"IBARAT mati hidup semula. Kepala saya berdarah terkena serpihan batu� tapi sakit tidak begitu terasa. Terperangkap dalam kegelapan di celah runtuhan konkrit dan beberapa kali pengsan sangat menakutkan.
"Suasana sangat gelap dengan udara berdebu menyebabkan saya sukar bernafas. Rasanya seperti dalam kubur, tetapi belum lagi mati.
"Tempoh tiga hari sebelum diselamatkan umpama dalam kubur sementara menunggu perhitungan malaikat," kata Raza Marlis Mohd, jurujual kedai solek yang berjaya diselamatkan dari runtuhan Gedung Beli Belah Ramayana, di sini kelmarin.
Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan itu, dia terjatuh bersama puluhan lagi mangsa kerana bangunan mulai runtuh, menyebabkannya pengsan kerana terhantuk batu.
"Saya tidak tahu berapa lama saya pengsan. Apabila tersedar, saya hanya menangis dan menjerit meminta tolong sebelum pengsan sekali lagi.
"Masa berlalu sangat lambat dan akhirnya saya mendengar bunyi orang menjerit di luar. Ketika itu saya rasa peluang untuk hidup kembali bercahaya dan membalas jeritan mereka dengan meminta tolong.
"Namun, proses itu terlalu lama sehingga saya terasa sangat letih dan hampir putus asa sehingga pengsan sekali lagi," katanya ketika ditemui di katil Rumah Sakit Tentera, di sini semalam.
Beliau yang masih trauma dan menangis ketika menceritakan kisahnya menerima 20 jahitan di belakang kepala selain luka pada badan dan muka.
Raza Marlis berjaya dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdengar dia menjerit meminta tolong ketika operasi di celah bangunan yang sebahagian besarnya runtuh pada jam 5.30 petang kelmarin.
Turut ditemui bersamanya, mayat empat wanita yang mati akibat cedera parah dihempap runtuhan konkrit. Pasukan SAR sehingga semalam masih menjalankan operasi di kawasan runtuhan berkenaan bagi mencari mangsa.
Sementara itu, kakaknya, Zarmairi, 27, berkata selepas dua hari menunggu di perkarangan runtuhan bangunan itu tanpa ada berita mengenai adiknya, beliau mulai hilang harapan.
"Saya tidak menyangka tubuh yang diangkat keluar dari kawasan runtuhan itu semalam (kelmarin) adik saya apabila diberitahu petugas penyelamat," katanya sebak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: