Tuesday, October 13, 2009

Beraya anak rantau

Tiada air mata yang mengalir kala anak-anak rantau dari Indonesia menyambut Aidilfitri di asrama penginapan mereka di Senai, Johor baru-baru ini.


JUADAH tradisi Malaysia dan Indonesia disediakan untuk tetamu.


MERAIH rezeki di bumi orang semestinya memerlukan banyak pengorbanan. Malah ada yang sanggup memendam perasaan untuk tidak pulang menjenguk orang tua pada hari raya yang lalu.

Kebiasaannya, seluruh anggota keluarga akan berusaha untuk balik ke kampung bagi meraikan 1 Syawal bersama ayah bonda dan keluarga tercinta. Namun, bagi anak rantau, itu sukar dilakukan terutama bagi yang bekerja di sektor industri. Bukan sahaja soal menyediakan tambang pergi dan balik ke kampung, malah faktor cuti yang sukar diperoleh turut memaksa anak rantau menyambut hari raya di bumi orang.

Bagi segelintir anak rantau, mungkin jiwa mereka sudah kental untuk mengenang mereka yang tersayang di kampung halaman. Justeru, tiada air mata yang mengalir kala anak-anak rantau dari Indonesia menyambut Aidilfitri di asrama penginapan mereka di Senai, Johor baru-baru ini.

Saya terpanggil untuk turut memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya '09 Asrama Yamauchi di Senai pada 4 Oktober lalu semata-mata memenuhi jemputan seorang kenalan dari Palembang, Satina Thosin, 33. Saya mengenalinya ketika saya dan rakan-rakan pendaki Malaysia mengadakan ekspedisi mendaki Gunung Dempo di Pagar Alam, Palembang, Indonesia kira-kira dua tahun yang lalu.

Menurutnya, dia baru setahun lebih bekerja di kilang Yamauchi dan tinggal di pangsapuri yang disediakan oleh pihak majikan.

"Saya tinggal di rumah ini bersama 15 rakan yang lain. Kesemuanya warga Indonesia. Jadi, kami saling tolong menolong menyediakan juadah hari raya," katanya yang gembira apabila rumahnya menjadi juara dalam pertandingan menghias rumah yang diadakan sempena sambutan majlis tersebut.

Menurutnya, setiap ahli rumah membayar sebanyak RM20 untuk membeli barangan bagi memasak juadah hari raya termasuk sajian istimewa dari Indonesia seperti daging masak malbi, hati goreng dan ayam penyet. Minuman istimewa yang disediakan pula adalah sirap marjan.

"Kami juga merebus ketupat dan menyediakan gulai ayam untuk hidangan lontong," ujarnya yang cantik berbaju kurung berwarna biru muda.

Rakan serumahnya, Budi Susanti Gimo, 30, dari Puryorejo, Jawa Tengah pula berkata, beliau bekerja di kilang Yamauchi pada tahun 2001 hingga 2004 sebelum pulang ke kampung untuk berkahwin.

Menurutnya, pada tahun 2007, beliau datang semula ke Senai untuk bekerja di kilang yang sama manakala suaminya bekerja di sebuah kilang perabot di Batu Pahat, Johor.

"Dua minggu sekali, saya akan ke Batu Pahat berjumpa suami. Itu lebih mudah kerana di sana, ada rumah. Di sini (Senai), saya tinggal bersama rakan-rakan yang ramai. Tidak sesuai untuk bersama suami," ujarnya tersenyum simpul.


SATINA THOSIN (dua dari kanan) bersama rakan-rakan serumah di asrama Yamauchi, Senai, Johor.


Mengenai persiapan majlis yang diadakan itu, Budi berkata, sehari sebelumnya iaitu hari Sabtu, mereka sudah mula memasak dan merebus ketupat.

"Rendang juga dimasak pada hari Sabtu tetapi tidak matang (setengah masak). Hanya pada tengah malam, barulah kami letak santan," katanya.

Sementara itu, Penyelia Asrama TKI (Tenaga Kerja Indonesia), Etik Aqustina, 29, memberitahu, seramai 340 TKI tinggal di dua blok pangsapuri di situ.

"Kilang ini mengeluarkan komponen elektronik dan saya telah sembilan tahun bekerja di Malaysia. Baru tiga tahun, saya bekerja di sini (Senai). Sebelumnya, saya bekerja di sebuah restoran di Genting Highlands, Pahang," katanya.

Menjelaskan tujuan majlis itu diadakan, Etik berkata, majikan mahu memberi penghargaan kepada para pekerjanya yang tidak pulang berhari raya di kampung.

"Semua kos untuk majlis ini disediakan oleh pihak majikan. Tetapi jamuan di rumah pekerja disediakan sendiri oleh penghuni rumah, misalnya jamuan raya di rumah Satina dan rakan-rakannya, disediakan sendiri oleh mereka.

"Tujuan lain adalah untuk merapatkan silaturahim antara penghuni asrama dan wakil-wakil majikan yang hadir," tambahnya.


SURYANA SASTRADIREDJA (dua dari kiri) duduk bersila di asrama TKI Yamauchi yang dihuni oleh Satina Thosin dan rakan-rakan di Senai, Johor.





Mengenai pertandingan menghias rumah pula katanya, ia diadakan untuk memberi dorongan kepada penghuni rumah agar menjaga keindahan dan kebersihan sekitar.

Katanya, pemenang pertama bagi pertandingan itu menerima plak, hamper dan wang tunai berjumlah RM250; tempat kedua, plak dan wang tunai RM200 dan tempat ketiga, plak dan wang tunai RM150.

Sementara itu, seorang tetamu rakyat Malaysia, Abd. Wafiy Abd. Malek, 19, dari Ayer Keroh, Melaka berkata, beliau mengikut bapa saudaranya, Sham Ahmad, 35, ke majlis tersebut.

"Pak Anjang (bapa saudara) ialah kawan lama Satina. Kami datang ke sini untuk merapatkan silaturahim dengan rakan-rakan dari Indonesia.

"Lagipun, saya nak tengok cara orang Indonesia menyambut raya di sini," katanya yang masih belajar di Kolej Poly-Tech Mara di Bangi, Selangor.

Turut memeriahkan majlis ialah Nyugen Duy Hao, 22, dari Hanoi, Vietnam.

Katanya, beliau teruja untuk menyambut hari raya bersama rakan-rakan sekerja dari Indonesia.

"Saya suka gulai ayam dan ketupat. Kalau nak merasa makanan tradisi negara lain, inilah harinya,'' katanya.

Pada satu perkembangan lain, Konsul Besar Indonesia di Johor Bahru, Suryana Sastradiredja berkata, hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia sudah lama dijalin. Katanya, kedua-dua negara mempunyai banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan agama.

Sehubungan itu katanya, sebarang isu yang timbul seharusnya diselesaikan secara aman tanpa merugikan kedua-dua pihak.

"Pihak media harus memainkan peranan menjernihkan keadaan. Apa juga isu panas yang timbul boleh dirunding dan diselesaikan secara aman tanpa perlu disensasikan," katanya.

Suryana juga meminta media di kedua-dua negara tidak memperbesarkan isu yang boleh mengeruhkan hubungan.

"Jika ada masalah, jangan perbesarkan kerana ia boleh mengeruhkan keadaan," ujarnya bersungguh-sungguh.

Mengulas lanjut katanya, media dari kedua-dua negara juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dilaporkan dari semasa ke semasa.

"Seharusnya, jangan tulis cerita yang boleh membangkitkan kemarahan atau mengguris hati kedua-dua pihak. Kita ini kan...serumpun dan seagama, jadi sebarang masalah yang timbul, lebih baik diselesaikan di meja rundingan," katanya penuh berharap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: