
IMPIAN untuk menjadi penyanyi tanpa platform program realiti saban hari dilihat sesuatu yang sukar dicapai. Tidak berbekalkan populariti impak daripada program realiti, ramai yang perlu melalui perjalanan jauh dan sukar dalam menempuh cita-cita bergelar penyanyi.
Keadaan bertambah perit jika impian itu milik mereka yang bukannya berbangsa Melayu. Ini kerana pasaran tempatan untuk industri Cina dan Tamil amat terhad memandangkan mereka lebih menggemari produk luar.
Menyedari situasi itu, model dan penyandang Miss World Malaysia 2008/2009, Soo Wincci turut perlu mengambil langkah jauh sebelum hasratnya untuk menjadi penyanyi direalisasikan.
Baru sahaja memasarkan EP pertamanya berjudul Soo Winnci pada 19 Ogos lalu, Wincci sebenarnya sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi penyanyi.

"Cabaran pertama yang dihadapi adalah tentangan daripada ibu bapa saya. Mereka mahu saya menghabiskan pengajian dahulu. Namun, saya ada mengambil kelas vokal pada usia 16 tahun di Lee Wei Song School Of Music. Walaupun ramai di antara rakan saya telah menerbitkan album, saya perlu menangguhkan impian saya.
"Pada usia 20 tahun, saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom dan mendapat Ijazah Undang-Undang untuk membuktikan kepada ibu bapa saya bahawa saya boleh berjaya dan pada masa yang sama mendapat restu untuk menjadi penyanyi," ujar Wincci ketika ditemui pada majlis pelancaran EP sulungnya di Hotel Sunway.
Namun, melihat masalah yang dihadapi rakan-rakannya, Wincci sedar dia perlu terlebih dahulu mempopularkan dirinya sebelum beranjak kepada cita-citanya. Itu yang menjadi sebab utama mengapa Wincci menyertai pelbagai pertandingan ratu cantik.
Gelaran ratu cantik jadi batu loncatan kepadanya. Pernah menyertai Miss Oriental World, Miss Intercontinental World dan Miss Chinatown, gelaran Miss World Malaysia 2008/2009 akhirnya berjaya memperkenalkan nama Wincci.

![]() |
| |
"Ibu saya sebenarnya yang mencadangkan supaya saya menyertai pertandingan ratu cantik. Melihat kejayaan ramai ratu cantik Hong Kong yang berjaya dalam bidang lakonan dan nyanyian, ibu melihat ia satu langkah baik untuk mencapai impian saya.
"Jadi apabila saya mula menyanyi, sekurang-kurangnya saya sudah dikenali," jelas Wincci yang menjalani rakaman foto di Kuala Selangor untuk penghias muka EPnya.
Berasal dari Petaling Jaya, Winnci, 24 tahun mahu menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang nyanyian walaupun kerap menerima tawaran peragaan. Malah, dia yang mempunyai Ijazah Undang-Undang belum mahu menggunakan ilmunya sebagai mata pencarian.
"Saya tidak pernah berputus asa untuk menjadi penyanyi dan kini apabila impian saya sudah tercapai, saya mahu menumpukan sepenuh masa dalam nyanyian. Melihat album EP saya hari ini adalah seperti saya melahirkan anak sendiri. Perasaannya amat teruja," kata Wincci yang turut bekerjasama dengan Ajai dan Mac Chew dalam EP itu.
Lebih selesa menyampaikan lagu Bahasa Cina walaupun Wincci mahir berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun dan Perancis, dia memuatkan EP itu dengan lagu tiga bahasa. Empat lagu iaitu Secret, Half Revealed, Dream, Love, Be Seen dan Thinking Of Him? disampaikan dalam Mandarin.
Manakala lagu Beauty With A Purpose merupakan lagu Inggeris serta lagu Cinta Abadi disampaikan dalam Bahasa Malaysia.
"Disebabkan saya merupakan Miss World Malaysia, saya merupakan wakil Malaysia. Jadi kali ini, saya memilih untuk memuatkan tiga bahasa berbeza dalam EP ini.
"Namun, pada masa akan datang, saya akan memilih untuk menyanyi dalam Bahasa Cina kerana lebih mahir dalam bahasa itu. Saya juga mahu menembusi pasaran Taiwan dan Hong Kong tetapi buat masa ini menumpukan kepada pasaran tempatan dahulu," jelas Wincci yang pernah menyanyi bersama Jacky Cheung dan Stefanie Sun.
Boleh bermain piano
Selain menyanyi, Wincci mempunyai minat mendalam terhadap penggubahan lagu. Kebolehan bermain piano juga banyak membantu dalam proses Wincci menggubah lagu. Dia yang masih bujang tidak menyukai lagu-lagu cinta tetapi mendapat inspirasi menerusi situasi terkini yang sedang berlaku di sekeliling.
![]() |
| EP pertamanya turut memuatkan lagu berbahasa Malaysia. |
Berlari setiap hari untuk mendapatkan stamina bagi menjalankan rakaman, Wincci juga yakin jika dia bersungguh-sungguh dalam kariernya, lagu-lagu dia akan diterima baik. Maka, jika EP itu menerima respons memberangsangkan, Wincci berkemungkinan akan menghasilkan album penuh pertamanya dalam masa enam hingga lapan bulan.
"Jika EP itu menerima sambutan, mungkin album penuh akan diterbitkan dalam masa terdekat. Lagipun sekarang ini saya sedang menggubah lagu baru yang berlainan konsep dengan EP itu. Ia lebih rancak berbanding lagu EP saya yang menjurus kepada irama balada," jelas Wincci yang juga giat melakukan kerja amal.
Ramah melayan tetamu terutama para media, Wincci turut berkongsi sebab mengapa dia memilih bulan Ogos untuk melancarkan EP itu.
"Bulan Ogos membawa maksud bertuah kepada saya. Tahun lalu secara kebetulan saya dinobatkan sebagai Miss World Malaysia pada bulan Ogos. Jadi, ibu berpendapat bulan Ogos adalah masa yang paling sesuai kerana ia membawa tuah kepada saya," katanya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: