MAWI dan Fara Fauzana mendapat perhatian peminat ketika promosi filem Jin Notti, baru-baru ini. |
PRODUSER filem Jin Notti, Norman Abdul Halim menjelaskan kontroversi yang membabitkan dirinya dan pengedar filem Momok The Movie, David Teo mengenai kutipan kedua-dua filem itu bukanlah promosi atau publisiti untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem mereka.
“Untuk makluman, kami tidak pernah bersepakat atau merancang kontroversi ini. Saya tampil membuat kenyataan adalah kerana ingin mempertahankan filem saya.
“Jin Notti dengan Momok masing-masing ada penontonnya tersendiri. Apabila ada kenyataan mengelirukan yang membandingkan antara Jin Notti dan Momok, secara psikologi ia boleh mempengaruhi pemikiran penonton supaya tidak menonton filem Jin Notti.
“Saya tak nafikan kenyataan David mengenai kutipan Momok lebih baik daripada Jin Notti, sedikit sebanyak menjejaskan kehadiran penonton ke pawagam
“Tapi pertelingkahan seperti ini bukanlah sesuatu yang baru. Saya tak nafikan hubungan kami ada pasang dan surutnya. Pun begitu, saya harap perkara ini tidak berpanjangan,” jelas Norman pada sidang media selepas menghadiri sesi bertemu peminat di sebuah pusat membeli belah utama di ibu negara, petang kelmarin.
Sesi ini turut disertai pelakon utama filem Jin Notti iaitu Mawi dan Fara Fauzana serta pengarahnya Azahari Zain.
Kata Norman lagi kontroversi itu juga menyedarkannya supaya lebih bersedia pada masa akan datang disebabkan ada dua filem keluaran KRU Studio sekali lagi bakal bersaing dengan filem terbitan Metrowealth Movie Productions.
“Pada November nanti kami akan edarkan filem animasi komedi, Planet 51 dan pada masa sama, filem Senario The Beach Boys juga akan ditayangkan. Pada Disember pula, dua filem kami juga akan bersaing di pawagam.
“Kami menayangkan filem My Spy arahan Afdlin Shauki manakala filem Santau juga masuk panggung. Justeru persaingan akan berterusan.
“Saya harap apa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran kepada setiap produser filem lain supaya berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan terutama apabila memperkatakan filem pesaing kerana kita sama-sama cari rezeki dalam bidang ini,” kata Norman lagi.
Ditanya mengenai kutipan yang diperoleh filem terbitannya, Norman berkata seboleh mungkin dia enggan mendedahkan jumlah kutipan sebenar kerana tidak mahu menyakitkan hati mana-mana pihak.
“Sehingga Ahad lalu, kutipan Jin Notti mencecah RM2 juta. Apapun bagi saya biarlah jumlah kutipan sebenar filem kami diumumkan sendiri oleh Finas kerana itu lebih rasmi.
“Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini berpanjangan kerana saya buat filem bukanlah untuk mengejar box office. Asalkan mencecah RM3 juta hingga RM3.5 juta, itu sudah memadai,” kata Norman sambil mengakui tidak mahu kontroversi antara dia dan David berterusan.
Perang mulut antara kedua-dua produser ini terjadi apabila saling mendakwa kutipan kasar filem mereka lebih tinggi daripada yang lain selepas tiga hari ditayangkan bermula pada 20 September lalu.
Mengulas lanjut isu itu, Norman yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) berkata adalah penting setiap panggung menyediakan satu sistem automatik yang memudahkan pemilik pawagam atau pemamer mengemaskinikan jumlah kutipan tiket supaya maklumat yang disalurkan itu lebih telus dan berdasarkan fakta.
Sehubungan itu, katanya, PFM sejak sebulan lalu sudah menghantar permohonan bantuan berbentuk geran sebanyak RM1 juta kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia untuk membeli kemudahan itu.
“Kementerian terbabit memang menyediakan peruntukan kepada mana-mana Badan Bukan Kerajaan terutama yang membabitkan prasarana ICT. Jadi kami sudah menghantar permohonan itu pada bulan lalu. Kami harap permohonan itu berjaya untuk membolehkan sistem ini di pasang di semua pawagam seluruh negara,” katanya.
Terdahulu pada sesi bertemu peminat itu, kesemua pelakon terbabit meluangkan masa selama 45 minit. Selain sesi menandatangani autograf dan bergambar kenangan, mereka juga menghadiahkan kemeja T Jin Notti kepada peminat yang bertuah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: