Saturday, October 17, 2009

Basikal tua Rohaizad


ROHAIZAD mempunyai sebab tersendiri mengapa dia memilih basikal tua sebagai subjek penting dalam setiap karya yang dihasilkan.


BASIKAL tua masih lagi menjadi pilihan pelukis kelahiran Jitra, Kedah, Rohaizad Shaari dalam menghasilkan karya ketika mengadakan pameran solo keduanya bertajuk Siri Gelagat yang berlangsung pada 15 hingga 29 Ogos lalu.

Sebanyak 16 lukisan yang memaparkan sebuah basikal dalam suasana dan persekitaran berbeza telah dipamerkan di Galeri Metro Fine Art, Hotel Legend, Kuala Lumpur sekali gus berjaya menarik minat penggemar figura klasik itu.

Pameran tersebut merupakan rentetan daripada pameran solo pertamanya yang diadakan pada bulan Oktober 2003 dan ternyata Rohaizad tetap meneruskan kesinambungan basikal tua yang menjadi subjek utamanya dalam berkarya.

Kurator tamu pameran itu, Mahzan Musa dalam ulasannya berkata: "Rohaizad terus mara berkarya dengan hasil gerak kerja kreatif seni catan yang sehingga kini tidak nampak kesudahannya. Dengan cabaran ekonomi global masa kini, Rohaizad masih komited dan berani meneruskan kelangsungan kerjaya profesional sebagai pelukis sepenuh masa."

Menurutnya, pameran solo kedua itu memperlihatkan kesinambungan citra dari Siri Gerek yang mula beliau terokai pada dekad pertama alaf 2000. Di awal kemunculan citra basikal atau gerek dalam loghat Kedah, Rohaizad kelihatan bereksperimen dengan subjek tersebut.

"Bagi khalayak, dalam kehidupan sekarang, apalah yang ada pada sebuah basikal tua yang buruk, usang dan ketinggalan dalam zaman penciptaan basikal yang serba canggih dan moden.

"Tetapi, kepekaan Rohaizad terhadap objek tersebut merangsang beliau berfikir melepasi jangkauan biasa betapa basikal tua boleh dijadikan subjek utama dalam seni catan," ujarnya.

Apa yang menarik, setiap lukisan yang dihasilkan Rohaizad mempunyai keistimewaan apabila menerapkan isu semasa dengan caranya yang tersendiri.

Contohnya dalam karya bertajuk Krisis, sebuah basikal tua yang disandarkan di sebatang tiang yang menunjukkan papan tanda stesen minyak Petronas, menggambarkan satu ketika dahulu, kenaikan harga minyak menjadi isu paling utama negara akibat kegawatan ekonomi dunia.

Begitu juga dengan karya Darjat di mana Rohaizad bijak meletakkan lukisan sebuah basikal tua bersebelahan dengan kereta jenama mewah, Mercedes yang melambangkan betapa jauhnya darjat seseorang jika dibandingkan antara kedua kenderaan tersebut.

Namun, kehadiran sekuntum bunga mawar merah yang terletak di atas tempat pembonceng basikal tua itu menjadi satu simbolik terhadap unsur kasih sayang yang sentiasa diutamakan oleh golongan kurang berkemampuan.


RUANG legar Galeri Metro Fine Art yang menjadi lokasi pameran Siri Gelagat Rohaizad di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Bagi Rohaizad sendiri, dia memilih basikal tua kerana mahu mengingati nostalgia zaman dahulu, kala basikal menjadi pengangkutan utama di kawasan kampung dan luar bandar.

"Basikal tua kini semakin dilupakan oleh masyarakat, sedangkan ia sebenarnya mempunyai makna yang besar bagi sebahagian komuniti kampung. Justeru, saya mengangkat tema basikal tua sebagai subjek utama dalam usaha untuk mengenang kembali kepentingannya.

"Siri Gelagat dalam pameran solo kedua saya ini mempunyai makna yang mendalam bagi individu atau pihak yang mahu memahaminya. Apa pun, saya berharap karya-karya yang dihasilkan ini mampu memberi input atau menyampaikan makna yang tersirat kepada khalayak," ujar Rohaizad ketika ditemui Kosmo! di Galeri Metro Fine Art baru-baru ini.

Untuk setiap karya yang dihasilkan, pelukis berusia 40 tahun itu mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk menyiapkannya. Paling cepat adalah 10 hari.

Bergelar pelukis sepenuh masa membuatkan Rohaizad sentiasa mencari ilham menghasilkan karya-karya terbaru untuk kepuasan dirinya.

Malah, sepanjang tempoh menyiapkan lukisan, Rohaizad akan tenggelam dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Bagaimanapun, ia tidaklah sampai mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan empat orang anaknya.

"Yang penting, saya tidak pernah berputus asa dalam berkarya. Sebaliknya, saya sentiasa yakin dan bersungguh-sungguh agar apa yang disasarkan berjaya dicapai. Cuma, jika saya berasa agak tertekan, saya akan keluar untuk mengambil gambar-gambar pemandangan seperti sawah padi yang mampu mendamaikan hati," jelas lulusan Diploma Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu.

Apa yang pasti, pameran solo Rohaizad kali ini boleh dianggap sebagai pameran lukisan warna air terbesar di Malaysia kerana ia dilukis di atas kertas bersaiz besar yang jarang dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: