
Anak kepada bintang filem lagenda, AR Tompel itu turut menyatakan selain tidak akan menerima sebarang tawaran lakonan, beliau juga akan menolak kerjaya sebagai pengacara dan ingin menumpukan sepenuhnya kerjaya di sebalik tabir.
“Setelah beberapa kali terlibat sebagai tenaga kerja di balik tabir sebagai pengarah dan penulis skrip, timbul seronok untuk terus menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas tersebut berbanding di depan kamera,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran drama bersiri terbaru siaran Astro Prima, Belalang di Ikano Power Centre, Mutiara Damansara baru-baru ini.
Sebelum ini, Adlin pernah mengarahkan beberapa buah drama dan juga menghasilkan skrip untuk filem tempatan. Kini, Adlin merupakan insan yang bertanggungjawab mengilhamkan sebuah drama menarik yang pasti mengimbas nostalgia terhadap kisah-kisah dongeng dan hikayat cerita rakyat, Belalang yang diterajui pelakon cilik, Mohd Hadziq.
“Apa pun, keputusan ingin mengundurkan diri daripada bidang lakonan bukanlah dalam masa terdekat tetapi ianya pasti.
“Kebanyakan watak dan jalan cerita drama atau filem tempatan tidak kena dengan kehendak saya. Tidak begitu menarik dan mencabar. Jika saya yang terlibat sebagai pengarah atau penulis skrip, sekurang-kurangnya saya boleh mencurahkan idea saya sendiri dan mengawal cerita tersebut. Lebih puas hati,” katanya.
Menyentuh mengenai pembabitannya dalam penerbitan drama Belalang arahan Opie Zami, baginya, ianya sesuatu yang begitu menarik untuk dikongsi dengan semua penonton dan mengimbas kembali hikayat cerita rakyat yang selama ini telah dipercayai sejak turun temurun.
Ditambah lagi dengan lakonan mantap dan bersahaja Pelakon Kanak-kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ke 22, adik Mohd Hadziq, 9.
“Walaupun Hadziq seorang yang agresif seperti kanak-kanak lain, tapi dia tahu apa yang perlu dia lakukan. Tidak begitu sukar untuk mengawalnya. Dia seorang kanak-kanak yang bijak,” katanya.
Drama tersebut ditayangkan pada setiap Rabu bermula 14 Oktober, jam 10 malam.
Dalam perkembangan lain, suami kepada pelakon wanita Emelda Rosnaila ini memberitahu, dia dan isterinya sibuk dengan kerjaya masing-masing sehinggakan tidak mempunyai masa untuk memikirkan menimang cahaya mata.
“Kami begitu sibuk dan kadang kala tidak ada masa untuk bersama. Biarlah masa yang menentukan semuanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: