Biarpun masih muda tetapi mereka berlima begitu serasi memainkan alat muzik tradisional.

TERKEDU mendengarnya apabila penulis diberitahu mereka hanya dibayar sebanyak RM108 ketika membuat persembahan pertama. Itu sahaja upah yang dirasakan berpatutan selepas dua jam menghiburkan audiens dengan pelbagai alunan muzik.
"Terkejut dan tidak sangka sama sekali. Baru saja nak menyuap makanan, tiba-tiba penganjur datang menghampiri dan membayar RM18 kepada setiap ahli. Nak merungut pun, tak guna. Mungkin itu sahaja rezeki kami pada hari itu.
"Apa yang dikesalkan adalah mengapa kami diperlekehkan sedemikian rupa? Adakah disebabkan kami ini kumpulan pemuzik yang hanya memainkan alat muzik tradisional?" soal Abdullah Mohd. Redza, 24, dari kumpulan Irama Budaya Warisan dalam nada kesal.
Itu cerita tiga tahun lalu. Pada waktu itu, Abdullah dan rakan-rakan kumpulan masih memegang status pelajar dan fokus bermain lagu-lagu klasik dan tradisional sahaja. Tetapi, pada hari ini, corak persembahan mereka sudah menunjukkan peningkatan dan kelainan.
Jika dahulu, irama tradisional menjadi pilihan, kini kumpulan tersebut yang terdiri daripada anak-anak muda berusia antara 21 hingga 24 tahun mampu memainkan 50 buah lagu daripada genre muzik berbeza.
![]() |
| KUMPULAN Irama Budaya Warisan boleh memainkan lagu-lagu moden dengan menggunakan alat-alat muzik tradisional. |
Antaranya muzik pop, dangdut dan tradisional khususnya. Lebih menarik lagi, irama muzik yang didendangkan lahir daripada gabungan alat-alat muzik tradisional.
Lagak beraksi di atas pentas bagaikan mereka sudah lama bermesra dengan alat muzik tradisional dan hampir setara dengan pemuzik tradisional yang sudah gah namanya.
Sedangkan, hakikatnya mereka berlima baru tiga tahun mendekatkan diri dengan alat muzik tradisional. Sebelum ini, Abdullah, Rozaine, Rasyid Iskandar, Khari dan Ariff hanya bermain gitar dan piano.
"Biarpun masih muda dan berjiwa remaja, kami seronok memainkan alat muzik tradisional. Ia memberikan pengalaman baru dan kelebihan. Kini, kami boleh bermain alat muzik moden dan tradisional sekali gus. Jika generasi muda tidak memperjuangkan alat muzik tradisional, tidak mustahil ia akan pupus ditelan zaman.
"Dalam kumpulan, saya bertanggungjawab bermain gambus. Jangan tidak tahu... gambus bukan sahaja sesuai untuk muzik ghazal, malah ia juga boleh menghasilkan lagu-lagu moden," ujar Abdullah sambil memetik tali gambus dan mengalunkan irama lagu Kopi Dangdut.

Mengimbas kisah cintanya pada alat muzik tradisional, Abdullah yang dilahirkan di Linggi, Negeri Sembilan menjelaskan, pada peringkat awalnya, dia lebih tertarik mendengar lagu-lagu tradisional berbanding bermain alat muzik tradisional.
Lagipun minat untuk bermain alat muzik tradisional sukar dipupuk. Di kampungnya tidak mempunyai persatuan mahupun kumpulan yang mendedahkannya kepada alat muzik tradisional kecuali kompang.
Waktu zaman remajanya, dia lebih mudah mendapatkan gitar berbanding alat muzik tradisional seperti gambus atau gendang. Disebabkan faktor tersebut, seawal usia 16 tahun, Abdullah mula mengenali dan belajar memetik gitar tanpa pendidikan formal.
Menyedari saban hari, jari-jemarinya begitu ketagih memetik gitar dan mencuba lagu-lagu baru, akhirnya Abdullah mengambil keputusan mendalami ilmu muzik di peringkat lebih tinggi. Apatah lagi jurusan muzik sudah mampu menjanjikan profesion yang cerah pada masa depan.
Pengalaman baru
Lantas jejaka yang mudah tersenyum itu mengatur langkah ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
![]() |
| SELAIN memetik gitar, Mohd. Khari Razali juga pakar mengalunkan irama menggunakan biola. |
"Di Aswara, segala-galanya bermula. Saya mula mendalami ilmu muzik moden dan tradisional secara serentak. Ini kerana silibus pendidikan mewajibkan pelajar memilih major satu alat muzik tradisional.
"Inisiatif pihak akademi wajar dipuji. Barangkali mereka ingin mengelakkan para pelajar hanya fokus pada muzik urban sehingga mengabaikan dan melupakan alat muzik yang diwarisi sejak turun-temurun," ulas Abdullah yang memilih gambus yang hampir sama dengan gitar.
Tambah Abdullah: "Bermain gambus pada usia 21 tahun ibarat bayi yang sedang bertatih untuk berjalan. Bermula dari segi petikan, penghayatan dan menghafal kod, serba serbi perlu dipelajari dengan pantas.
![]() |
| |
Namun berkat latihan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar, pada hari ini, dia sudah mampu menghiburkan audiens dengan alunan muzik moden dan tradisional menggunakan gambus.
Pernah membuat persembahan di Festival Seni Asia 2008 di China, Abdullah melahirkan rasa terharu kerana masyarakat di sana lebih menghargai muzik tradisional Malaysia. Sepanjang membuat persembahan, tetamu tidak berganjak, sebaliknya bersama-sama bertepuk tangan dan memeriahkan suasana.
Masih kurang sambutan
Menyentuh mengenai pengaruh muzik tradisional dalam kalangan anak-anak muda, Muhammad Ariff Afendi, 21, yang bermain alat muzik akordian mula mencelah. Jejaka berkulit hitam manis itu tidak menafikan penerimaan remaja pada muzik tradisional masih di paras sederhana.
"Belum cuba, belum tahu. Saya akui sebelum ini, saya juga kurang memberi perhatian kepada muzik tradisional. Apatah lagi untuk cuba bermain alat muziknya. Namun selepas mengenali dan bergabung dengan kumpulan Irama Budaya Warisan yang berusaha memartabatkan muzik tradisional, saya jadi seronok.
"Misi kumpulan kami bukan mencari wang semata-mata. Sebaliknya, kami mahu menarik minat orang ramai khususnya anak muda agar mencintai muzik tradisional. Lagipun, saya dapati muzik tradisional kita semakin berkembang dan diselitkan elemen-elemen yang memikat halwa telinga," ujar Ariff ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur.
Ariff yang juga mahir bermain keyboard memberitahu, salah satu sebab mengapa alat muzik tradisional tidak dikenali ramai adalah kerana penjualannya tidak meluas.
![]() |
| GABUNGAN alat-alat muzik tradisional yang digunakan oleh kumpulan Irama Budaya Warisan. |
Bayangkan, orang muda boleh membeli gitar tong yang dijual pada harga RM90 di mana-mana sahaja. Sedangkan untuk membeli gambus, mereka perlu mencari dan menemui pembuat yang terbaik. Harganya pula kadangkala mencecah ratusan ringgit.
"Namun begitu, saya 'tabik' pada usaha negeri Johor yang sentiasa memperkenalkan keistimewaan gambus kepada kanak-kanak sehinggalah golongan dewasa," ulas Ariff yang berasal dari Taiping, Perak.
Kepentingan pendidikan awal
Penggiat seni dan penjuang muzik tradisional Malaysia, Noraniza Idris, 40, menegaskan kesedaran dan minat terhadap muzik tradisional dalam kalangan anak-anak muda perlu dipupuk sejak kecil lagi. Apabila usaha tersebut disemat dari kelas tadika, lama-kelamaan lenggok dan irama muzik tradisional akan sebati dalam diri mereka.
"Jadi, biarpun golongan muda disajikan dengan muzik-muzik semasa dan moden, teras irama tradisional terus teguh dan menjadi siulan. Sebab itulah, pendedahan sebegitu penting.
"Sebagai anak kelahiran Kluang, Johor, saya berterima kasih kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang dianggap sebagai pendidik yang terbaik. Beliau begitu sensitif dalam hal ini sehingga menitikberatkan soal kesenian agar masyarakat Johor terus memartabatkannya," ujar Noraniza yang aktif dalam bidang latihan dan bengkel kesenian menerusi Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd.
Menyedari golongan muda obses menyertai program realiti nyanyian, Noraniza yang popular dengan lagu etnik kreatif seperti Dikir Puteri, Awallah Dondang dan Ngajat Tampi menyarankan pihak penganjur menetapkan sebuah lagu tradisional wajib dinyanyikan oleh para peserta pertandingan itu.




No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: