Tapi itu yang membuatkan kehidupan kita lebih bermakna.
Dalam filem itu, robot gantian kelihatan lebih muda berbanding pemiliknya. Banyak kesan khas yang digunakan untuk mencapai efek itu. Apa yang anda fikirkan semasa melihat diri anda?
Saya tidak pasti tetapi rasanya saya kelihatan lebih menarik tanpa rambut (ketawa). Tapi kelihatan lebih muda adalah sesuatu yang anda jangkakan semasa ingin mencipta robot. Mereka perlu mencipta satu rupa dan bukannya manusia. Disebabkan mahu seiringkan ciptaan itu dengan manusia, maka ia perlu dicipta lebih menarik. Sebenarnya ia agak kelakar untuk melihat versi diri saya yang lebih sempurna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: