Pasukan Hands Percussion menawan dunia dengan persembahan seni mereka menerusi dimensi baru penggendang Cina tradisional pada Festival of Confolens di Perancis baru-baru ini. Apakah pengalaman manis mereka?

GENDANG-GENDANG itu diusap secara santun dengan tangan. Bunyi yang dihasilkan kedengaran sungguh harmoni. Keharmonian muzik itu diserikan lagi dengan iringan paluan gamelan yang ditempatkan di sudut belakang studio seni itu.
Kemudian, seorang pemain gendang membuat lompatan. Lompatan itu membolehkannya beraksi di atas lantai kayu mengikut ritma yang didendang. Seorang lagi pemain gendang memegang erat sebatang rotan nipis lalu mengelilingi gendang Cina itu.
Persembahan itu berlarutan selama sepuluh minit. Namun pemain-pemain itu terus mengulangi perbuatan itu sehingga tamat sesi latihan.
Siapakah mereka? Mereka adalah ahli-ahli Hands Percussion (Hands).
Sejak 1997, seni persembahan Hands yang artistik, inovatif dan kreatif telah mewarnai arena seni tempatan serta antarabangsa. Kumpulan pemain alat muzik itu terdirikesemuanya adalah warga Malaysia.

Dimensi baru
Persembahan kumpulan tersebut juga beberapa kali membuat persembahan di luar. Antara negara yang pernah mereka kunjungi termasuklah Belanda, Hong Kong, Australia, Belgium, Greece dan Qatar.
Persembahan mereka menampilkan satu dimensi baru kepada para pemain gendang Cina tradisional yang sedia ada. Pembaharuan itu jelas kelihatan melalui paluan gendang yang lebih sopan dan diikuti irama muzik kontemporari. Dendangan muzik disertai dengan aksi tarian yang cukup mencuit hati.

Baru-baru ini, Hands menyertai Festival of Confolens di Perancis. Festival seni dan tarian tahunan di bandar Confolens, Perancis itu berlangsung pada minggu kedua bulan Ogos lalu. Ia menerima kunjungan kira-kira 100,000 orang dari seluruh Perancis dan negara-negara luar. Pada festival itu, para audiens telah dihiburkan dengan pelbagai persembahan tarian dan muzik kebudayaan masing-masing.
Selain Malaysia, turut tersenarai membuat persembahan pada festival yang dianjurkan lebih separuh abad itu ialah Belarus, Brazil, Chile dan Peru.
Pengarah Artistik Hands, Bernard Goh yang ditemui di studio itu berkata, sekitar bulan Ogos tahun lalu dia menerima jemputan daripada Philippe Beausant. Beausant merupakan pengurus Festival Confolens turut berkhidmat dengan International Council of Organizations for Folklore Festivals and Folk Arts (CIOFF).
"Pelawaan tersebut bak durian runtuh. Realitinya, kini Hands diterima di seluruh dunia. Atas jemputan istimewa ini, kami juga setuju untuk menyampaikan persembahan yang terbaik pada festival tersebut.
"Sehubungan itu, pihak CIOFF turut meminta kami menyertai lima lagi festival yang berlangsung sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun ini di Perancis. Festival-festival seperti International Folk Festival of Martigues, Festival of Castres, International Folk Festival of Amelie les Bains, Festival of Cugand dan International Folkloriada Competition di Dijon," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di studionya di Sungai Buloh, Selangor.

Persiapan
Persiapan rapi meliputi gubahan muzik, tarian dan kostum dilakukan sebelum menyertai festival-festival bertaraf antarabangsa itu. Ahli-ahli kumpulan juga diberikan latihan tambahan untuk mempamerkan yang terbaik kepada warga Perancis.
Goh berkata, sepanjang berada di Perancis, dia dan pasukannya mendapat layanan istimewa daripada masyarakat tempatan. Bagaimanapun masalah bahasa menghalang komunikasi antara satu sama lain, namun mereka begitu tertarik dengan inisiatif Hands dalam mengekalkan seni dan budaya masyarakat Malaysia.

Warga Perancis memiliki sifat memuja seni dan budaya yang tinggi. Persembahan-persembahan festival itu berlangsung di pentas khas yang disediakan. Kadangkala audiens disediakan kerusi ataupun hanya berdiri untuk menyaksikannya. Setiap kali membuat persembahan mereka memberi sokongan melalui sorakan yang kuat. Ada pula yang melaung nama Hands.
Sepanjang berada di situ, mereka juga mendapat keluarga angkat yang sudi menawarkan kemudahan logistik seperti tempat tinggal dan makan minum. Selain menghayati budaya dan gaya hidup masyarakat Perancis, mereka juga menikmati masakan autentik bandar-bandar di Perancis seperti Cugand, Dijon, Martigues dan sebagainya.
Jelajah
Menurut anak kelahiran Negeri Sembilan itu, penjelajahan kira-kira enam minggu itu telah banyak memberi idea-idea baru terutamanya dalam mengadaptasi gubahan muzik dan persembahan. Unsur-unsur kontemporari dari segi penerapan muzikal budaya lain, kostum dan kreativiti tarian diperhalusi untuk meraih pandangan masyarakat global.
Hands pada asasnya terbentuk daripada sebuah kumpulan 24 Gendang Cina, tetapi mereka ingin berganjak sedikit daripada pengaruh tradisional itu. Mereka mahu menerapkan unsur-unsur moden untuk mencetus kelainan daripada kumpulan-kumpulan tradisional.
"Anjakan seumpama itu diperlukan untuk mempamerkan keunggulan warisan seni nenek moyang ini kepada masyarakat dunia. Reka bentuk instrumen sudah pun menampilkan sentuhan tradisonal itu. Maka, tiada tuntutan bahawa muzik yang dihasilkan perlu mengekalkan ciri-ciri lama.
"Kami bercita-cita untuk menjelajah lebih jauh. Maka kami harus keluar daripada cangkerang untuk melihat peluang yang terbentang luas itu," kata Goh.
![]() |
| BERNARD GOH |
Goh mempelajari paluan gendang daripada Tan Fui Choong. Fui Choong merupakan pengasas kumpulan 24 Gendang Cina dari Johor itu menubuhkan Hands dengan sokongan seorang lagi temannya yang dikenali sebagai Eric Ch'ng Lip Kang.
Sebelum itu, Goh yang mengajar seni gendang Cina untuk Brass Band, di Sekolah Chong Hwa, Cheras, Kuala Lumpur telah menyedari keghairahan dan minat yang mendalam terhadap instrumen tradisional itu. Sebagai tenaga pengajar, dia mengenalpasti bakat-bakat baru daripada murid-muridnya. Setelah pembentukan Hands, mereka yang berpotensi tinggi diberi peluang untuk menyertai kumpulan tersebut.
Mereka ialah pemain-pemain gendang muda berbakat yang mampu memalu gendang seperti pemain gendang berpengalaman.
Sesi latihan
Menurut Goh, setiap pemain diasah dengan sesi latihan yang cukup mencabar. Justeru, semua persembahan yang dibuat memerlukan stamina yang tinggi. Sehubungan itu, menjadi kewajipan bagi Eric untuk memastikan mereka bersedia dari segi fizikal dan mental.
"Bukan mudah untuk melompat ke sana ke sini secara berturut-turut. Seseorang perlu ada kekuatan untuk melakukan. Saya menawarkan kelas yoga dan senaman untuk membuat sesuatu aksi lasak. Kadangkala terdapat juga pemain yang tercedera apabila membuat lompatan itu.
"Kelas-kelas tambahan ini banyak membantu mereka bersedia secara mental untuk membuat persembahan yang terbaik. Apa yang paling penting bagi seseorang pemain adalah tidak takut pentas. Persiapan dari segi mental membuatkan para pemain berani melakukan apa sahaja aksi tanpa sebarang masalah," ujar lelaki yang turut mengajar kira-kira lapan kumpulan gendang di sekitar Kuala Lumpur dan Seremban itu.
Selain itu, para pemain juga perlu mengikuti kelas teater. Pada kelas tersebut, mereka akan diajar kemahiran berlakon. Ini penting bagi menjiwai setiap persembahan yang mendukung variasi konsep seperti alam, mimpi, ritma, gendang dan lain-lain lagi.
Lelaki yang berambut panjang itu memberitahu, Hands telah berkembang dari segi bilangan pemain dan kualiti persembahan. Sebanyak lapan orang pemain menyertai secara sepenuh masa dan tujuh orang pula pelatih. Dia dan ahli kumpulannya turut mengajar seni paluan gendang kepada 18 buah sekolah di Lembah Klang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: