MIG Production Sdn. Bhd. (MIG) mencipta sejarah tersendiri di saluran televisyen (TV) Astro Prima apabila drama bersiri 26 episod mereka yang berjudul Mertua vs Menantu mencatat rating 2.7 juta penonton termasuklah siaran ulangan ketika ia ditayangkan menerusi stesen itu baru-baru ini.
Syarikat produksi di bawah pimpinan David Teo itu bukan setakat mencipta rekod, tetapi ia turut menerima imbuhan berupa bonus daripada Astro Prima sebagai suatu penghargaan serta galakan bagi menarik lebih ramai penonton mengikuti saluran TV berbayar itu pada masa depan.
Rasanya belum pernah berlaku dalam sejarah bidang penyiaran di negara ini sebuah stesen TV terutamanya swasta 'bermurah hati' memberi bonus kepada penerbit kerana drama yang mereka siarkan mendapat sambutan hebat daripada para penonton.
Ini kerana secara logiknya, stesen TV swasta tidak perlu lagi membayar bonus sebagai bayaran tambahan kepada pihak penerbit kerana mereka sudahpun menjelaskan bayaran pembelian keseluruhan episod drama yang telah ditayangkan itu.
Jika penerbit memberi bonus kepada pengarah, penulis skrip, para pelakon dan krew filem terbitan mereka kerana berjaya mengaut kutipan tiket yang banyak sewaktu ia ditayangkan di pawagam, itu memang perkara lumrah.
Banyak perkara tersirat dan tersurat daripada senario yang sedang berlaku itu di mana ia mampu membuat anjakan dalam bidang penerbitan drama yang biasanya bukan sahaja panjang tetapi juga meleret-leret jalan ceritanya hingga banyak membuang masa para penonton.
Drama bersiri arahan Mohammed Feroz Kader itu dikatakan mempunyai banyak tarikan terutama daripada segi jalan ceritanya yang menarik serta penampilan ramai pelakon popular seperti Erra Fazira, Jehan Miskin, Raja Farah dan Aqasha yang diadun menjadi sebuah produk TV popular.
Di samping pemberian bonus yang akan diumum serta diserahkan kepada MIG tidak lama lagi, Astro Prima juga meminta David Teo meneruskan Mertua vs Menantu untuk musim kedua yang kini sedang ligat menjalani penggambaran ekoran sambutan tersebut.
Inisiatif Astro Prima itu bolehlah dijadikan contoh buat stesen-stesen TV lain sama ada swasta atau kerajaan dalam usaha untuk menarik perhatian para penonton menyaksikan drama-drama bersiri tempatan yang kini terpaksa bersaing dengan drama-drama dari luar negara seperti Indonesia.
Selepas meraih banyak keuntungan iklan daripada drama-drama yang mencatat jumlah rating penonton yang tinggi, maka amat logiklah jika stesen-stesen TV lain mengikut jejak langkah Astro Prima supaya kebaikan itu dapat dikongsi oleh semua pihak.
Kalau formula itu dapat diteruskan, pihak penerbit dan karyawan akan mendapat insentif, stesen-stesen TV pula dapat menarik ramai penonton dan meraih untung daripada iklan. Pada masa sama, para penonton juga akan mempunyai banyak pilihan untuk menonton drama-drama tempatan yang lebih berdaya saing.
Selain mampu menarik perhatian para penonton, insentif dan galakan seperti itu secara tidak langsung turut akan mencetuskan persaingan yang sihat di kalangan penerbit tempatan. Pada masa sama ia juga dapat mempertingkatkan lagi mutu drama-drama yang mereka terbitkan pada masa akan datang.
Bonus, insentif dan galakan seperti itu sepatutnya diperluaskan bukan setakat menerusi tayangan drama-drama bersiri tetapi juga filem, dokumentari atau apa-apa juga rancangan terbitan syarikat produksi tempatan yang disiarkan menerusi kaca-kaca TV.
Natijahnya, para penerbit lain juga mungkin boleh mengkaji formula yang telah digunakan oleh MIG dalam usaha mereka untuk menghasilkan drama-drama bersiri yang bukan sahaja mencatat rating penonton yang tinggi tetapi juga tidak melupakan aspek kualitinya.
Jumlah rating penonton merupakan sesuatu yang boleh dicapai dengan menggunakan pelbagai faktor seperti jalan cerita, barisan pelakon, promosi dan pemasaran sesebuah drama bersiri sebelum ia ditayangkan di TV.
Tidak dinafikan juga daripada segi psikologi dan strategi, sesuatu yang baik itu tidak akan terus datang bergolek. Sebaliknya, pelbagai proses terpaksa dilalui termasuklah dalam penerbitan drama sebelum soal kualiti menjadi ukuran pada peringkat akhir matlamat sesuatu penerbitan drama itu.
Memang ada kebenarannya apabila ada pihak mengatakan kualiti itu lebih bermakna daripada kuantiti. Jika ia diaplikasikan dalam soal rating yang menjadi kayu ukur kebanyakan penerbit drama TV di negara ini, maka itu hanya penanda aras awal bagi mencapai hakikat tersebut.
Namun, yang paling penting soal kualiti mestilah menjadi ukuran utama buat para penonton supaya biarlah sesebuah drama itu bukan setakat berkualiti tinggi. Malah, para penonton yang menonton sesebuah drama juga sepatutnya mempunyai citarasa tinggi dan tahu membezakan kualiti drama yang mereka tonton itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: