Wednesday, October 7, 2009

Bila Penat Berat Naik - Yana

Tidak dinafikan apabila diri menjadi figura awam, penampilan diri tentunya akan dititikberatkan. Jika terdapat sedikit perubahan, pasti akan ada yang menegur. Begitu jugalah empunya diri Norliana Samsudin atau lebih mesra disapa Yana. Gadis berusia 25 tahun ini begitu menjaga penampilan diri sesuai dengan status artis.

Namun yang merunsingkan dirinya apabila berat badan tetap bertambah walaupun tak kerap menjamah makanan.

"Masalah Yana bila penat sangat bekerja, berat akan bertambah. Sekarang pun berat Yana dah naik dua kilo. Simptom berat naik jadi awal tahun.

"Lepas itu masa sesi fotografi dengan majalah Rapi, Yana dapat tips supaya jangan bersenam terlalu kerap dan jangan terlampau memaksa diri ketika bersenam kerana otot kita akan terbentuk. Sebab itulah berat akan naik," ujar gadis tinggi lampai ini.

Target Kahwin

Biarpun usia telah menjangkau 25 tahun pada 25 September lepas, namun bagi Yana, beliau telah berjanji pada keluarga dan dirinya untuk mendirikan rumahtangga dalam tempoh dua tahun.

"Tapi susah juga sebab Yana tak ada calon lagi sekarang ni. Tipulah kalau Yana cakap tak ada masa untuk bercinta tapi untuk memberikan komitmen memang sangat sukar. Tapi syukur sebab parents Yana tak pernah paksa," kata bekas kekasih Piere Andre ini.

Karier Seni

Mungkin tidak ramai yang mengetahui Yana memulakan karier sebagai penyanyi dan pernah mengeluarkan album berjudul Ceria sebelum bergelar pelakon. Namun beliau menyepikan diri seketika untuk memberi laluan kepada pelajaran ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA mengikuti Ijazah Sarjana Muda Seni Layar. Namanya mula menjadi sebutan ketika muncul sebagai pengarah wanita paling muda menerusi filem Selamat Pagi Cinta.

Yana kini telahpun membuktikan kemampuan dan bakat lakonannya menerusi filem dan drama seperti Histeria, 3 Janda, Bionik, Lu'Lu dan yang terbaru Jangan Tegur Lagi.

Yana bakal membawakan watak Tina sahabat baik kepada Natasya (Rabecca Nur Al-Islam). Jangan Tegur Lagi merupakan drama seram terbaru terbitan MIG Production Sdn Bhd berdasarkan kepada kejayaan filem Jangan Tegur. Drama 13 episod ini bakal ditayangkan di Slot Seram TV3 bermula November ini.

Selain itu, Yana turut terlibat dengan penggambaran drama Cinta Balkis yang akan menggantikan drama popular Nur Kasih dalam Slot Lestari di TV3. Antara filem yang bakal ditayangkan pula adalah Adenan Sempit dan Shh...Dia Datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: